Keluarga ‘normal’ sudah pupuskah? - Utusan Malaysia

Keluarga ‘normal’ sudah pupuskah?

Ayahanda antara drama bagus menggambarkan situasi keluarga Melayu kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kalau tak berebut suami orang, rebut isteri orang. Mak mentu pula selalunya jahat-jahat belaka. Hero dan heroin selalunya naif dan baik tak bertempat, seolah-olah kerbau di cucuk hidung.

Meluat betul,” komen seorang teman mengenai drama Melayu jam tujuh yang disiarkan di kaca televisyen.

Itu juga alasan buat dirinya yang kini semakin gila marathon drama Korea di internet. Dia memujuk rakan sebelahnya mencuba penangan drama-drama Korea.

“Maaflah, saya tak mahu terjebak. Dah banyak usia lebih baik melayan mata, tidur,” kata rakannya yang duduk sebelah.

Saya yang curi-curi dengar ni rasa nak tergelak. Minat masing-masing, kalau ada masa, tontonlah sampai jemu dan lelah.

Kadangkala saya terfikir juga kenapa pembikin drama tempatan seolah-olah sudah lari daripada asas sebenar? Saya katakan begini sebab walaupun ada platform lain menonton drama, TV masih menjadi pilihan ramai hingga boleh menarik puluhan juta penonton untuk sesuatu drama ditayangkan.

Begitupun, drama yang betul-betul membuatkan kita berfikir boleh dikira dengan jari sahaja. Yang banyak adalah sajian yang membuai perasaaan dan rasa. Tanpa ada pengajaran. Betulkan?

Drama Ayahanda – Ibrah Ramadan yang disiarkan di TV3 baru-baru ini mungkin antara satu yang bagus menggambarkan situasi keluarga Melayu kita. Ia turut mengubat rindu saya pada drama Melayu berkualiti.

Ayahanda berkisah kepada kehidupan seorang suami yang juga imam masjid yang lebih gemar menghabiskan masa di masjid berbanding dengan keluarga.

Kisah benar nukilan Allahyarham Azizi Abdullah, ini pernah disiarkan tahun lepas dan merekodkan empat juta tontonan ketika episod akhir ditayangkan mengikut sumber Nielsen.

Naskhah garapan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar ini juga dikhabarkan bakal di filemkan.

Nyata Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud yang menjadi tongak cerita ini begitu memberi kesan kepada penonton.

Biarpun drama ini membawa tema serius, tetapi ia menjentik emosi ramai. Maka tidak hairanlah kalau ia tersenarai dalam pencalonan awal empat kategori pada Anugerah Telenovela 2022.

Formulanya mudah. Filem kita wajah kita. Tak perlu terjerit-jerit menyesakkan dada. Itu belum lagi dengki khianat anak beranak hingga membawa kepada pembunuhan.

Memang kitapun tumpang sakit hati menonton drama sebegitu, lebih-lebih ia bukanlah realiti sebenar orang Melayu. Cerita rekaan yang tidak masuk akal. Sepanjang episod pasti ada dengki dan khianat. Kiranya 24 jam jahat.

Mungkin ada tetapi peratusan itu terlalu kecil. Yang hairannya cerita begitulah yang menjadi rebutan TV untuk menyangkannya di kaca televisyen.

Paling mendukacitakan nilai drama sebeginilah menjadi hidangan pada Aidilfitri dan Syawal.

——————-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×