PERANG Russia dan Ukraine yang berlarutan lebih dua bulan sudah pasti merenjatkan bekalan makanan sedunia. Malahan ramai tidak tahu bahawa Russia dan Ukraine adalah pembekal utama gandum, jagung, barli dan lain-lain keperluan makanan dunia.
Boleh dikatakan Russia dan Ukraine juga pembekal utama nikel, titanium, tembaga dan lain-lain bahan yang diperlukan dalam pembuatan mikrocip. Selain itu, Russia dan Ukraine juga pembekal amonia, fosforus dan nitrat utama dunia iaitu tiga bahan yang diperlukan dalam pembuatan baja pertanian. Hasil sepertiga minyak dan gas juga datang dari Russia dan Ukraine.
Sekatan pertukaran Persatuan bagi Telekomunikasi Kewangan Antara Bank (SWIFT) juga dilaksanakan supaya dapat melihat tindak balas dalam pertukaran nilai mata wang sedunia. Kesemua insiden ini bukan berlaku secara kebetulan. Sememangnya perubahan iklim memainkan sebahagian kecil peranan dalam krisis kelaparan ini. Tetapi yang paling besar adalah mencetuskan penawaran bahan-bahan utama keperluan dunia seperti makanan, minyak, gas dan lain-lain menjadi terhad. Akibatnya permintaan sudah pasti meningkat mendadak selepas banyak negara menukar perundangan kawalan pandemik kepada epidemik.
Situasi ini akan memaksa kenaikan harga barangan keperluan tersebut disebabkan kegiatan ekonomi kembali seperti sedia kala. Seterusnya impak perubahan sosioekonomi dengan meningkatnya permintaan makanan akan memaksa satu situasi yang kritikal berlaku seiring terhadnya bekalan keperluan dunia iaitu krisis nilai mata wang.
Memaksa Russia keluar daripada pertukaran SWIFT turut menyebabkan kehilangan satu mata wang yang menjadi pembekal utama keperluan dunia bukan tindakan bijak.
Sebagai tindak balas, mana-mana negara pun dalam soal SWIFT sudah pasti akan cuba menghentikan kejatuhan nilai mata wangnya.
Langkah Russia ini sudah dijangkakan dengan menambat kepada nilai emas. Ini memberikan kesan ke atas dolar Amerika Syarikat (AS). Seperti dijangkakan, ekonomi AS yang dimonopoli oleh oligarki elit sudah pasti menaikkan harga dolar AS melebihi kekuatan nilai emas. Kesannya, dunia bakal berdepan dengan krisis nilai mata wang dan nilai emas.
Situasi ini merenjatkan ekonomi dan keperluan hidup seluruh negara selepas pandemik Covid-19. Bukan semua negara di dunia bersedia dengan renjatan tersebut.
Perubahan Iklim hanya sebahagian kecil sandaran sebab utama berlakunya krisis kelaparan. Malahan jika dilihat kawasan-kawasan yang sering kali dilanda kemarau pada kali ini boleh juga dibuktikan bahawa pemanasan global adalah sengaja dirancang, bukan kebetulan. Suhu dunia dikatakan meningkat kerana meningkatnya paras gas karbon. Tetapi apakah tindakan negara-negara Barat dalam soal pemuliharaan alam untuk menurunkan paras karbon dunia? Kita boleh memulakan dasar teknologi mesra alam bagi mengawal perubahan suhu iklim negara ini.
RCEP
Sebagai langkah untuk melindungi negara kita daripada penguasaan mana-mana blok negara, platform ASEAN amat sesuai bagi kestabilan dan kemakmuran dalam menangani krisis kelaparan yang bakal berlaku.
Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi melindungi dasar keselamatan makanan ASEAN perlu diteliti semula supaya bekalan dan keperluan makanan terutama negara kita tidak terjejas dengan terbentuknya satu pakatan RCEP.
Malaysia perlu mengutamakan keperluan bekalan makanan tempatan terlebih dahulu sebelum dieksport ke mana-mana negara. Langkah ini bagi melindungi rakyat tempatan daripada krisis kelaparan. Pelaksanaan dasar-dasar yang boleh menghapuskan kartel, orang tengah dalam industri perladangan, pertanian dan penternakan sepatutnya dilakukan secara telus, bersih dan akauntabiliti. Permit import (AP) perlu digunakan secara bersasar bagi melindungi industri pertanian, penternakan dan perladangan tempatan. Ini disebabkan ada kalanya harga barangan produk pertanian dan penternakan tempatan jauh lebih mahal daripada harga barangan produk luar.
Agihan subsidi bersasar ke atas perusahaan tanah yang aktif untuk aktiviti industri pertanian, perladangan dan penternakan perlu dilaksanakan segera. Agihan boleh berbentuk subsidi baja dan makanan haiwan ternakan. Menghidupkan kembali tanah-tanah terbiar untuk digunakan bagi tujuan pertanian dan penternakan terutama di kawasan pinggir bandar dan luar bandar melalui satu skim pemulihan tanah. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah kadar pengangguran dan lambakan kependudukan tumpuan ke pusat bandar
Usaha membina terusan dan takungan air untuk kegunaan pertanian dan penternakan bagi menampung penggunaan air di kawasan penempatan kegiatan tersebut. Air merupakan sumber penting dalam kegiatan aktiviti pertanian, perladangan dan penternakan. Bagi kawasan yang berpotensi menjadi tadahan air dan masih belum diterokai, perlu digazetkan supaya dapat mewujudkan satu kawasan takungan air yang mampan dan selamat digunakan terutama bila berlaku kemarau.
Seterusnya mewujudkan gudang simpanan makanan dan stok penimbal keperluan makanan dan ternakan bagi kawalan harga dan kecemasan. Ini merupakan satu langkah efektif dalam mengawal kenaikan harga secara mendadak akibat kekurangan penawaran dalam pasaran.
Pemberian kredit tanpa faedah kepada mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang ingin mengusahakan kawasan pertanian, perladangan dan penternakan. Ini amat penting dalam menjamin kelangsungan aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan dapat diteruskan tanpa terjejas akibat faktor perubahan cuaca mahupun kekurangan modal. Usaha ini juga dapat mengurangkan pengimportan makanan dari luar.
Seterusnya dapat memampankan kendiri keperluan kecukupan makanan bagi keperluan keseluruhan penduduk setempat melalui pemetaan semula kendiri keperluan kecukupan makanan setempat di setiap negeri dan daerah. Bagi mengurangkan pembaziran makanan supaya dapat digunakan secara optimum, satu kempen kesedaran perlu diaktifkan semula. Usaha-usaha ini sebenarnya dapat membantu satu gerakan supaya tiada sesiapa tertinggal dalam kecukupan makanan dengan menggalakkan mana-mana NGO untuk lebih giat aktif membantu golongan terjejas. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










