SEREMBAN: Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan isterinya, Rohayati Salleh, 46, hidup serba kekurangan selepas kedai makan tempat mereka bekerja menutup perniagaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu.
Terkesan dengan nasib menimpa, mereka menjual beberapa barang peribadi termasuk peti ais dan jam tangan bagi menyara hidup dan membayar sewa bilik.
Namun siapa menyangka, ketika mahu menjual peti ais itu menemukan pasangan itu dengan pemilik kedai perabot terpakai, L. Linda Kasturi, 39.
Cerita Fakhrulzaman, Linda dan suami bukan sekadar membeli peti ais tersebut malah membawa dirinya dan isteri tinggal di rumahnya.
“Dala tempoh PKP, saya diserang strok dan tidak mampu melakukan apa-apa kerja. Dan sejak tinggal bersama Linda enam bulan lalu, wanita itu dan keluarganya menjaga saya dan isteri sangat baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Sungai Ujong dekat sini semalam.
Kata Fakhrulzaman, Linda yang memanggil dirinya sebagai ‘ayah’ manakala isteri sebagai ‘ibu’ menyediakan makanan halal dan ruang solat termasuk menghantarnya ke masjid pada hari Jumaat.
Jelasnya, dia ada lima anak berusia tujuh tahun hingga 24 tahun dengan ada antara mereka sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta di sebuah madrasah di Indonesia.
“Ibu saya di Pahang menjaga semua anak saya. Saya tidak mahu mereka melihat saya susah. Jika ada peluang, saya akan balik menemui mereka,” katanya.
Sementara itu, Linda berkata, walaupun berbeza agama dengan pasangan suami isteri itu, ia bukan penghalang untuknya, suami, ibu kandungnya memberikan bantuan.
“Sayah anggap mereka seperti ibu bapa saya dan berharap ada pihak yang datang memberi bantuan.
“Saya ada niatmembina sebuah rumah di sebelah rumah saya kerana anak-anak saya sudah rapat dengan pasangan ini,” katanya.
Sewaktu banjir kilat melanda daerah ini baru-baru ini, Linda menghantar pasangan itu dan keluarganya ke sebuah hotel di Rasah.
“Selepas saya selesai mencuci rumah, saya bawa mereka semula ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, kata Linda, sambutan Deepavali minggu depan nbak meriah kerana ‘ahli keluarganya’ bertambah ramai.
“Saya tidak ramai saudara di sini, lebih-lebih lagi ketikaPPK Bersyarat saya tidak boleh melawat keluarga di Kuala Lumpur,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 10 tahun dan 10 bulan. – UTUSAN










