Jangan tunjuk kasar depan kanak-kanak

Jangan tunjuk kasar depan kanak-kanak

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIKUTI kuliah memang menyeronokkan. Apalagi mempunyai kaitan dengan perkara yang diminati atau membantu kita memahami sesuatu perkara dengan lebih baik.
Baru-baru ini, kami belajar tentang kajian oleh Albert Bandura pada sekitar 1960-an berkenaan pengaruh media ke atas kanak-kanak. Menariknya bagi saya kerana hal ini benar dan masih relevan dalam kehidupan kita hari ini.

Kajian ini menunjukkan nilai dan tindakan kanak-kanak yang belum didedahkan kepada dunia luar secara terbuka adalah dipengaruhi oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Kanak-kanak belajar daripada contoh yang ada di hadapan mereka. Apa yang mereka lihat, itulah yang mereka sifatkan sebagai betul dan harus dituruti.

Hal ini juga benar dari segi logik saintifik. Bagaimana seseorang bayi yang baru dilahirkan belajar bertindak sekiranya tidak melalui naluri genetik atau daripada pemerhatian serta mengikuti tingkah laku individu di sekeliling mereka? Maka kita sepatutnya memberi perhatian akan hal ini dalam usaha membentuk masyarakat madani.

Tujuan kajian Albert Bandura adalah bagi membuktikan secara praktikal tentang kesan media ganas ke atas tingkah laku kanak-kanak. Beliau mendapati sejurus selesai menontonnya, kanak-kanak akan bersikap kasar dan ganas. Sekumpulan kanak-kanak lain pula diberikan media berunsur kasih sayang dan perbezaan dalam tingkah laku mereka adalah amat drastik. Bayangkanlah kesannya jika mereka didedahkan kepada unsur-unsur tertentu sepanjang hidup secara berterusan.

PANTAS

Hal ini mengingatkan saya tentang pengalaman ketika kecil. Menurut ibu, jika selalu bermain atau menonton sesuatu yang dikategorikan sebagai ‘pantas’, saya akan jadi kurang sabar serta kurang teliti. Saya resah ketika melakukan sesuatu yang memerlukan masa dan ketelitian.

Sebaliknya, saya dapat menyelesaikan secara mudah dalam permainan yang memerlukan daya konsentrasi tinggi seperti teka suai-jodoh. Malah, saya lebih tenang baik dari segi emosi mahupun fizikal.

Melihat kepada kesan genre permainan serta bahan tontonan terhadap sikap kami, ibu sangat berhati-hati dalam memilih bahan tontonan serta perisian komputer. Kami diterangkan, mengapa tidak dibenarkan bermain konsol permainan yang kebanyakannya mempunyai unsur ganas dan kenapa kami tidak boleh bersikap sedemikian.

Namun, masih terdapat banyak perbahasan berkenaan kesan media berunsur keganasan ke atas kanak-kanak. Ada yang mendakwa tidak akan memberi kesan negatif terhadap perilaku serta pembentukan peribadi kanak-kanak. Malah, kanak-kanak sering dibiarkan terdedah kepada unsur keganasan serta watak yang mengganas tanpa diberi penerangan atau panduan.

Kebebasan ada hadnya. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi serta tidak dibiarkan membesar tanpa pengawasan mengikut lunas hukum agama serta undang-undang negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×