Selama 28 tahun melayari rumah tangga tiba-tiba suami buat kejutan dengan berkahwin lain. Sedih, murung dan tidak lalu makan sehingga badan mulai susut. Itulah derita yang ditanggung oleh Hamidah Jamil, 56, bila mendapat tahu dirinya dimadukan melalui perkahwinan yang dirahsiakan oleh suami tercinta.
Hamidah akhirnya dia ‘bertemu’ page Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI) dan ikon-ikon poligami yang banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Di bawah bimbingan mereka, Hamidah semakin tenang dan boleh menerima takdir suami mempunyai isteri selain dirinya.
Suami ‘menyorokkan perkahwinan’ dengan alasan tidak mahu memanjangkan cerita dan ingin menghalalkan sesuatu hubungan bukan isu terpencil.
Peguam Syarie di Tetuan Fadzilah Kamaluddin & Co., Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, kebanyakan perkahwinan kedua yang ‘dirahsiakan’ berpunca daripada tidak mendapat persetujuan isteri pertama.
“Terkejut dan kecewa dimadukan, boleh mengakibatkan si isteri berjauh hati dengan suami. Jika dahulu berjanji sehidup semati tetapi setelah lama bahagia melayari bahtera dibina, dimadukan pula, inilah dikatakan ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari,” katanya kepada Seri.
KEIZINAN ISTERI PERTAMA
Nurul Fadzilah berkata, berdasarkan pengamatannya, untuk mengelakkan situasi terkejut itu berlaku, adalah lebih baik suami memohon kebenaran isteri sedia ada atau slow talk terlebih dahulu.
“Ini kerana, wanita sedar bahawa tidak salah berpoligami, asalkan mengikut undang-undang dan boleh memperoleh kebahagiaan. Dengan cara ini tiada emosi yang tercedera dan rumah tangga dibina pasti akan lebih sakinah, mawaddah dan rahmah. Insya-Allah,” katanya.
Dari segi undang-undang mengikut Seksyen 23 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada mahkamah.
“Ini bermaksud, tiada seorang pun lelaki yang sudah berkahwin boleh berkahwin satu lagi kecuali dengan mendapat kebenaran mahkamah dengan syarat yang perlu diikuti.
“Jadi, dalam Islam, si suami boleh berkahwin lebih daripada satu. Jika dahulu, untuk mengesahkan nikah apabila si suami telah terlebih dahulu berpoligami seperti pernah berkahwin di Thailand atau selain Malaysia, isteri sedia ada tidak perlu hadir ke mahkamah.
“Namun terkini berdasarkan Arahan Amalan No. 7 Tahun 2021, bagi kes pengesahan nikah memerlukan kehadiran isteri sedia ada ketika prosiding permohonan kebenaran poligami serta permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah poligami.
“Ironinya secara rahsia atau tidak adalah perlu diingat bahawa keterangan daripada isteri pertama adalah sangat memainkan peranan penting di dalam mahkamah apabila dipanggil bagi permohonan kes,” katanya.
BOLEH KE RAHSIA?
Umumnya, tiada spesifikasi khusus tentang hukum perlunya memberitahu isteri untuk berkahwin lain, tetapi dalam surah Ar-Rum ayat 21 menyatakan mestilah adanya rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Dari segi undang undang pula, menurut Seksyen 23 (4) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan mahkamah apabila telah menerima permohonan poligami tersebut, pemohon hendaklah memanggil isteri atau isteri-isteri yang sedia ada agar hadir apabila permohonan poligami itu didengar dan hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup.
“Bermaksud kebenaran dan keengganan pihak isteri sebenarnya tidak mengikat mahkamah, sebaliknya keterangan daripada pihak isteri berperanan penting membantu mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak sesuatu permohonan poligami,” kata Nurul Fadzilah.
Berdasarkan kes Zuraimi Mustapha lawan Mazliza Mat Amin yang diputuskan oleh mahkamah untuk meluluskan permohonan kebenaran poligami pemohon berdasarkan Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perlis) 2006.
“Ini kerana mahkamah berpuas hati dengan notis permohonan dan afidavit pemohon dan pemohon sememangnya mampu zahir dan batin, adil dalam giliran dan bersedia menanggung isteri dan bakal isteri pemohon.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan berpoligami kerana pemohon memenuhi Seksyen 23 (5) (a-d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006, Negeri Perlis,” katanya.
Khianat rumahtangga
MERAHSIAKAN perkahwinan meletakkan suami dalam risiko undang-undang dan hak.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat menjelaskan, menyembunyikan perkahwinan sebenarnya untuk kepentingan satu pihak sahaja iaitu lelaki. Pengkhianatan dalam rumah tangga berlaku disebabkan poligami menyebabkan wanita tidak boleh menerima dan mempercayai akhirnya menderita,” katanya.
Sekiranya isteri dimaklumkan terlebih dahulu isteri secara reda akan mengubah persepsi terhadap suami kepada lebih positif.
Sebagai Ketua Kaunselor MAINS, Norazman berkata, triangle session untuk kes poligami banyak mendidik suami dan isteri-isteri mengecap kebahagiaan rumah tangga berpoligami.
“Kami educate untuk proses penerimaan menguruskan emosi, tingkah laku, psikologi dalam erti kata lain pasrah sebab hak berkahwin itu ada pada lelaki.
“Pengurusan diri turut diutamakan khususnya membabitkan apa yang perlu isteri pertama lakukan untuk hadapi situasi. Terima atau tidak ia terpulang kepada dirinya,” katanya.
Pada sesi pertemuan dengan suami, Norazman akan memastikan suami sedar kesilapannya, bertaubat dan memperbaiki hubungan dengan isteri sedia ada setelah melakukan pengkhianatan dengan meminta maaf.
“Maaf atau tidak, itu hak isteri. Yang kedua, perlu bertaubat kerana telah melakukan sesuatu yang mengingkari hukum Allah SWT.
“Selain perlu mencari strategi untuk memperbaiki hubungan dengan isteri pertama. Yakinkan isteri bahawa poligami bukan sekadar memenuhi keperluan diri iaitu suami sahaja tetapi juga perlu memberi perhatian kepada isteri pertama dan hak-hak dia,” katanya.
Isteri baharu pula, perlu terima apa sahaja yang dihambur oleh isteri pertama dan berdiam serta meminta maaf biarpun dituduh merampas. Isteri kedua perlu fikir hak, kepentingan poligami untuk masa hadapan jika berlaku apa-apa dalam perkahwinan itu.
Sesi lain, beliau berkata akan pertemukan isteri pertama dan suami. Di sinilah akan diterangkan cara mengurus suasana yang tidak menimbulkan ketegangan, cari titik persamaan dan keharmonian disebabkan poligami telah berlaku.
“Jika poligami belum berlaku tetapi suami menyatakan hasrat maka si isteri boleh membuat perjanjian dan menuntut hak-hak dalam perkahwinan,” katanya.
Akhir sekali, baharulah ketiga-tiga dipertemukan untuk berlaku adil dari segi hak, giliran dan sebagainya. Ada juga kes, suami tidak dapat menanggung dan akhirnya menceraikan kedua-dua isteri.
Situasi lain, isteri pertama membuat tuntutan perceraian. Apabila isteri membuat keputusan untuk hidup bersendirian maka perlu bangkit, keluar daripada penderitaan atau move on.
“Bila bercerai maka termaktublah hak-hak isteri yang diceraikan. Namun jika suami tidak mahu bercerai, isteri boleh menuntut fasakh.
“Sudahnya, isteri pertama perlu mengorbankan kebahagiaan demi orang lain. Walaupun hakikatnya poligami bukanlah untuk bercerai-berai. Poligami juga bukan keperluan biologi semata-mata, bukan untuk kepentingan hawa nafsu sahaja atau kemampuan beristeri ramai tetapi dengan niat yang betul dan perkara perlu difahami oleh mereka yang ingin berpoligami,” katanya.
Jangan hanya melepas tengkuk sendiri
“Kalau minta elok-elok hendak kahwin lagi mestilah tak dapat. Pergi nikah dulu, kemudian baru cerita.” Itu kata rakan sepejabat. Seorang lelaki.
Katanya, berperang selepas kahwin lagi satu lebih baik daripada berperang sebelum kahwin lagi satu yang membawa kemungkinan hilang isteri dan bakal isteri!
Saya tersenyum. Orang lelaki ini kalau cerita bab poligami, dia punya sembang, gajah pun boleh terbang. Patutnya peganglah prinsip, berani buat, beranilah tanggung.
Kerja baik ini, hal mendirikan masjid, tak payahlah sorok-sorok. Kalau disorok-sorok, isteri pertama tahu lagi parah sebenarnya.
Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa poligami ini adalah satu hakikat kebenaran yang menyakitkan dan pahit untuk ditelan bagi wanita. Ini adalah ujian yang diberikan Tuhan kepada golongan wanita yang terpilih.
Justeru, lelaki yang ingin berpoligami harus menangani isu ini dengan bijak. Memang hati isteri akan hancur jika diberitahu dan tidak diberitahu pun akan menimbulkan banyak masalah pada kemudian hari.
Poligami sepatutnya tidak dilihat sebagai menguntungkan orang lelaki semata-mata. Bila tidak memberitahu sudah beristeri lagi, apabila si suami sakit atau meninggal dunia, isteri kedua muncul, saya kira pedihnya lebih teruk berbanding ketika si suami ada.
Isteri pertama mungkin mengalami tekanan emosi kerana merasa diri tertipu sepanjang hayat perkahwinannya, manakala isteri kedua tidak dapat apa-apa hak sekiranya perkahwinan itu tidak didaftarkan di negara ini atau tiada dokumen.
Sebab itu saya katakan, poligami seperti ini hanya menguntungkan lelaki dan sikap melepaskan tengkuk sendiri ini sudah tentu menambah derita golongan isteri. Sedangkan kedua-dua isteri itu adalah keluarga di bawah tanggungjawabnya.
Jika mahu berpoligami, tampillah dengan keberanian yang tinggi. Berterus-terang sajalah supaya pengakhirannya nanti tidak menyakitkan dan merugikan sesiapa.
Berpoligami adalah pilihan bagi yang berkemampuan dan jangan melakukannya sekiranya tidak mahu dan tidak boleh bertanggungjawab.
Kata seorang kawan yang sudah berpoligami. Memang pada permulaannya kehidupannya agak ‘huru-hara’ juga selepas berterus-terang pada isteri pertama. Tetapi lama-kelamaan selepas itu, keadaan kembali tenang walaupun terpaksa tadah telinga sahaja dengan sindiran dan kemarahan.
Hendak berpoligami kena ‘pandai bersilat’, katanya. Kena pandai atur strategi. Jangan mudah putus asa bila lihat para isteri marah-marah atau mengamuk.
Katanya lagi, tanggungjawab jangan culas. Pasal hal-hal itu akan jadi ‘senjata’ dan diungkit para isteri setiap hari.
Saya angguk saja dengar ceritanya. Iyalah, suami siapalah ini, kata saya dalam hati.
—–
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.









