Rugi tidak manfaat penyelidikan universiti

Rugi tidak manfaat penyelidikan universiti

PENULIS berpendapat sudah tiba masanya cadangan-cadangan dalam persidangan melibatkan universiti dan agensi-agensi berkaitan dilaksanakan sebagai satu dasar untuk menangani bencana alam pada masa hadapan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI menjadi tempat khazanah ilmu untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Semua pihak termasuk industri perlu menjadikan universiti sebagai tempat rujukan ilmu dalam mencari inovasi dan usaha penambahbaikan kualiti dan penyelesaian masalah yang ada dalam masyarakat.

Antara contoh hasil penyelidikan universiti yang berjaya digunakan sebagai bahan untuk melaksanakan dasar negara ialah KAMI@Pelan Tindakan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dihasilkan melalui penyelidikan dijalankan bersama oleh sekumpulan 20 penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) melalui geran yang ditaja oleh Kementerian Perpaduan Negara.

KAMI@Pelan Tindakan Perpaduan Keluarga Malaysia menterjemah tiga nilai dan ciri utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. KAMI (Karib, Aksesibiliti, Majmuk, Inklusiviti) menyenaraikan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan pelan tindakan tersebut sebagai panduan dan pedoman dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dicadangkan. KAMI menjelaskan Karib sebagai usaha membina keakraban demi perpaduan Keluarga Malaysia; Aksesibiliti sebagai usaha meningkatkan kebolehcapaian perpaduan Keluarga Malaysia; Majmuk sebagai meraikan kepelbagaian dalam Keluarga Malaysia dan Inklusiviti sebagai membudayakan inklusiviti Keluarga Malaysia.

Tujuan pelan ini untuk membolehkan semua pihak memahami cabaran dan isu perpaduan merentasi negeri, wilayah dan etnik dengan melaksanakan program pengukuhan perpaduan dan integrasi nasional. Kejayaan pelaksanaan Dasar Perpaduan Nasional yang berteraskan perlembagaan negara dan Rukun Negara kini bergantung kepada kesungguhan agensi-agensi pelaksana termasuk institusi pengajian tinggi dan pelbagai kumpulan masyarakat untuk menghayati dan melaksanakannya secara berterusan.

HADIAH NOBEL

Terdapat banyak lagi penyelidikan dibuat oleh universiti dengan agensi-agensi berkaitan yang seharusnya dapat digunakan untuk meningkatkan keberkesanan tugas dan mencapai objektif digariskan. Saya masih ingat sumbangan Pusat Penyelidikan Dasar USM dalam melakukan penyelidikan-penyelidikan berkaitan dasar pembangunan masyarakat. Ini termasuklah yang berkaitan pembangunan ekonomi dan kesan industri terhadap masyarakat.

Antara yang berjaya dihasilkan dan diangkat sebagai program negara ialah Projek Amanah Ikhtiar pada 1970-an dan Projek Tekun pada 1980-an yang kemudiannya menjadi mekanisme besar dalam membantu masyarakat keluar daripada kemiskinan. Projek Amanah Ikhtiar diadaptasi daripada konsep diamalkan di Bangladesh diterajui oleh Hadiah Nobel Profesor Muhammad Yunus yang mengasaskan Grameen Bank.

BANJIR BESAR

Di samping itu, universiti juga sering mengadakan persidangan dan seminar yang mengumpulkan ilmuwan dan pakar untuk berbincang tentang pelbagai isu.

Saya masih ingat ketika bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014. Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan diadakan pada 2015 yang menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada ilmuwan dan pakar dari universiti awam berkaitan pengurusan air dan pelbagai bidang lain yang berkaitan, agensi-agensi pelaksana dan mangsa-mangsa banjir untuk berbincang tentang kaedah bagi mengelak berulangnya tragedi berkenaan yang mendatangkan kerugian kepada negara dan masyarakat.

Seminar ini memfokuskan kepada lima isu utama iaitu faktor pencegahan, kesiapsiagaan, tindakan dan pemulihan yang merujuk kepada tadbir urus dengan merujuk model Pengurusan Risiko Bencana Pengurusan Bencana bagi Pembangunan Lestari yang dibangunkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global USM.

Persidangan ini menghasilkan sejumlah 225 kaedah penyelesaian yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri, agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan dalam menyiapkan diri menghadapi bencana banjir yang sama. Terdapat banyak syor dikemukakan meliputi 46 cadangan untuk pencegahan, 48 cadangan kesiapsediaan, 21 cadangan tindakan, 56 cadangan pemulihan dan 55 cadangan tadbir urus.

Malangnya, sejauh mana cadangan-cadangan ini telah dilaksanakan tidak dapat dipastikan apatah lagi apabila negara ditimpa bencana sama pada tahun lalu. Saya fikir, sudah sampai masanya cadangan-cadangan ini dilihat semula dan jika masih relevan dilaksanakan sebagai satu dasar untuk menangani bencana alam di negara ini pada masa hadapan.

Universiti adalah lubuk ilmu yang perlu dimanfaatkan untuk faedah masyarakat dan negara. Ilmuwan-ilmuwan yang ada sentiasa bersedia membantu dengan idea-idea mereka jika diberi peluang dan kesempatan. Adalah wajar jika libatsama akademia dalam menangani isu-isu negara dan nasional dibuat dan dipertimbangkan dalam melaksanakan sesuatu dasar. Tentulah amat merugikan jika khazanah ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk pembangunan negara yang lestari. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×