MARAN: Kata-kata perangsang bapa antara azimat yang menguatkan semangat Nor Sarah Adi sehingga berjaya merangkul pingat emas dalam lompat bergalah di Sukan SEA, kelmarin..
Nor Sarah juga turut mengukir kejayaan berganda memungut gangsa dalam kuartet 4×100 meter di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Adi Daud, 56, berkata, sebelum anaknya menyertai acara itu, nalurinya berasa yakin Nor Sarah akan berjaya merangkul emas dan sejam sebelum anaknya turun ke arena, dia menghubungi anaknya dengan memberikan kata semangat supaya tidak menghampakan rakyat Malaysia dan keluarga.
“Sebagai bapa, saya memang tahu sikap dia (Nor Sarah) memang tidak mengenal erti kalah dan sentiasa berusaha keras untuk berjaya dan sentiasa berdisiplin melakukan latihan.
“Setahu saya, acara yang kerap diceburinya, iaitu larian 100 meter dan 4×100 meter, namun acara lompat bergalah hanya sekali-sekala disertainya sekiranya ada dimasukkan dalam kejohanan dalam negara,” katanya di Felda Jengka 3 di sini semalam.
Menurut Adi, Sarah seorang yang meminati sukan sejak di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 3 dan kerap menceburkan diri dalam acara larian termasuk acara merentas desa.
“Ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2, dia lebih giat berlatih malah mendominasi acara yang sangat digemarinya.
“Sehinggalah, pembabitan serta kejayaannya mewakili daerah dan negeri, dia dipilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Gambang, Kuantan bermula Tingkatan Tiga hingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Katanya, Nor Sarah anak keempat daripada tujuh beradik itu, kemudiannya berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti ijazah Komunikasi Massa dan kini di Tahun Kedua dan terus aktif dalam sukan olahraga sehingga terpilih mewakili universiti dalam pelbagai kejohanan dan Sukan SEA Ke-31 di Vietnam tahun ini.
Dalam pada itu, ibunya, Nasnita Mohf. Zain, 48 turut terharu dengan kejayaan anaknya yang merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah.
“Kami sekeluarga tidak senang duduk menonton secara langsung acara ini melalui televisyen, kelmarin dan dia sempat melakukan panggilan video selepas mencatatkan nama sebagai penerima pingat emas.
“Saya sangat bersyukur apabila kata semangat yang kami titipkan kepada Nor Sarah serta doa semua rakyat Malaysia sehingga anak saya serta atlet tanah air yang berjuang di Vietnam terus memperoleh kejayaan banyak pungutan pingat,” ujarnya. – UTUSAN










