MALAYSIA gagal mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran makanan setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan. Di manakah silapnya?
Dengan keluasan 330,000 kilometer (km) persegi tanah subur dan iklim yang kondusif untuk tanaman makanan serta ternakan, Malaysia ketinggalan jauh daripada kebanyakan negara ASEAN lain.
Malaysia turut mempunyai 4,675 km pantai yang dicemburui nelayan Thailand dan Vietnam. Nelayan kedua-dua negara itulah yang sering dikesan menceroboh kerana ikan memang banyak di perairan negara. Namun, harga ikan dan lain-lain hasil laut sangat mahal untuk dinikmati oleh rakyat.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperoleh peruntukan tahunan tinggi setiap tahun bagi memastikan rakyat menikmati sumber makanan berkhasiat dan mudah diperoleh dengan harga patut. Peruntukan bagi 2022 yang diterima MAFI ialah RM4.82 bilion untuk menggerakkan 13 agensi di bawahnya berfungsi dengan cekap dalam memastikan sekuriti makanan negara terpelihara.
Persoalannya, adakah bantuan dan insentif MAFI sampai kepada pengeluar makanan atau tecicir di mana-mana? Adakah MAFI serius dan proaktif memperbetulkan keadaan ketidakcukupan makanan dalam negara sehingga nilai import kini mencecah lebih RM56 bilion?
Setiap tahun MAFI menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan bagi meraikan jasa serta pengorbanan mereka yang terlibat dalam pengeluaran makanan. MAFI menganggap golongan ini sebagai wira yang berkorban membekalkan makanan. Namun, adakah mereka dilindungi daripada unsur-unsur ‘Napoleon Kecil’ dan karenah birokrasi yang membantutkan usaha ke arah negara memperkasa pertanian?
Bagi mengatasi masalah pengeluaran makanan dan menolong golongan pengusaha dan pengeluar makanan, MAFI tidak boleh lagi melengah-lengahkan keperluan mengenal pasti dan bertindak mengatasi masalah dengan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, merangka dasar-dasar pertanian yang kaku.
Beberapa saranan praktikal bagi mengupayakan sara diri pengeluaran makanan perlu dilakukan MAFI. Pertama, MAFI perlu meneliti secara jujur ucapan panjang yang disampaikan oleh bekas menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa perhimpunan tahunan pada 6 Januari 2020 di Putrajaya. Ucapan ikhlas berterus terangnya memperlihatkan MAFI masih beroperasi secara biasa, tidak peka dengan keadaan semasa.
Salahuddin berkata, pihaknya akan ‘memusnahkan’ kerenah birokrasi terutama membabitkan isu pemberian insentif, subsidi, perolehan, khidmat nasihat serta tempoh menunggu yang dilihat tidak relevan.
Disebabkan kerenah birokrasi itu, terdapat banyak bantuan diberikan kerajaan dan permohonan masyarakat tidak dapat dilaksanakan.
PADANG RAGUT
Beliau hairan bagaimana negara kecil seperti Taiwan dan Belanda berjaya mengeksport barang pertanian hampir ke seluruh dunia. Malaysia, katanya mempunyai institusi pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), 600 saintis, tokoh dan pemikir yang mampu melahirkan banyak idea besar untuk mengubah landskap pertanian negara.
MAFI tidak rugi membuat pembetulan dalaman. Penafian atau mempertahankan tindakan pegawai yang melambat-lambatkan urusan pelanggan kementerian itu akan mengheret negara dalam krisis makanan yang lebih teruk lagi. Penjawat awam tertakluk kepada perintah am yang menuntut mereka mematuhi aku janji perkhidmatan awam – memberikan perkhidmatan terbaik, cekap dan adil.
Kedua, meneliti Kisah Padang Ragut Bidor (PRB), Perak (1995-2022).
Mengapa Kisah PRB ini penting? Kisah PRB menyimpan rahsia besar punca negara gagal dalam penternakan lembu berdasarkan pengalaman seorang penternak, Manaver M. Ali. Dokumen mengenai kisah duka lara ini sedia untuk dikongsikan supaya MAFI tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.
Kisah PRB telah dibentangkan dalam mesyuarat pada 10 Jun 2008 di Putrajaya oleh Manaver. MAFI membuat keputusan penyelesaian untuk membantunya. Namun, unsur ‘Napoleon Kecil’ dan birokrasi melampau menafikan keputusan ketua perkhidmatan MAFI.
Ketiga, MAFI hendaklah memastikan semua pejabatnya di daerah seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pertanian, perikanan dan sebagainya dibarisi oleh pegawai-pegawai berprestasi tinggi. Merekalah pelaksana dasar dan pelan tindakan kedaulatan makanan. Kebolehan dan kecekapan pegawai perlu diaudit secara terperinci, sejauh manakah mereka membangunkan golongan peladang, penternak dan nelayan? Pegawai yang memberikan alasan berulang menunjukkan mereka tidak kreatif dan inovatif.
Pegawai perlu dibantu dengan pendedahan kaedah-kaedah penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan design thinking.
Keempat, kecukupan makanan merupakan aspek keselamatan sebab jika dalam masa tiga hari sahaja berlaku kekurangan makanan, negara boleh berada dalam keadaan huru-hara. Sama seperti pasukan polis dan angkatan tentera, MAFI memerlukan pegawai-pegawai perisik yang melaporkan perkara-perkara di lapangan mengenai pengeluaran makanan. Contohnya, laporan risikan mengenai kemajuan padang ragut seliaan JPV di negeri-negeri.
Selain itu, pegawai perisik dapat membantu MAFI mengenai kegiatan kartel serta agihan bantuan kerajaan kepada golongan sasar secara adil dan telus.
Kelima, mendekati dan mendengar pandangan pengeluar makanan. Anggaplah mereka sebagai sahabat yang memiliki pengetahuan dan pengalaman yang dapat digunakan membantu negara meningkatkan hasil pertanian.
Sekuriti makanan bukan sahaja menjadi tanggungjawab MAFI tetapi semua pihak harus memberikan pandangan dan bersama-sama membantu menghalang unsur-unsur yang menggugat kestabilan makanan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah peladang. Beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah dan pensyarah konvensyen penulisan kajian kes di institusi awam.










