Halal: Proses ketat, berintegriti

Halal: Proses ketat, berintegriti

KERAJAAN menetapkan polisi halal yang ketat terhadap setiap produk daging sama ada lembu, kerbau, kambing, ayam atau haiwan halal import lain yang masuk ke pasaran. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA masa ini, Malaysia mengimport bekalan daging mentah dari 50 rumah sembelihan dan loji pemprosesan di pelbagai negara bagi memenuhi keperluan bekalan daging mentah dari sudut peruncitan dan perindustrian. Proses pengimportan daging mentah tersebut melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci sebelum kelulusan untuk mengeksport diberikan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selaku agensi berautoriti dalam mengeluarkan permit import kepada syarikat pengimport.

Antara negara-negara yang mengeksport daging ke Malaysia adalah India, Pakistan, Thailand, China, Australia, New Zealand, Brazil, Argentina, Australia dan Jepun.

Dalam konteks halal, kerajaan mengambil usaha proaktif dengan menetapkan polisi terhadap setiap produk daging sama ada lembu, kerbau, kambing, ayam atau haiwan halal import lain yang masuk ke pasaran. Polisi kerajaan ini bukan sahaja dirangka sebagai usaha untuk menjamin rantaian halal bahan mentah di Malaysia malah sebagai satu bentuk kawalan agar hanya daging sembelihan halal dibenarkan dibawa masuk.

Pelaksanaan dasar ini pastinya melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku pihak berkuasa dalam pensijilan halal di Malaysia. Namun, Jakim tidak pernah dan tidak mengeluarkan pensijilan halal secara terus kepada loji sembelihan luar negara sebaliknya berperanan menyelia dan memberi perakuan dari sudut keperluan halal dan kepatuhan syariah. Pun demikian, Jakim tidak akan berkompromi untuk merendahkan prosedur halal terhadap rumah sembelihan luar negara yang diaudit.

Untuk memastikan matlamat tersebut dicapai, Jakim menetapkan keperluan halal bagi rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang diluluskan mengeksport produk ke Malaysia untuk melaksanakan sistem halal sepenuhnya (dedicated halal plant) berdasarkan keperluan Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Production dan MS Halal Food – Production, Preparation, Handling and Storage – General Guidelines (MS 1500:2009).

Selain itu, keperluan dan kriteria wajib bagi setiap permohonan pengimportan daging ke Malaysia adalah memiliki pensijilan halal sah daripada badan pensijilan halal diiktiraf oleh Jakim dari negara berkenaan. Mekanisme ini dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem halal di rumah sembelihan atau loji pemprosesan luar negara meliputi aspek pengauditan, penilaian dan pemantauan termasuk memberi latihan dan tauliah kepada penyembelih serta keberadaan penyelia dan pemeriksa halal loji sembelihan berkenaan.

Justeru, setiap loji sembelihan yang diluluskan untuk mengimport daging ke Malaysia bukan sahaja perlu diaudit, diselia dan dipantau oleh badan pensijilan halal luar negara malah perlu memastikan aspek pematuhan halal menepati syarat dan keperluan ditetapkan oleh Jakim bagi pasaran Malaysia atau tidak.

Dalam masa sama, badan pensijilan halal luar negara dikehendaki menyediakan laporan dan rekod pemantauan yang mereka lakukan ke atas rumah sembelihan atau loji pemprosesan di bawah seliaan mereka. Laporan dan rekod pemantauan tersebut perlu dihantar kepada Jakim setiap enam bulan dan disemak oleh juruaudit syariah Jakim apabila melakukan audit bersama JPV.

ATASE HALAL

​Dalam konteks pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara pula, ia diberikan berdasarkan permohonan yang diterima daripada badan berkenaan dan setelah melalui satu penilaian dokumen dan lapangan berdasarkan prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara serta melalui proses pemantauan berkala. Mekanisme pengiktirafan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha bagi mengawal rantaian halal bahan mentah dan produk yang kita gunakan setiap hari.

Terkini, sebanyak 84 badan pensijilan halal dari 46 negara telah memperoleh pengiktirafan daripada Jakim. Khusus di Australia, Jakim meletakkan pegawai Atase Halal di Kedutaan Besar Malaysia di Canberra secara tetap yang bertanggungjawab untuk menyelia dan memantau rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang telah mendapat kelulusan mengeksport produk mereka ke Malaysia bersama badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim.

Bagaimanapun, kesemua keperluan dan mekanisme yang dinyatakan di atas masih belum memadai sehinggalah Jakim sendiri menjalankan pengauditan dan penilaian lapangan bagi mengesahkan dan membuat perakuan halal. Pengauditan yang dijalankan secara bersama dengan juruaudit JPV ini saling melengkapi aspek keselamatan, kualiti dan pematuhan halal.

Hasil penemuan dan dapatan dalam konteks pematuhan halal kemudiannya perlu melalui sebanyak empat kali proses pembentangan dan penilaian iaitu dua peringkat penilaian di peringkat Jakim dan dua peringkat seterusnya diurusetiakan oleh JPV sebelum satu keputusan diberikan. Setiap penemuan ketidakakuran semasa audit akan dibentangkan oleh juruaudit dan dibincangkan secara mendalam untuk mendapatkan keputusan sama ada wajar diberi kelulusan atau tidak diluluskan.

Keputusan akhir daripada mesyuarat ini adalah penentu bagi memastikan sesuatu permohonan itu boleh disenaraikan dalam senarai rumah sembelih atau loji pemprosesan luar negara yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging atau hasil daging ke Malaysia di laman sesawang JPV, www.dvs.gov.my.

Secara umumnya, kerajaan bukan sahaja menetap dan melaksanakan dasar halal terhadap setiap produk daging import yang masuk ke pasaran Malaysia halal dan selamat untuk dimakan malah telah merangka mekanisme pengawalan di seluruh rantaian halal, membangunkan keperluan dan kriteria yang ketat serta membuat perakuan halal berdasarkan penilaian, pengauditan lapangan dan pembentangan melalui beberapa lapisan jawatankuasa sebelum memberi kelulusan kepada sesebuah loji dan kemasukan daging import ke Malaysia.

Namun, sekiranya terbukti berlaku perlangaran prosedur dan pematuhan halal terhadap mana-mana badan atau loji sembelihan berkenaan, Jakim dengan penuh rasa tanggungjawab dan integriti akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melengkapkan siasatan dan mengesyorkan tindakan sepatutnya untuk mempertahankan prosedur dan pematuhan halal. – UTUSAN

DATUK Hakimah Mohd. Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×