PETALING JAYA: Kemalangan membabitkan lori dan treler yang sering berlaku perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
Malah semakin hari semakin banyak kemalangan membabitkan kenderaan itu dilaporkan media susulan lebih banyak kelonggaran dalam sektor ekonomi apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Seringkali kemalangan membabitkan lori atau treler melibatkan tragedi yang begitu menyayat hati seperti yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam 17 Disember lalu apabila 10 orang maut termasuk sembilan beranak apabila kereta mereka yang rosak di tepi jalan dirempuh oleh sebuah lori.
Terbaharu lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung apabila kereta dinaiki dirempuh sebuah lori yang kemudiannya menyeret kenderaan itu sehingga melanggar lori di hadapan dalam kejadian di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira dua kilometer dari Plaza Tol Kuala Kangsar.
TIGA ASPEK PERLU DIUTAMAKAN
Bagaimanapun, pakar percaya nahas melibatkan kenderaan lori dan treler yang sering berlaku itu boleh dielakkan sekiranya tiga aspek utama diberi penekanan iaitu persekitaran jalan, keadaan kenderaan dan pemandu.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Law Teik Hua, berkata, persekitaran laluan terutamanya dari segi turapan di kawasan yang berisiko tinggi kemalangan seperti berbukit perlu diperiksa berbanding jalan di seksyen lain.
Selain itu, katanya, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan juga perlu memastikan industri yang menggunakan perkhidmatan lori dan treler untuk menghantar kenderaan mereka ke pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) secara berkala.
“Nahas boleh terjadi apabila keadaan treler atau lori itu mungkin breknya tidak cukup elok sehingga menyebabkannya tidak sempat mahu menekan brek susulan penutupan satu lorong akibat penyelenggaran jalan.
“Tetapi mengapa dia punya brek tak elok? Ada kemungkinan tak dihantar pemeriksaan sebab ia hanya merugikan terutamanya dari segi masa bagi mengelakkan kekurangan lori dan treler,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, keadaan pemandu juga perlu diberi perhatian sama ada pemandu itu mendapat rehat yang cukup atau sebaliknya terutamanya dalam tempoh permintaan tinggi susulan lebih banyak kelonggaran ketika ini.
“Kes itu berlaku pada awal pagi, satu tempoh yang kebiasaannya semua orang sedang tidur dan masa itu juga kita senang rasa penat, jadi adakah sebab itu membuatkan pemandu kurang fokus sehingga terlambat bertindak.
“Kita juga ada pemandu simpanan untuk industri bas ekspres dan mensyaratkan pemandu bas tidak boleh memandu lebih daripada beberapa jam yang ditetapkan, tetapi adakah benda yang sama seperti itu dibuat untuk industri lori dan treler.
“Memang ada banyak bantahan konon kata leceh, tetapi fikirkanlah lima orang terkorban, jadi berapa ramai lagi?,” jelasnya.
PERKASA SISTEM KEJARA
Sementara itu, Teik Hua juga menggesa Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) diperkasa dan dikuatkasakan dengan lebih tegas bagi menangani kecuaian pemandu yang menjadi antara faktor utama kemalangan jalan raya di negara ini.
Katanya, meskipun sistem itu sudah lama wujud, penguatkuasaannya masih dianggap belum menyeluruh.
“Jika kejara berfungsi dengan betul mengapa benarkan pemandu yang ada 20 atau 30 saman memandu? Sepatutnya sistem kejara dapat dimanfaatkan untuk mengambil tindakan.
“Tetapi kita punya sistem kejara is too forgiving apabila banyak mengambil masa sebelum tindakan itu diambil.
“Sebab itu perlunya semakan semula adakah sistem kejara itu terlalu friendly atau tak berapa aktif sehingga ada banyak saman, tetapi masih boleh memandu,” katanya.
PEMANDU LORI, TRELER BUKAN PEMBUNUH
Dalam pada itu, Pertubuhan Komuniti Pemandu-Pemandu Lori Malaysia menegaskan pemandu kenderaan berat tersebut bukannya pembunuh meskipun melibatkan kemalangan jiwa seperti dilaporkan media sebelum ini.
Setiausahanya, Judy Fardhi A. Rahim berkata, tohmahan ‘pembunuh’ itu merupakan satu tohmahan yang agak keras sedangkan kemalangan berlaku terutamanya melibatkan kenderaan berat adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka.
Ujarnya, kemalangan jiwa melibatkan kenderaan berat juga tidak sepatutnya disalahkan 100 peratus kepada pemandu kerana ia juga boleh membabitkan pengaruh persekitaran.
Judy Fardhi bagaimanapun mengakui pemandu lori dan treler juga perlu mempunyai mentaliti yang berhemah bagi mengelakkan nahas meragut jiwa.
Katanya, ini kerana pemandu perlu sentiasa peka dengan suasana keadaan semasa memandu terutamanya membabitkan dari segi laluan, kenderaan kecil dan kenderaan laju.
“Pemandu juga kena sentiasa peka dengan diri kita, depan, kiri, kanan dan belakang. Masuk laluan kanan jangan terus bagi signal, tetapi pastikan dulu keadaan sekeliling,” jelasnya.
BANYAK PERKARA PERLU DITELITI – MIROS
Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia sebelum ini memaklumkan, banyak perkara perlu diteliti seperti aspek pengurusan tapak pembinaan, pergerakan kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kerja pembinaan dan corak pemanduan pemandu yang terlibat dalam kemalangan.
Justeru, MIROS akan menjalankan kajian dan analisis terhadap kes tersebut.
“Melalui video dashcam kenderaan belakang, jelas menunjukkan kejadian berkenaan terjadi apabila lori melanggar bahagian belakang kereta di hadapan yang mengakibatkan lima maut akibat kebakaran.
“Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya semua pemandu kenderaan terutama yang mengekori kenderaan di hadapan mengamalkan corak pemanduan yang selamat, iaitu dengan mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan.
Ini bagi membolehkan pemandu kenderaan belakang mempunyai masa dan jarak tindakbalas yang mencukupi tatkala berlaku kecemasan yang melibatkan kenderaan hadapan berhenti atau memperlahankan kenderaan,” katanya.
Dari segi pematuhan had laju pula, Miros berkata, pengguna jalan raya secara umumnya perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan, termasuklah apabila melalui kawasan pembinaan di mana had laju sementara akan dipaparkan.
Katanya, had laju ini adalah lebih rendah berbanding had laju umum dengan mengambilkira risiko yang wujud di kawasan pembinaan berkenaan.
“Oleh itu, pemanduan pada waktu malam dengan kadar pencahayaan yang minimum juga akan mendatangkan kesan kepada para pemandu dalam mengandaikan kelajuan serta jarak kenderaan di hadapan,” ujarnya.
Miros juga optimis hasil kajian dan analisis yang dijalankan oleh MIROS akan dikongsikan dengan pemegang taruh yang terlibat bagi penambahbaikan berterusan bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian yang sama daripada berulang lagi. – UTUSAN










