PETALING JAYA: Wakil kartel industri ayam didakwa terlibat dalam menasihati kerajaan mengenai selok-belok industri ternakan itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kemungkinan kerjasama tersebut akan menggagalkan usaha memulihkan sektor penting makanan negara itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tindakan sebegitu membuktikan kartel ayam masih berpengaruh dalam menentukan polisi berkaitan industri ayam.
“Saya kecewa wakil kartel ayam dilantik menganggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang menasihati Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai jaminan bekalan makanan.
“Tindakan ini sekali lagi membuktikan pengaruh kartel tersebut dalam strategi dan penggubalan dasar kerajaan sedia ada,” katanya tanpa menamakan siapa kartel dimaksudkan.
Kena siasat
Ditanya tentang asas kepada dakwaan itu, Mukhriz berkata: “Yang itu kena siasat sendiri. Isunya, pihak yang menghadapi masalah ialah penternak. Mana wakil mereka dalam MPPN?”
Untuk rekod, pada 25 Mei lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengadakan satu mesyuarat khas bersama MPPN secara hibrid.
Dalam satu kenyataan, MAFI berkata, MPPN bertindak sebagai penasihat kepada Menteri MAFI bagi mengenal pasti isu-isu berkaitan sekuriti makanan negara.
MPPN juga dinyatakan berperanan menyumbang pandangan serta cadangan yang sesuai bagi memacu hala tuju sektor agromakanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa.
Utusan Malaysia difahamkan, keahlian MPPN bagi sesi 2021/2022 terdiri daripada 15 ahli merangkumi wakil pemain gergasi industri ayam, pakar ekonomi serta ahli akademik.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, kerajaan perlu serius dan segera menubuhkan sebuah lembaga khas untuk mengawal selia industri ayam dan unggas bagi membebaskan cengkaman pihak swasta yang menguasai sektor penting makanan.
“Saya lihat pendekatan yang diguna pakai kerajaan kini lebih memihak kepada kartel, pengeluar anak ayam dan makanan ayam.
“Penternak dan peniaga, dan seterusnya pengguna sentiasa tertekan dengan kenaikan kos yang tidak munasabah yang menyebabkan keuntungan menyusut, dan bekalan yang tidak mencukupi,” kata beliau.
Mukhriz kemudian berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan sebuah lembaga unggas yang diberi kuasa untuk menyelesaikan isu bekalan ayam.
“Cadangan wujudkan sebuah lembaga dengan akta yang memberi punca kuasa untuknya melaksanakan tanggungjawab mengawal selia industri penting ini.
“Tanpa lembaga, keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan seolah-olah bersifat ad hoc, memberi kesenangan sementara tanpa penyelesaian jangka panjang,” katanya.- UTUSAN










