APA yang akan terjadi bila sesebuah produksi filem bertindak berani mengikut kepala sendiri dan lari daripada acuan biasa yang kononnya menjadi standard dalam industri perfileman dan drama tanah air?
Ada yang begitu sinikal bertaruh, kononnya filem yang menjual wajah pelakon tua tidak akan pergi jauh. Katanya, buat rugi sahaja letak pelakon tua sebagai sandaran utama untuk sesebuah karya apalagi kalau ditayangkan di layar perak.
Mana ada orang hendak tengok? Tak mampu jadi pelaris filem. Lainlah kalau letak pelakon muda-muda di depan. Kalau seksi, itu bonus. Begitulah mungkin antara tohmahan yang dilemparkan.
Namun, betapa keringnya hati pengarah filem Tiga Janda Melawan Dunia (TJMD), Hyrul Anuar yang membuktikan bahawa ‘kedegilannya’ membuahkan sesuatu yang positif dan nyawa baru kepada suasana industri perfileman negara.
Menerusi naskhah itu, Hyrul mempertaruhkan Normah Damanhuri, Khatijah Tan dan Raja Azura sebagai tunjang utama tanpa mempedulikan kata-kata orang yang menganggap si pelakon-pelakon tua ini kononnya hanya akan ‘meranapkan’ lagi filem tersebut dek wajah senja mereka.
Menganggap dirinya telah membuat keputusan yang tepat, Hyrul meluahkan rasa bangga proses pembikinan filem itu dari awal hingga akhir, memberi kepuasan buatnya.
“Semasa saya bentangkan nama-nama pelakon yang saya nak, pihak GSC Movies tidak kacau langsung. Sebenarnya, waktu saya tulis skrip ini, saya rujuk pada karakter kakak-kakak saya. Memang saya tak nak pelakon muda yang popular, memang saya nak nama-nama ini.
“Bukan saya nak cakap yang pelakon cantik itu tak kena dengan dunia janda, tapi tahu tak nak dapatkan nilai charming’ itu susah. Ia tak akan dapat pada pelakon yang teramat cantik kalau saya nak hasilkan filem ini,” katanya.
Mengaku dirinya pernah disindir orang kerana memilih pelakon senior, kata pengarah berusia 34 tahun ini, dia berpegang pada keyakinan memandangkan hasil kerjanya selama ini tidak pernah mengecewakan klien mahupun penonton.
“Memang betul ada yang perlekehkan saya tapi siapa lagi yang nak percayakan hasil kerja kita kalau bukan diri sendiri? Sebelum kita nak bagi orang lain percaya kerja kita bagus, kita sendiri yang kena letakkan keyakinan itu.
“Ada juga yang lekehkan saya yang cerita janda-janda ini tak boleh jual. Tapi saya buat juga sebab berpendapat, kita patut meraikan kehidupan janda. Kita nak positifkan terma janda itu sebab selama perkataan janda itu dilihat negatif.
“Apa salahnya, kita mahalkan kehidupan janda itu. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.
Orang tak setuju, tak apakah?
Sementara itu, menjawab pertanyaan sama ada dia tidak kisah andai menerima maklum balas negatif menerusi filem arahannya ini, Hyrul bagaimanapun mengaku sudah bersiap sedia dengan segala risiko.
Katanya, selama ini industri sudah terbiasa menghidangkan filem dengan berpaksikan lelaki sebagai tunggak di layar perak.
“Maka, apakata kali ini kita cuba curi perhatian penonton dengan meletakkan watak heronya adalah wanita dan pelakon senior pula itu. Lebih mudah kata, makcik-makcik pula itu! Saya berani pilih mereka sebab yakin dengan kebolehan mereka membawakan watak-watak ini.
“Malah, kalau orang yang pernah tengok hasil kerja iklan saya sebelum ini pun, memang saya akan letakkan makcik-makcik dalam karya saya. Sebab, wanita seperti ini memang ada charming mereka itu.
“Kalau penonton rasa formula yang saya gunakan ini boleh berjaya dan menarik minat mereka untuk menonton, bayangkan bagaimana nanti filem seperti ini boleh jadi rujukan pada masa akan datang,” katanya.
Jelmaan Mamat Khalid, Stephan Chow
Tersenyum ketika menerima pujian ramai dengan hasil TJMD, Hyrul juga tidak dapat lari daripada tanggapan bahawa dia memiliki ciri-ciri pengarahan dan komedi sinikal bak Stephen Chow dan juga Allahyarham Mamat Khalid.
Jelas pengarah iklan yang telah memenangi anugerah antarabangsa di Adfest Asia Pacific Advertising Festival ii, dia sebelum ini pernah menerima respons sebegitu, namun mempunyai pendirian sendiri berhubung perkara ini.
“Ada yang kata saya macam tiru gaya pengarahan arwah Mamat Khalid, tapi saya tak rasa begitu. Masing-masing ada cara tersendiri dalam menggarap sesebuah naskhah itu. Saya tak perlu pun tiru dia. Tapi saya terima baik komen-komen seperti itu. Tapi kalau minta saya ulas, sata lihat gaya pengarahan arwah, dia lebih merakyatkan Melayu. Pengisian dialog dan sebagainya, saya mungkin tak mampu macam dia.
“Ia akan berbalik kepada kelebihan masing-masing,yang saya pegang, saya punya hasrat ialah nak mahalkan dunia perfileman Melayu itu,” katanya.
Sinopsis
Mengisahkan Midah, Rohayu dan Ani, tiga balu dari kampung pedalaman, yang merupakan peminat tegar Aiman Zalini. Apabila konsert terakhir penyanyi itu diumumkan, ketiga-tiga wanita itu cuba dan melakukan segala yang mereka mampu untuk mengumpul wang.
Tetapi mereka gagal. Tanpa berputus asa, mereka cuba melakukan perkara yang paling luar biasa yang mungkin (didorong oleh kejayaan segera seorang loafer tempatan) – mewujudkan perniagaan jus vape bebas aditif/semua semula jadi/bukan tembakau!
Formula vape mereka (dicipta dengan bantuan pembantu makmal sederhana) adalah kejayaan yang tidak disengajakan dan mereka miliki cukup wang untuk membeli tiket konsert!
Namun, tanpa disedari, jus vape yang viral dan semulajadi itu menyebabkan ramai penagih dadah menjadi pulih dan ini menyebabkan isu permintaan terhadap ketua kartel dadah.
Seterusnya terjadi rangkaian peristiwa lucu dan melucukan yang kemudiannya mengubah hidup mereka selama-lamanya.










