PETALING JAYA: Indikator ekonomi bagi tiga bulan pertama 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, mobiliti yang tinggi dijangka berlaku dengan pembukaan sempadan antarabangsa serta ditambah dengan sambutan Aidilfitri.
“Lanjutan itu, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi.
“Namun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi,” katanya dalam kenyataan sempena Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 4/22.
Mengulas sektor luaran negara, Mohd. Uzir berkata, jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.
Malah katanya, kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8 peratus dan 18.4 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7 peratus.
“Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan momentum dua angka pada Mac 2022, berkembang 27.3 peratus. Eksport meningkat 25.4 peratus, import tumbuh 29.9 peratus dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan, naik 10.3 peratus,” jelas beliau.
Melihat kepada prestasi sektoral kata Mohd. Uzir, berikutan peningkatan dalam indeks Pembuatan sebanyak 5.2 peratus dan indeks Elektrik (3.9 peratus), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.9 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, nilai jualan Pembuatan Malaysia pada Februari 2022 berjumlah RM131.6 bilion, tumbuh 11.2 peratus berbanding tahun lalu.
“Kenaikan nilai jualan didorong oleh peningkatan dalam Produk Makanan, Minuman & Tembakau; Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik; dan Produk Elektrik & Elektronik.
“Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit merekodkan RM117.2 bilion pada Februari 2022, mencatatkan pertumbuhan 8.5 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh peningkatan jualan dalam semua subsektornya, iaitu Kenderaan Bermotor, Perdagangan Runcit dan Perdagangan Borong,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, pada Februari 2022, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada 125.2 daripada 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. – UTUSAN










