Henti guna fakta 300 juta penutur

Henti guna fakta 300 juta penutur

KEKUKUHAN ekonomi sesebuah negara merupakan antara faktor utama boleh menjadikan bahasa yang dipertuturkan rakyatnya layak diangkat sebagai bahasa antarabangsa. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keterujaan kita menyambut gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dan seterusnya pula selaku bahasa antarabangsa, pelbagai dalil dihujahkan sehingga sesetengahnya dijalar-jalarkan tanpa logik bernas. Antaranya, nilai ekonomi rendah bahasa Melayu yang perlu diakui untuk dipertingkat dan bukannya disanggah keras dengan hujah meleset kerana semata-mata tidak mahu menerima hakikatnya. Dari satu segi, ini memperlihat semangat tinggi manakala pada segi lain, ia tidak berupa hujah pintar apabila dibahas golongan sarjana pula.

Sehubungan ini, satu hujah yang dianggap bersifat pintar ialah jumlah penutur bahasa Melayu supra di alam Melayu. Dalam hal ini, bahasa Melayu digolongkan sebagai bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penutur yang tidak kurang daripada 300 juta di tanah watannya, iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei di mana ia merupakan bahasa negara. Fakta ini sering digunakan sebagai kekuatan bahasa Melayu untuk menawan dunia.

Sebenarnya kekuatan bahasa Melayu ini hanya terpakai dalam konteks kepupusannya yang tidak mungkin boleh berlaku dengan mudah pada jumlah sebesar itu dan dalam diaspora yang luas pula. Sebaliknya kekuatan ini tidak sesuai, malah tidak boleh digunakan dalam konteks penyebarluasan bahasa, yakni keinginan menjadikan sesuatu bahasa itu juga penting di luar kawasan watannya.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada kes bahasa Mandarin yang mempunyai penutur jati seramai tidak kurang daripada satu bilion di tanah watan China sahaja. Namun, ia tidak pun berupaya menjadi bahasa antarabangsa, yakni bahasa yang digunakan dalam ranah antarabangsa, antaranya untuk komunikasi antarabangsa yang boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya rakyat pelbagai negara berlainan menggunakan sesuatu bahasa itu sama ada untuk tujuan peribadi mahupun rasmi. Dengan kata lain, sesuatu bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa apabila rakyat negara berbeza-beza menggunakannya untuk berkomunikasi secara makro, yakni dalam agregat besar atau secara mikro, yakni sembang antara dua individu.

Sebaliknya bahasa Inggeris dengan jumlah penutur jati yang jauh lebih rendah berupaya memainkan peranan komunikasi antara nasionaliti berbeza-beza di seantero dunia sama ada dalam pengertian sempit, iaitu antara dua individu berlainan kerakyatan untuk sembang biasa atau antara dua kerakyatan dalam agregat besar, yakni rata-ratanya oleh rakyat Jerman apabila berkomunikasi dengan rakyat Jepun sebagai contoh.

Untuk memperjelas bahawa fakta jumlah penutur jati dan watan ini tidak relevan dalam usaha pengantarabangsaan sesuatu bahasa itu ialah kes bahasa Bengali, iaitu bahasa di Bangladesh. Ia yang juga dikenali sebagai bahasa Bangla dituturkan oleh sekitar 340 juta orang sebagai bahasa natif dengan 165 juta di Bangladesh dan selebihnya di kawasan Bengal, India. Jumlah 340 juta penutur jati ini jika dibandingkan dengan bahasa Perancis yang dituturkan secara natif oleh sekitar 65 juta orang sahaja di Perancis tidak pun melayakkan apatah lagi menjadikan bahasa Bengali itu bahasa antarabangsa dalam pengertian kepentingannya dalam ranah antaranbangsa dalam apa-apa jua aspek.

EKONOMI

Sebenarnya untuk sesuatu bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa, ia perlu malah sangat amat perlu mempunyai kekuatan ekonomi yang boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya ialah kekuatan ekonomi pada komuniti bahasa itu yang ternyata dijana oleh bahasa natifnya, misalnya bahasa Jepun. Sehubungan ini, pendidikan bahasa Jepun sebagai bahasa asing didapati lebih jauh hebat sambutannya jika dibandingkan dengan bahasa Bengali. Ini kerana kekuatan ekonomi rakyat Jepun secara keseluruhannya menjadi antara perangsang utama untuk mempelajari bahasa Jepun yang dianggap lebih bernilai daripada mempelajari bahasa lain yang rakyatnya rata-rata lemah dari segi ekonomi.

Oleh sebab kekuatan ekonomi, lebih-lebih lagi yang amat kuat seperti yang ada pada rakyat United Kingdom dan selepas itu Amerika Syarikat (AS) mulai abad ke-20, ia merupakan antara faktor utama untuk menjelaskan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa berbanding bahasa Mandarin dan bahasa Perancis.

Sehubungan ini, kekuatan ekonomi China kini yang mungkin meloncat mengatasi AS nanti akan menjadikan bahasa Mandarin penting dalam ranah antarabangsa, justeru sebagai bahasa antarabangsa. Apabila ini berlaku, ia bukan kerana jumlah penutur jatinya yang agam itu tetapi kerana kekuatan ekonomi penuturnya yang tidak dapat dipertikai dijana sepenuhnya oleh bahasa Mandarin.

Oleh itu, kita hendaklah perlu berhenti daripada menggunakan fakta jumlah penutur watan seramai 300 juta itu yang ikut ditegaskan sebagai separuh daripada jumlah penduduk 10 negara ASEAN. Ini kerana pengantarabangsaan bahasa Melayu tidak boleh bergerak maju atas landasan perhitungan sebegini.

Selain tapak ekonomi, budaya adalah saluran lain yang harus dimanfaatkan. Bahasa Inggeris yang tidak boleh dipertikai taraf keantarabangsaannya yang sukar ditangani pada masa ini sebenarnya ikut mempunyai kehebatan budaya untuk mengiringi kekuatan ekonomi itu.

Berdasarkan kerangka kejayaan bahasa Inggeris dan terus kekal dalam kedudukan itu waima untuk tujuan tertentu sahaja, misalnya dalam bidang diplomasi ASEAN, anak watan alam Melayu hendaklah memastikan adanya kekuatan ekonomi yang merupakan syarat wajib yang ikut dilengkapi kehebatan budaya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×