CADANGAN untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN yang tidak dipersetujui sesetengah pihak yang ikut merupakan tanah watannya sebenarnya lebih merupakan persoalan sosiolinguistik. Oleh itu untuk merealisasikannya, ia hendaklah ditangani dari sudut kebahasaan itu. Diakui ia tidak mudah kerana cabaran sosiolinguistik melibatkan masyarakat penutur yang sudah tentu tidak terlepas daripada pengaruh emosi. Sehubungan ini, ia berupa bantahan satu pihak itu terhadap pihak yang mencadang selain semangat nasionalisme terhadap satu kelainan bahasa Melayu itu.
Sebenarnya sudah wujud muafakat kebahasaan pada peringkat negara untuk memberi tumpuan khusus kepada pembinaan bahasa Melayu sebagai satu ciri istimewa Alam Melayu. Ia lahir sebagai usaha untuk merapatkan dua kelainan bahasa Melayu. Dengan kata lain, ia bertujuan menyatukan bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia.
Untuk ini, ditubuhkan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada 1972. MBIM ini kemudiannya menjadi MABBIM, iaitu Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia dengan kemasukan Brunei pada 1985.
Melalui MABBIM, banyak unsur bahasa Melayu dikodifikasikan, iaitu usaha teratur untuk mengadakan ragam baku bagi diguna pakai bersama secara seragam di Alam Melayu. Ini penting sebagai bahasa saintifik moden, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak dalam apa-apa jua bidang ilmu. Antara usaha ini ialah ejaan Rumi yang digubal bersama Malaysia dan Indonesia pada 1972. Ia ikut diterima kemudiannya untuk diguna pakai oleh Brunei dan Singapura.
Selain ejaan, istilah juga digubal bersama-sama dalam MABBIM. Begitu juga dengan unsur linguistik lain yang kesemuanya bertujuan membina bahasa Melayu supra di Alam Melayu. Melalui MABBIM, semua tempat di mana bahasa Melayu merupakan bahasa negara memperoleh manfaat linguistik yang dibina itu termasuklah Singapura yang merupakan pemerhati sahaja. Semua itu ialah muafakat linguistik.
Melihat kepada bantahan yang dihadapi ekoran cadangan Malaysia itu, tidak dapat dinafikan ada keperluan mendesak diwujudkan muafakat sosiolinguistik oleh MABBIM agar rambut yang ditarik tidak putus dan tepungnya jangan berselerak. Untuk ini, sekurang-kurangnya tiga perkara sukar perlu ditangani dengan penuh hati-hati agar semua pihak bukan sahaja sedar tetapi insaf akan kelemahan masing-masing.
Pertama ialah sikap, yakni cara berfikir dan bertindak terhadap sesuatu. Dalam hal ini, perlu ada perubahan sikap, baik terhadap bahasa Melayu itu sendiri mahupun komuniti bahasa itu. Ini bermaksud perlu ada penerimaan hakikat bahawa bahasa Melayu yang walaupun kini bahasa daerah sahaja dan kelompok minoriti di wilayah watannya yang tertentu, tetap berupa sumber kepada kelainan nasional tertentu yang ini bukan sahaja mahu dianggap sebagai super daripada yang lain-lain, termasuklah induknya itu. Tetapi lebih teruk lagi ia mahu didakwa tiada kena mengena lagi dengannya. Sesungguhnya, selama-lamanya bahasa Melayu adalah asas selain asal usul kelainan nasional berkenaan. Untuk terus-terusan menafikannya ialah ibarat kacang lupakan kulit.
MIRING
Yang kedua ialah nama, khususnya dari sudut psikologi sama ada ia patut dikenali sebagai bahasa Melayu sahaja dalam pengertian supra di Alam Melayu atau bahasa Melayu-bahasa Indonesia yang menggunakan tanda baca sempang antara dua nama itu. Tanda baca ini yang bererti bersekali bukan sahaja penting digunakan secara konsisten, ia juga perlu selalu difahami sebagai sama-sama penting. Ia sesekali berbeza dengan tanda baca miring yang ertinya ialah pilihan. Mungkin namanya boleh pula dikenali secara ringkas sebagai bahasa Melindo.
Ketiga ialah potensi, khususnya dari segi sosiologi, iaitu keupayaan pada masa hadapan selain yang kini pada sesuatu itu. Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan kelainan nasional Indonesia bukan sahaja jauh lebih terserlah tetapi amat mantap di mandala dunia berbanding yang lain-lain. Ini antaranya kerana legasi budaya semasa yang terbina semenjak 1928 itu tidak pernah tergendala akibat sebarang cabaran luar, apatah lagi diruntuhkan sendiri dari dalam oleh anak watannya sendiri. Hal ini berbeza sekali dengan bahasa Melayu di negara lain yang tiada legasi budaya semasa sekuat yang ada di republik itu.
Dengan ini, tidak salah untuk Indonesia bukan sahaja memimpin tetapi mewakili bahasa Melayu supra itu sementara menunggu kelainan nasional lain membina semula legasi yang sesetengahnya diruntuhkan mereka sendiri. Sebelum betul-betul mantap, kelainan nasional lain boleh menyangga kelainan nasional Indonesia dalam misi ini.
Inilah antara caranya yakni melalui muafakat sosiolinguistik dalam MABBIM untuk merealisasikan gagasan bahasa Melayu supra atau bahasa Melindo sebagai bukan sahaja bahasa rasmi kedua ASEAN tetapi bahasa utama dunia. Antaranya sebagai bahasa rasmi ketujuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Untuk ini, Alam Melayu hendaklah bergerak sebagai satu entiti sosiobudaya dengan legasi budaya semasa yang bukan sahaja mantap lagi kukuh, tetapi dapat meyakinkan dunia bahawa bahasa Melayu memang dibanggai, disayangi dan ditaati anak watannya sendiri di kesemua tanah watannya untuk ikut diterima, dihormati dan dijiwai warga dunia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










