PUTRAJAYA: Malaysia perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan tambatan mata wang dalam menangani ketidaktentuan nilai ringgit sebagaimana dilaksanakan ketika Krisis Kewangan Asia 1997.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya nilai ringgit tidak terus jatuh sehingga boleh mengakibatkan berlaku kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.
Beliau menjelaskan, walaupun idea beliau pada era pentadbirannya itu dianggap tidak masuk akal kerana berisiko berdepan banyak masalah sehingga boleh menjerumuskan negara ke arah bangkrap, namun ia terbukti berjaya apabila kadar pertukaran wang ditetapkan pada nilai itu.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai jumlah tabungan yang terbesar di dunia kerana mempunyai dana yang banyak, maka negara mampu melaksanakan kaedah berkenaan.
“Malaysia boleh buat tambatan ringgit, orang lain (negara lain) tak boleh buat kerana Malaysia mempunyai simpanan cukup banyak. Bank Negara punya simpanan lebih daripada RM100 bilion.
Dahulu masa kita ada krisis mata wang, Bank Negara cuma ada RM30 bilion saja, itu pun kita boleh buat (tambatan).
“Jadi apabila kita tetapkan nilai ringgit, jadi mudah bagi orang berniaga apabila nilai ditetapkan sebanyak itu. Tapi ada orang kata kalau kita tetap nilai ringgit, kita akan hadapi banyak masalah.
Dahulu pun pada tahun 1998 pun ada orang kata demikian juga.
“Pakar-pakar kewangan kata kalau kita tetapkan kadar tukaran wang, negara akan bankrap. Tapi kita tak bankrap. Bahkan kita dapat pulih semula,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini semalam.
Pada 1997, kadar tukaran ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah terhadap kawalan tukaran asing berpilih bagi mengekang tekanan luar yang menyebabkan ekonomi negara terjerumus ke dalam kemelesetan.
Walaupun tindakan Dr. Mahathir itu pada mulanya dikritik institusi kewangan seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, namun kedua-dua badan kewangan dunia itu mengakui bahawa dasar tersebut menghentikan turun naik nilai ringgit dan membantu memulihkan kewangan negara.
Bagaimanapun pada 21 Julai 2005, kerajaan memansuhkan tambatan ringgit dan nilai ringgit kemudiannya ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.
Dr. Mahathir berkata, satu daripada kelebihan Malaysia ialah mempunyai jumlah simpanan yang besar melalui pelbagai dana simpanan seperti di Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji yang merangkumi 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, beliau memberitahu, ada duit negara yang sudah diberi pinjam kepada Amerika Syarikat melalui pembelian bon yang bermakna negara membantu Amerika dengan duit dari Malaysia.
“Bila bantu Amerika dengan duit kita, bila kita nak balik duit, dia tak bagi. Ini cara Amerika. Duit orang dia ambil simpan, bila kita nak, dia tak bagi. Macam di Iran, dia tak bagi. Jadi, walaupun dia tak bagi, tapi dalam negara kita sudah ada duit yang banyak yang disimpan macam-macam bentuk,” ujarnya.
“Kita biasa ada duit dolar Amerika, bila kita ada duit dolar, kalau kita nak beli barang dengan dolar, kita boleh tukar duit Malaysia ringgit ini dan dapat dolar dan beli barang.
“Ataupun kalau kita nak jual, kita jual dengan harga ringgit, tapi diterjemah kepada dolar. Dan dolar itu kita jual, dolar itu masuk balik ke negara kita. Dan bila dia masuk balik, sepatutnya disimpan dalam bank sebagai rizab,” katanya.
Mahathir berkata, tindakan tambatan nilai ringgit itu sudah dilakukan dengan jayanya pada tahun 1998 melalui tiga penubuhan jawatankuasa permodalan semula (recapitalising), namun sekarang ini bank-bank tidak perlu pun untuk melaksanakan recapitalising kerana mereka sudah mempunyai duit yang banyak.
“Jadi abila kita duit ada, kita boleh buat. macam Sri Lanka, dia tak ada duit. Dia tak boleh buat macam kita buat. Pasal kalau orang nak beli barang dengan AS dolar, dia tak ada dolar. Dia tak tahu nak tukar nak dapat dolar tak boleh. Tapi kita boleh,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata tindakan kerajaan sekarang dengan menaikkan atau menurunkan kadar faedah adalah satu tindakan tidak berapa baik sebagai cara untuk mengukuhkan ekonomi dan nilai ringgit. – UTUSAN










