PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2022 bernilai RM236.6 bilion, meningkat 27.3 peratus tahun ke tahun, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut laporan itu, dalam tempoh tersebut, nilai eksport negara berjumlah RM131.6 bilion, meningkat 25.4 peratus tahun ke tahun dan import pula bernilai RM104.9 bilion, meningkat 29.9 peratus tahun ke tahun.
Jelasnya, bagi tempoh berkenaan, eksport minyak kelapa sawit negara bernilai RM7.5 bilion.
Di peringkat negeri pula, Sabah mencatatkan eksport tertinggi bagi minyak kelapa sawit bernilai RM1.8 bilion (23.5 peratus), diikuti Johor (RM1.7 bilion, 23.1 peratus) dan Sarawak (RM1.5 bilion, 20.3 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kksport pada Mac 2022 meningkat sebanyak RM26.6 bilion (+25.4 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM9.6 bilion), Johor (+RM6.5 bilion), Sarawak (+RM3.9 bilion), Selangor (+RM2.2 bilion), Kedah (+RM2.1 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), W.P. Labuan (+RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (+RM90.5 juta) dan Perlis (+RM9.7 juta).
“Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM672.5 juta), Terengganu (-RM545.5 juta), Perak (-RM174.8 juta), Pahang (-RM92.0 juta) dan Kelantan (-RM78.0 juta),” katanya dalam kenyataan sempena Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Mac 2022.
Mengenai import mengikut negeri pula, beliau berkata, import juga meningkat RM24.1 bilion (+29.9 peratus) pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import dicatatkan di Johor sebanyak RM4.5 bilion, diikuti Pulau Pinang (+RM4.5 bilion), Melaka (+RM4.4 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.9 bilion), Kedah (+RM1.6 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Pahang
(+RM1.1 bilion), Sarawak (+RM964.8 juta), Perak (+RM481.0 juta), W.P. Labuan (+RM108.9 juta), Sabah (+RM106.8 juta) dan Perlis (+RM26.0 juta).
“Walau bagaimanapun, import menurun di Kelantan (-RM108.5 juta) dan Terengganu (-RM107.8 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus, diikuti oleh Johor (19.8 peratus), Selangor (18.1 peratus), Sarawak (7.5 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (4.1 peatus). Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 25.2 peratus, diikuti Pulau Pinang (22.4 peratus), Johor (19.3 peratus), W.P. Kuala Lumpur (6.8 peratus) dan Melaka (6.3 peratus),” katanya. – UTUSAN









