Industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan

Jangan biarkan peluang tersebut berlalu – Zuraida

PENINGKATAN harga BTS sawit kebelakangan ini memberi kelegaan kepada peneroka dan pekebun kecil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu.”

Itu gesaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin kepada pemain industri sawit Malaysia mengenai peluang pasaran global yang terbuka selepas Indonesia, pengeksport terbesar komoditi itu menghentikan eksport minyak sawit selain krisis bekalan minyak makanan yang lain.

Menurut Zuraida, walaupun bersimpati, namun larangan tersebut merupakan kesempatan yang perlu digunakan oleh industri minyak sawit Malaysia.

“Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuat kuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, secara logiknya, Malaysia selaku pengeskport kedua terbesar dunia, patut menjadi benefisiari krisis bekalan minyak sawit yang berlaku masa kini.

Ini kerana katanya, larangan eksport Indonesia secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak sawit akibat konflik Russia-Ukraine, isu pemasan global dan kenaikan harga minyak kacang soya, rapeseed Eropah dan minyak kanola yang berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

“Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit,” katanya.

Tambah beliau, harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, kementeriannya yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi stabil.

Ini kerana katanya, penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.

Zuraida turut mengingatkan pemain industri sawit tempatan kemungkinan berlaku perubahan harga mendadak memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang.

“Tambahan pula, dengan prospek Korea Selatan yang merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang, melepaskan stok simpanannya,” katanya.

“Perlu diingati bahawa jika konflik antara Rusia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak rapeseed dan bunga matahari,” katanya.

Zuraida berkata, kementeriannya juga telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan dengan kumpulan baharu akan tiba pada bulan ini dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit.

Katanya, KPPK yang mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30 peratus menjelang akhir 2022, yakin tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu.

“Ia berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara pasca COVID-19. Justeru, Kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×