RAMADAN kali ini menjelma dalam suasana berbeza dari tahun lalu kerana umat islam kembali menghidupkan bulan mulia ini hampir seperti biasa dengan kebebasan yang lebih ringan daripada tekanan zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pantang larangnya sebelum ini.
Namun tentang ibadat puasa, hikmat berpuasa dalam sebarang suasana dan keadaan merupakan ibadat biasa.
Orang yang biasa berpuasa, menahan nafsu tidaklah terasa amat payah dan berat. Itulah hikmah puasa, iaitu untuk melatih diri supaya mempunyai adat dan budaya hidup tertentu. Nafsu tamak haloba, menabur fitnah dan mengumpat orang, kalau telah menjadi kebiasaan, tentulah amat susah untuk ditinggalkan. Demikian juga segala sifat buruk yang telah menjadi tabiat, memang akan menjadi kebiasaan dan tidak terasa bahawa hal-hal itu merupakan satu tabiat buruk bagi manusia.
Oleh itu, puasa merupakan satu didikan rohani dan jasmani untuk dibiasakan sehingga menjadi budaya dan peraturan hidup yang mudah sekali diamalkan. Membentuk budaya berdisiplin, mengurus waktu dengan baik, menjaga perbualan dan pertuturan, malah menjaga hati daripada buruk sangka dan berperasaan negatif semata-mata dalam hidup ini merupakan satu tabiat manusia yang tidak dapat diperbaiki tanpa latihan praktikal.
Kita amat memerlukan tabiat dan budaya serta disiplin hidup ini dalam masyarakat sekarang, ketika kita berada dalam krisis moral dan kerohanian, kegawatan mental dan hati, dan ketika banyak sekali teknologi moden seperti teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang mengajar kita menjadi individu yang ego, sombong diri dan serba tahu, mengatasi segala ajaran agama sendiri.
METODOLOGI
Oleh itu, hal ini merupakan satu kaedah bagi mendidik generasi muda agar bangsa kita benar-benar menjadi bangsa yang kukuh dengan nilai-nilai moral dan kerohanian, menjaga akhlak dan budi bicara serta tingkah laku yang baik seperti diajar oleh agama kita sendiri.
Tahun demi tahun kita memasuki bulan Ramadan dan melalui asuhan serta pendidikan disiplin ini, tetapi kesannya tidak sangat menjadi tabiat serta budaya hidup kita.
Malah dalam bulan puasa inilah berlakunya tabiat buruk seperti pergaduhan, pertumpahan darah, peperangan dan sebagainya yang dapat kita saksikan di dalam beberapa negara Islam sendiri.
Kita memerlukan satu metodologi berbeza untuk mendidik generasi baharu kita supaya meninggalkan gejala buruk dan puasa merupakan satu cara yang baik untuk dibangunkan kepelbagaian modul pendidikan berkesan yang seharusnya dikaji dan dipraktikkan oleh kita.
Satu peringatan yang amat bernilai telah dijelaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang menyebut bahawa terdapat orang yang berpuasa di dalam bulan Ramadan ini yang hanya mendapat lapar dan dahaga. Ertinya segala sifat yang baik seperti amanah dan jujur dengan manusia dan Allah tidak menjadi tabiat dan cara hidupnya yang berterusan,
Semoga ketibaan hari raya tahun ini disambut dengan penuh keinsafan. Covid 19 telah banyak memberikan pengajaran baharu bagi kita dan hendaknya dapat diamalkan dengan baik setiap kali tibanya bulan puasa.
TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.










