Cuti paterniti iktiraf pengorbanan bapa

Cuti paterniti iktiraf pengorbanan bapa

BAPA yang terlibat secara aktif dalam penjagaan kanak-kanak memberi impak positif pada kehidupan anak-anak mereka. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini genap setahun arwah ayah meninggalkan kami sekeluarga. Salah seorang daripada ratusan ribu yang gugur angkara wabak Covid-19 yang rakus meluap dunia semenjak akhir 2019. Masih segar dalam ingatan, bunyi mesin jantung yang semakin lama semakin perlahan. Mengiringi pemergian dengan bacaan doa yang teresak-esak dengan air mata. Meratapi pemergian di sebalik kaca empat segi telefon pintar.

Mati itu pasti. Tidak akan lewat atau awal walau sesaat. Kehibaan menanggung kerinduan tanpa penamat itu hanya dapat dilekakan dengan ingatan dalam kenangan manis, juga nasihat dan kata-kata emas yang ditinggalkan ayah buat membentuk jati diri. Dalam sungguh kesan yang ditinggalkan pada perwatakan diri saya. Dari hujung rambut ke hujung jari dilumuri dengan kesan-kesan didikan dan teladan arwah ayah.

Begitu juga peranan ibu dalam pembentukan anak-anak, sudah tentu suatu fakta yang tidak boleh dikesampingkan. Pelbagai perbincangan ilmiah menggariskan peranan penting seorang ibu kepada keperluan biologikal, psikologi dan asuhan kanak-kanak. Selari dengan peranan seorang ibu sebagai madrasah pertama bagi kanak-kanak.

Umum tahu, bapa yang terlibat secara aktif dalam penjagaan kanak-kanak memberi impak positif pada kehidupan anak-anak mereka. Namun, kebanyakan perbincangan dan kajian lebih cenderung mengkaji peranan ibu kerana ibu dilihat sebagai penjaga utama kanak-kanak. Kebanyakan kupasan mengenai peranan bapa, nampaknya lebih mementingkan kesan negatif bapa yang tidak aktif atau tidak acuh terhadap pembesaran anak mereka.

Kajian telah lama membuktikan bahawa apabila wanita kehamilan, mereka mengalami perubahan hormon yang drastik sebagai persediaan menjadi seorang ibu. Oksitosin khususnya, sering digelar sebagai hormon ibu kerana ia dilepaskan ke dalam aliran darah ketika bersalin dan bertindak sebagai hormon yang menggalakkan penyusuan, memudahkan proses kelahiran dan menimbulkan jalinan erat antara ibu dan anak.

Baru-baru ini, kajian turut menjelaskan bahawa lelaki juga boleh mengalami perubahan hormon apabila mereka menjadi bapa termasuk peningkatan oksitosin. Bukti menunjukkan pada seorang bapa, oksitosin memudahkan rangsangan fizikal bayi semasa bermain serta mempunyai keupayaan menyelaraskan emosi bapa ketika berinteraksi dengan anak-anak mereka.

Dari sudut psikologi pula, kajian menunjukkan ikatan bapa dan anak lelaki yang terjalin semasa zaman kanak-kanak boleh membantu lelaki menangani tekanan seharian kelak. Bapa cenderung untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka terutama anak lelaki melalui permainan fizikal yang merangsang dan mencabar kanak-kanak malah meningkatkan kemahiran mereka menyelesaikan masalah.

RINGAN TULANG

Bagi kanak-kanak perempuan pula yang mempunyai hubungan baik dengan bapa sejak kecil, mereka merendahkan risiko seks awal dan kehamilan remaja. Penyelidikan juga menunjukkan remaja perempuan yang didukung kehadiran bapa yang aktif melaporkan tahap harga diri yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pautan emosi bapa dan anak bukanlah jalan sehala. Ahli psikologi turut meneroka bagaimana kanak-kanak juga boleh memberikan kesan positif kepada bapa mereka. Hasil kajian menunjukkan bapa yang aktif dalam penjagaan anak-anak mereka mengalami penurunan hormon testosteron ketara. Ini mengakibatkan mereka lebih berjaga-jaga dan tidak cenderung kepada aktiviti yang mendatangkan risiko kecederaan.

Tambahan pula, lelaki yang bergelar bapa lebih ringan tulang untuk memanfaatkan diri mereka dalam kawasan kejiranan, lebih berkemungkinan untuk kerap menghadiri aktiviti keagamaan dan lebih cenderung untuk terlibat dalam khidmat masyarakat. Dengan timbulnya timbunan kajian mengenai manfaat bapa yang aktif dalam tumbesaran kanak-kanak, bukan sahaja kepada diri dan keluarga mereka bahkan kepada masyarakat, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah bagi mempermudahkan kaum bapa untuk lebih proaktif dalam pembesaran kanak-kanak.

Sebelum ini kerajaan tidak mengiktiraf cuti paterniti untuk pekerja di sektor swasta. Hanya kakitangan awam yang mempunyai peruntukan cuti paterniti selama tujuh hari.

Bagi mereka di sektor swasta, terpaksa mengambil cuti daripada cuti tahunan atau cuti tanpa gaji untuk bersama isteri yang baru bersalin.

Ini semua berubah apabila baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang menjamin golongan bapa yang bekerja sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti bagi setiap anak sehingga lima orang tanpa mengira bilangan isteri. Mereka juga mesti bekerja di syarikat itu sekurang-kurangnya 12 bulan untuk layak mendapat cuti paterniti. Dewan Rakyat juga meluluskan pindaan untuk menambah cuti bersalin kepada 98 hari daripada 60 hari bagi pekerja sektor swasta dan 90 hari bagi penjawat awam selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Ini merupakan satu langkah permulaan yang wajar dan harus dipuji. Walaupun banyak pendapat yang menyatakan cuti paterniti tujuh hari tidak mencukupi untuk menampung keperluan ibu bapa baharu, harus ditekankan bahawa ia merupakan satu kemajuan yang membawa kita lebih hampir kepada faedah untuk kaum bapa.

Sudah tentu peruntukan yang ideal adalah sesuatu yang hampir dengan apa yang disediakan oleh negara maju seperti Kanada atau Kesatuan Eropah di mana cuti ibu bapa berbulan-bulan dikongsi mereka berdua secara bersama bagi tujuan penjagaan awal kanak-kanak. Namun, langkah awal Malaysia mula mengiktiraf keperluan untuk meminda rangka perundangan bagi memartabatkan peranan seorang bapa dalam institusi keluarga adalah langkah yang perlu diraikan. – UTUSAN

Semoga Tuhan memberkati setiap bapa yang bekerja keras memelihara keluarga, masyarakat dan negara ini.

PENULIS ialah peguam cara litigasi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×