Mengurus khilaf ulama - Utusan Malaysia

Mengurus khilaf ulama

Umat Islam mesti berlapang dada dalam hal-hal furu' terutama berkaitan fikah ibadat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasulullah SAW pernah bersabda: Umatku akan berpecah belah sebanyak 73 golongan, semuanya berada di api neraka (sesat), kecuali satu. Lalu para sahabat bertanya kepada baginda: Siapakah mereka Ya Rasulullah? Maka jawab baginda: Siapa yang berpegang dengan aku dan sahabat-sahabatku. (Riwayat al-Tirmidzi) Daripada hadis ini, umat Islam dapat faham bahawa perbezaan dan khilaf pasti terjadi di dalam Islam. Ini adalah fitrah yang telah Allah gariskan kepada makhluknya.

Perbezaan yang terjadi wujud pada dua aspek: 1. Usul (pokok) 2. Furu’ (cabang). Perbezaan di dalam usul adalah seperti perbezaan dalam hal-hal pokok yang mencakupi akidah dan fikah.

Contoh usul akidah adalah perbezaan antara sunni dan syiah tentang status keimanan Saidina Muawiah yang dikafirkan oleh syiah. Walhal beliau termasuk penulis wahyu bersama sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Contoh furu’ dalam akidah pula adalah perbezaan antara sesama sunni seperti perbezaan sifat wajib Allah adakah 13 atau 20?

Perbezaan dalam usul akidah seperti yang diterangkan tadi tidak menyebabkan ulama sunni mengkafirkan syiah, akan tetapi mereka sepakat mengeluarkan syiah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sebabnya, ini adalah perbezaan yang tidak dapat ditoleransi. Sedangkan perbezaan dalam furu’ akidah pula tidak terkeluar dari keluarga besar Ahli Sunnah kerana ia hanya perbezaan sisi pandang pada hujah.

Perkara yang hampir sama biasa terjadi dalam fikah juga. Contoh usul dalam fikah adalah nikah mut’ah yang disepakati oleh ulama sunni sebagai haram secara ijmak. Sedangkan furu’ dalam fikah pula lebih banyak terjadi seperti khilaf ulama tentang kesunatan melafazkan niat untuk wuduk dan solat.

Dalam mazhab Syafie ia adalah sunat kerana membantu perkara wajib sedangkan Maliki, ia makruh. Perbezaan usul dalam fikah tersebut membuat pengamalnya dikeluarkan daripada ASWJ seperti syiah. Sedangkan perbezaan dalam furu’ fikah masih sangat diraikan di dalam ASWJ.

Walau bagaimanapun, isu yang terbesar melanda umat Islam hari ini adalah bagaimana kita mengurus khilaf ini. Apakah perbezaan dalam usul akidah terus membuatkan kita mengkafirkan pelakunya? Malah menuduhnya sebagai zindiq atau seumpamanya?

Imam al-Ghazali telah meletakkan garis merah bahawa perbezaan di dalam usul akidah sama sekali tidak membuatkan kita boleh mengkafirkannya selagi ia masih dalam ahli kiblat dan tidak melanggar perkara-perkara ma huwa maklum min al-din bi al-darurah (yang diketahui dalam agama secara pasti).

Perbezaan dalam furu’ akidah pula tidak sepatutnya dijadikan sebab bergaduh dan saling caci maki atau kutuk-mengutuk. Ia sepatutnya menjadi tempat saling mengkaji pandangan masing-masing dan bertukar pandangan agar mendapatkan solusi hujah terkuat.

Sedangkan khilaf usul dalam fikah pula adalah khilaf yang keji lebih-lebih lagi ia menyalahi ijmak ulama. Maka pihak kerajaan tentunya perlu melarang perkara ini berlaku. Sedangkan di peringkat awam tidak sepatutnya dibuka pintu untuk saling kafir mengkafir. Walaupun perkara ini salah, akan tetapi ia merupakan tugas kerajaan menyelesaikannya bukan awam.

Khilaf furu’ dalam fikah juga banyak membuat orang awam merasa keliru dan menjadi punca sengketa. Misalnya perbuatan melafazkan niat masih ada suara-suara yang menuduhnya sebagai bidaah yang keji, walhal dalam mazhab Syafie ia adalah sunat.

 

PERKARA KHILAF

Orang yang membidaahkan perkara khilaf telah melanggar kaedah penting yang ulama semasa sebutkan iaitu la tabdi’a fi masail al-khilaf (tiada pembidaahan dalam masalah yang diperselisihkan oleh ulama).

Selain itu, ada isu yang ratusan ulama mengharuskannya bahkan memfatwakan kesunahannya. Namun, masih ada suara-suara yang menuduh syirik perbuatan tersebut, misalnya isu tawasul dan istighathah.

Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki menjelaskan, istighathah adalah memohon bantuan kepada orang yang hidup ataupun mati. Ia diharuskan dengan syarat orang tersebut beriktikad bahawa segala manfaat dan mudarat hanya Allah SWT jualah yang menjadikan.

Sumber keharusan beristighathah adalah sebuah athar yang mengisahkan bendahari Saidina Umar r.a ketika musim kemarau telah pergi ke makam Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah! Mintakanlah hujan kepada Allah, sesungguhnya umat-mu sudah binasa”.

Lalu Baginda Rasulullah SAW mendatangi kepadanya dalam mimpi dan berpesan untuk bertemu dengan Umar r.a dan menyampaikan salam. Ketika berita itu disampaikan kepada Umar r.a maka Umar tidak membantah perbuatan bendaharinya bahkan berkata: Ya Tuhanku! Tidak aku berputus asa melainkan pada perkara yang tidak aku berdaya.

Athar ini disahihkan oleh banyak ulama termasuk al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz Ibn Kathir murid kepada Ibn Taymiyyah dan lain-lain.

Isu keharusan bertawasul dan istighathah juga dianjurkan oleh banyak ulama seperti Imam al-Nawawi, al-Suyuti, Ibn Hajar al-Haytami, al-Subki, al-Qastalani, Mula Ali Qari, al-Qadi Iyyadl, al-Bayhaqi, al-Ramli dan lain-lain ulama.

Maka kalaupun ada yang berbeza pendapat dengan banyak ulama ini, apakah layak untuk menuduh orang yang melakukan tawasul dan istighathah sebagai syirik besar? Bukankah kalau sudah disyirikkan pelakunya, maka hukum kufur pula boleh jatuh kepada batang tubuh pelakunya?

Akhirnya budaya kafir mengkafir akan lahir, walhal ia adalah perkara khilaf yang diharuskan banyak ulama besar. Mengapa mereka tidak berpegang pada la takfira fi masail al-khilaf (tiada pengkafiran dalam masalah-masalah khilaf)?

  • Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM & Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×