SIMPOSIUM Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara dari 22 hingga 24 Mei lalu. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dihadiri pembentang dari lebih 17 negara. Antaranya pakar dan sarjana bahasa Melayu dari Amerika Syarikat (AS), Russia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja dan Filipina. Simposium selama tiga hari anjuran Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP; Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris ini mendapat sambutan dan sokongan besar daripada pihak berkuasa dan pimpinan tertinggi negara.
Simposium ini adalah langkah awal yang penting yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Pujian harus diberikan kepada pimpinan PM yang melakukan satu dasar dan pendirian tegas serta tepat dalam meletakkan dan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tetapi hasrat PM tidak boleh berhenti di sini tanpa apa-apa tindakan dilakukan dan menunggu simposium tahun hadapan.
Semua jabatan khususnya agensi kerajaan mesti terus memulakan langkah segera tanpa berlengah lagi. Institusi sangat penting yang perlu bertindak segera adalah institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya universiti awam. Kenapa saya berkata demikian? Apa hubungannya universiti dan polisi baharu kerajaan terhadap bahasa Melayu di bawah pimpinan Ismail Sabri? Apa akan berlaku sekiranya dasar baharu PM ini tidak disambut baik dan langkah-langkah segera tidak terus dilakukan oleh universiti awam?
IPT adalah institusi yang perlu bertindak segera dalam merealisasikan dan mencapai matlamat baharu PM ini kerana ia adalah nukleas utama yang menjadi tunjang dan asas pengembangan ilmu. Universiti awam mesti menerima dasar ini dan terus memulakan langkah pertama. Naib Canselor (NC) dan timbalannya (TNC) khususnya TNC akademik perlu melakukan sesuatu bagi memastikan dasar dan hasrat PM ini bermula segera di universiti masing-masing.
Universiti mempunyai hubungan rapat dengan mengukuh dan memartabatkan bahasa Melayu. Sebagai pusat pertumbuhan dan pengembangan ilmu, sepatutnya universiti mampu meyakinkan masyarakat umum bahawa dasar ini adalah tepat.
Bahasa Melayu tiada cacat dan lemahnya dalam memajukan ilmu. Ini terbukti dengan penubuhan UKM pada 1970 menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu. UKM berkembang pesat sebagai sebuah universiti terkemuka di peringkat kebangsaan, wilayah serantau dan antarabangsa. Lulusan UKM berjaya menjadi pentadbir yang berjaya dan cemerlang. Penguasaan ilmu graduannya berjaya menjadi ahli akademik terkemuka. Tiada masalah dalam menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam bidang sains dan bukan sains di universiti terkemuka dunia.
MENTERI
Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang telah terbukti dan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Istilah dalam pelbagai bidang mula dibina dan dikembangkan sejak beberapa dekad lalu khususnya selepas 1970 sejak pentadbiran Tun Abdul Razak.
Langkah pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (BI) pada 2002 adalah kurang tepat dan berundur ke belakang. Kita memartabatkan bahasa Melayu bukan bermakna menolak serta menafikan penggunaan bahasa-bahasa asing. Bahasa-bahasa asing seperti BI, Jepun, Mandarin, Perancis, Jerman dan Arab tidak dinafikan penting dalam penerokaan ilmu. Ia perlu terus dipelajari tetapi bahasa Melayu adalah tonggak utama yang perlu dipertahan. Jabatan dan pusat pengajian bahasa asing perlu diperkemaskan dan memainkan peranan sewajarnya dengan meluas.
Kalau cerdik pandai di universiti tidak menolak persoalan memartabatkan bahasa Melayu, bagaimana secara logiknya masyarakat umum akan turut terima dengan mudah? Universiti sepatutnya memulakan langkah positif tanpa bertangguh. Menteri Pengajian Tinggi perlu menjelaskan kepada semua pucuk pimpinan utama universiti khususnya NC, TNC dan dekan fakulti tentang peri penting dan kemampuan bahasa Melayu dalam pengajian tinggi.
Kuliah sepenuhnya perlu dilakukan dalam bahasa Melayu di semua peringkat sama ada sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Andai ada masalah dalam aspek-aspek tertentu, perlu berikan penangguhan jangka pendek dengan tujuan mencari penyelesaian jangka panjang. Semua mahasiswa tempatan semestinya menggunakan bahasa Melayu. Jika ada mahasiswa luar negara yang sukar mengikuti kuliah dalam bahasa Melayu di peringkat awal, mereka perlu diasingkan. Jangan kerana beberapa mahasiswa asing maka kuliah terus menggunakan BI.
Penulisan buku dan jurnal dalam bahasa Melayu perlu digalakkan dan diletakkan di tempat sebaik-baiknya dalam kriteria kenaikan pangkat profesor madya dan profesor penuh. Langkah yang diambil sekarang dengan terlalu mengutamakan penulisan artikel dalam jurnal SCOPUS, WOS dan ISI dalam BI dan mengetepikan buku dalam bahasa Melayu perlu diubah segera.
Jika dasar ini berjaya dilakukan di universiti, maka perubahan di institusi lain memungkinkan berjalan lebih mudah dan berkesan. Masyarakat akan melihat universiti sebagai contoh yang perlu diikuti. NC dan pimpinan utama universiti dan mahasiswa perlu berada di barisan hadapan dalam menjayakan matlamat ini. Tanpa tindakan segera, langkah tepat yang berkesan akan memungkinkan hasrat pimpinan Ismail Sabri menghadapi jalan perlahan dan sukar dalam memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).










