MELAKA: Pengusaha kedai runcit di negeri ini mula berhadapan dengan kesukaran mendapatkan bekalan tepung gandum terutama jenama cap Kunci yang didakwa tidak lagi diedarkan di segelintir kawasan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang peniaga, Lim Chee Keong, 45, berkata, dia kini hanya menjual jenama cap Sauh, susulan sukar mendapatkan bekalan lain.
Katanya, bagaimanapun harga borong bagi tepung tersebut semakin meningkat dengan terbaharu kenaikan adalah sebanyak RM7 atau RM30 sekotak, berbanding tahun lalu.
“Sekarang saya cuma ada bekalan untuk tepung cap Sauh dan Ros, jenama lain susah nak dapat.
“Cap Sauh pula makin mahal, sekarang harga daripada pemborong RM30 sekotak mengandungi 10 peket tepung, tahun lalu hanya RM23 sekotak,” katanya.
Tambahnya, kenaikan itu berlaku sebanyak dua kali sepanjang Februari sehingga April lalu.
“Saya terpaksa jual pada harga RM3.40 sepeket (satu kilogram), harga naik 70 sen berbanding tahun lalu tetapi itupun saya hanya ambil untung 40 sen,” jelasnya.
Sementara itu, Hamdah Maon, 63, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa pemborong tidak lagi mengedarkan jenama cap Kunci di kawasannya di Durian Daun, Alor Gajah.
“Dulu orang suka beli cap Kunci sebab murah, kita jual RM1.50 sepeket dengan harga borong RM13.50 sekotak.
“Tapi bekalan cap Kunci memang sudah tak ada, cap Sauh sahaja yang banyak tetapi harganya mahal RM26 sekotak,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah pasar raya terkenal juga mendakwa, bekalan tepung gandum diterima premisnya berkurangan sejak minggu lalu. – UTUSAN










