Bukan kita tak nak jadi tukang cuci, jaga, buruh...

Bukan kita tak nak jadi tukang cuci, jaga, buruh…

JANGAN sesekali samakan rakyat Malaysia dengan buruh asing. Pekerja asing sanggup buat apa sahaja dengan tawaran bayaran rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menangguhkan sementara kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh secara berperingkat. Saranan MTUC ini bukanlah bersifat antipekerja asing apatah lagi menutup periuk nasi mereka. Akan tetapi MTUC menginginkan kerajaan memberi peluang kepada warga tempatan mengisi kekosongan pekerjaan.

Saya sangat bersetuju dengan gesaan ini apatah lagi memikirkan betapa tenat dan melaratnya anak tempatan kita sejak bermula pandemik Covid-19 pada 2020. Banyak perniagaan lumpuh selain jutaan lagi kehilangan kerja.

Namun begitu, saya kira sekali pun kita berhujah dengan membawa pelbagai faktor untuk tidak menyokong usaha membawa masuk buruh asing ke negara ini, saya tetap melihat faktor utamanya adalah mentaliti kita terhadap rakyat sendiri. Ada pihak pernah menuduh kononnya orang Malaysia memilih pekerjaan. Kata mereka, orang Malaysia terutama orang Melayu nak kerja yang sedap-sedap, tak nak kerja sebagai buruh, pembersih atau jaga sehinggakan terpaksa mengimport masuk jutaan pekerja asing.

Tambah pihak ini lagi, pekerja asing tak banyak songeh, hanya turut dan taat tanpa sebarang bantahan. Ternyata ini merupakan satu tuduhan sangat jelik terhadap rakyat.

Salah satu faktor utama mengapa rakyat Malaysia tidak memilih untuk bekerja dalam sektor-sektor tersebut adalah disebabkan gaji rendah yang tidak masuk akal. Itu belum lagi pelbagai laporan tentang layanan buruk majikan dan hak-hak mereka yang sentiasa dicabuli.

Jangan sesekali samakan rakyat Malaysia dengan buruh asing. Pekerja asing sanggup buat apa sahaja dengan tawaran bayaran serendah mana pun kerana kebanyakan datang bersendirian, bahkan gaji rendah itu dikira mewah di tanah air mereka.

Kalau nak rakyat Malaysia lebih ramai berkecimpung dalam bidang pekerjaan yang dikatakan ‘kelas bawahan’ itu, maka berikan gaji yang setimpal, inisiatif-inisiatif memuaskan. Sekiranya isu-isu seperti ini dapat diselesaikan, percayalah, ribuan warga Malaysia akan berpusu-pusu mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor tersebut.

Baru-baru ini, saya berkesempatan berbincang berkenaan isu ini dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar. Beliau merupakan antara orang paling terkehadapan dalam menyokong saranan MTUC untuk menangguhkan kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.

AKTA

Menurutnya, dalam suasana negara dan rakyat pada hari ini yang masih terkesan dengan Covid-19, kerajaan perlu mengubah pendekatan.

Katanya, kerajaan boleh membuat satu undang-undang atau akta untuk memasukkan warga tempatan mengisi kekosongan kerja dan dalam masa sama menjaga kepentingan majikan. Contohnya, pekerja-pekerja tempatan ini perlu bekerja dalam tempoh tertentu dan mereka tidak boleh berhenti sesuka hati sebelum tempoh ditetapkan tamat. Sekiranya ketetapan itu dicabuli tanpa alasan munasabah, maka pekerja tersebut boleh dikenakan tindakan tegas.

“Kalau kita lihat di negara-negara maju terutama Eropah, pekerjaan seperti buruh kasar diisi oleh warga tempatan dan begitu kurang sekali untuk melihat buruh asing bekerja dalam sektor tersebut.

“Malahan di Australia juga kerja kemahiran ini dibayar gaji yang cukup tinggi. Sebenarnya tidak ada alasan untuk kita tidak menerima saranan untuk mengurangkan pekerja asing,” ujarnya.

Saya juga sependapat dengan Mohd. Fakhrulrazi yang semakin runsing dengan budaya samseng warga asing di negara ini. Ramai daripada mereka cuba mengawal perniagaan di sesebuah lokasi. Itu belum lagi sentuh soal kebersihan dan masalah sosial. Bertambah geram apabila keselesaan penduduk terganggu sekiranya warga asing ini menguasai sesebuah penempatan.

“Rakyat pun kena tahu, sebenarnya tiada sesiapa pun yang memandang rendah atau menghina sesiapa yang bekerja dalam sektor buruh, kebersihan dan seangkatan dengannya.

“Kita sendiri pun sedia maklum yang ramai warga kita di Eropah buat kerja sampingan sebagai pekerja pembersihan sedangkan mereka sedang melanjutkan ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti-universiti terkemuka di sana. Bila balik Malaysia, mereka berjaya,” tambahnya.

Jadi kesimpulannya di sini, kerajaan dan rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menuju perubahan dengan mengurangkan pekerja asing serta mengamalkan budaya baharu dalam menggalakkan atau memastikan warga tempatan bukan sahaja diberi keutamaan mengisi jawatan tetapi bersedia untuk mengisi jawatan-jawatan yang dikosongkan atau dimonopoli oleh warga asing sejak sekian lama. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×