PETALING JAYA: Lebih RM30 juta dana kerajaan diseleweng oleh segelintir pemain industri filem sejak 2015.
Dana Kandungan Digital (DKD) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015 itu pada awalnya disalurkan kerajaan kepada pemain industri sebagai penggerak untuk mereka menghasilkan filem-filem bertemakan kenegaraan.
Namun begitu, 44 syarikat yang menerima dana tersebut gagal menyiapkan filem seperti yang dipersetujui.
Berikutan itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, pihaknya kini sedang berusaha berunding dengan syarikat-syarikat tersebut bagi menuntut semula dana berkenaan.
“Dana itu, Finas beri untuk galakkan penerbitan filem yang mengangkat nilai serta tema kenegaraan, namun kita menanggung kerugian RM32 juta. Ada 44 syarikat yang gagal siapkan filem melalui dana tersebut. Yang ini bermula daripada Dana Kandungan Digital (DKD), yang diperkenalkan pada 2015,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kembali wang yang disalurkan itu.
“Tapi masalahnya apabila libatkan dana kerajaan ini, macam itu lah, ding dong ding dong lah,” katanya.
Beliau menambah, masalah timbul apabila segelintir mengisytiharkan syarikat mereka muflis dan ini menyukarkan tindakan susulan diambil.
“Kita dah ada peguam, dah mula bincang semula, tapi itulah, bila kita usaha nak dapatkan kembali wang, ada syarikat yang dah muflis. Mereka pun pandai, bila dah buat masalah, dibukanya pula syarikat lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, faktor mendorong kegiatan penyelewengan itu, akibat amalan penyaluran dana yang tidak telus diamalkan pihak tertentu dalam Finas.
Hal ini, katanya mengakibatkan Finas berada di bawah radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sebab itulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selalu masuk sini. Adalah cara-cara pemberian yang tak telus dan sebagainya,” katanya.
Justeru katanya, kini pihak pengurusan Finas mengamalkan sistem penyaluran dana yang lebih telus, demi mengelakkan sebarang kegiatan penyelewengan berlaku.
“Setakat yang saya ada di sini, kita memang telus. Kita jelas, sebab itu siapa yang dapat dana penerbitan Finas, kita buat pengumuman, siap buat majlis lagi.
“Maka, pada masa akan datang kita akan perkasakan lagi. Sekarang ada 50 lagi penerbit yang kita nak beri surat tawaran, untuk buat filem lagi, buat drama lagi. Tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita tangguh sekejap lah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











