SHAH ALAM: Maritim Malaysia mengesan terdapat ribuan warga Indonesia menunggu giliran menaiki bot menceroboh Malaysia bagi memenuhi permintaan pelbagai sektor ekonomi yang sedang rancak di negara ini.
Kumpulan yang kebanyakan dari Kalimantan dan sempadan Timor Leste tersebut dijangka dibawa menerusi perairan Selat Malaka dan sebahagian besar mahu mencari kerja di negeri ini.
Tinjauan di laman sosial membabitkan komuniti warga Indonesia, ramai bertanya peluang `selamat’ masuk Malaysia, peluang kerja, lokasi kerja dan juga gaji.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pembukaan semula pintu sempadan tidak memberi jaminan pencerobohan warga asing secara tidak sah berkurangan, sebaliknya ketika ini meningkat sehingga 30 peratus.
Menurut beliau, lebih mencurigakan selain warga Indonesia yang menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) paling banyak membanjiri negara ini, terdapat juga kumpulan etnik Rohingnya dari Myanmar yang memilih Indonesia sebagai lokasi transit untuk memasuki Malaysia.
“Etnik Rohingya dari Myanmar akan bergerak dalam kumpulan kecil menuju ke Aceh sebelum mencari ejen yang sanggup membawa mereka dengan bayaran tertentu dan masuk ke Malaysia,” kata beliau semalam.
Fasa peralihan
Rosli memberitahu, pada hari-hari terakhir fasa pandemik menuju ke fasa peralihan endemik pada 1 April lalu, terdapat PATI menceroboh perairan negara melalui beberapa lokasi di perairan Selangor yang ditangkap dan dipintas agensi tersebut.
“Maklumat risikan terbaharu di negara jiran, Maritim Malaysia mengesan kira-kira 1,000 PATI sedang menunggu masa menaiki bot bagi menyeberangi Selat Melaka untuk sampai ke negeri ini pada minggu kedua Aidilfitri.
“Anggaran tersebut juga dikenal pasti menerusi Operasi (Op) Khas Pagar Laut dikuatkuasakan sepanjang tempoh tersebut sempena musim perayaan,” kata beliau
Menurutnya, jumlah tersebut juga dikira berdasarkan cubaan pencerobohan yang berlaku sejak awal bulan ini apabila Maritim Malaysia Selangor mengesan sekurang-kurangnya tiga hingga empat kes pencerobohan yang berlaku pada setiap minggu.
Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata, sejak pintu sempadan dibuka, seramai 110 PATI ditahan menerusi Op Benteng membabitkan kerjasama dengan polis.
“Maritim Malaysia terutama Selangor sedang berjaga-jaga kerana dikhuatiri PATI yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa Malaysia juga akan cuba masuk ke negara ini.
“Trend sekarang kita nampak berlaku peningkatan PATI cuba masuk, yang keluar berkurangan. Mereka dikesan dalam sistem radar Maritim Malaysia. Sejak kebelakangan ini sahaja boleh dianggarkan dalam tiga hingga empat kes dalam seminggu ada warga asing cuba ceroboh perairan negara,” katanya.
Op Pagar Laut
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sepanjang Op Pagar Laut di seluruh negara, sebanyak 32 tangkapan dengan nilai pelbagai rampasan berjumlah RM10.6 juta dijalankan Maritim Malaysia.
Bagi trend pencerobohan perairan negara ketika fasa peralihan ke endemik dilaporkan sebanyak 57 PATI ditahan dalam tempoh lima hari sebelum pintu sempadan negara.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Rosli memberitahu, sepanjang penguatkuasaan sekatan pergerakan akibat Covid-19 dan penutupan pintu sempadan sejak 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2022, seramai 237 PATI ditahan Maritim Malaysia Selangor.
“Penahanan PATI ketika itu dilakukan dengan kerjasama polis dan purata pencerobohan tiga hingga empat kes seminggu,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, modus operandi pergerakan PATI masih sama iaitu menggunakan khidmat tekong, pemandu dan rumah penampungan dengan bayaran setiap seorang bagi perjalanan sehala sekitar RM2,000.
“Kebanyakan yang kita tangkap adalah pemandu kenderaan manakala bagi tekong darat pula, kumpulan itu lebih licik. Aturan gerakan PATI menerusi telefon bimbit tetapi untuk ambil PATI dari lokasi mendarat ke lokasi mahu dituju menggunakan khidmat e-hailing (menggunakan panggilan telefon).
“Yang pemandu pula memang sudah biasa buat kerja angkut PATI. Kemudian, di rumah penampungan orang lain yang jaga. Setakat ini rumah penampungan yang baru mahu aktif di Selangor dan dikenal pasti ialah di Kajang dan Jenjarom yang kedua-duanya sudah diserbu,” jelasnya.
PATI
Mengulas mengenai pergerakan PATI sebelum Hari Raya Aidilfitri, Mohammad Rosli memberitahu, faktor sekatan pergerakan pada 2020 dan 2021 menyebabkan perjalanan keluar PATI berkurangan, sebaliknya cubaan masuk meningkat.
“Kali ini pergerakan PATI keluar atau pulang ke negara asal untuk berhari raya tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, mungkin kerana mereka sudah berada di sana sejak tahun lalu serta program pemutihan yang dijalankan kerajaan pada awal tahun.
“Namun, pergerakan masuk yang kini semakin banyak walaupun menjelang hari raya, malah kita turut mengesan PATI yang sudah pun disenarai hitam, namun kembali menceroboh.
“Mereka juga bukannya semua tinggal di Sumatera, sebaliknya ada yang datang dari Kalimantan dan sempadan Timor Leste untuk transit di seberang sebelum naik bot,” jelasnya.








