Cabaran bahasa Melayu, bahasa rasmi ASEAN

Cabaran bahasa Melayu, bahasa rasmi ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAGASAN bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN yang ghairah diperkata kini sebenarnya tidak begitu mudah direalisasikan seperti yang mahu dipercayai sesetengah pihak walaupun ia tidak mustahil terjadi. Ini kerana ia menghadapi beberapa cabaran yang benar sifatnya, khususnya di lapangan.

Sehubungan ini, ASEAN sebagai pertubuhan untuk mempertingkat pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial serta pembangunan budaya di rantau ini perlu bukan sahaja bertolak ansur dalam sebarang tindakannya, ia juga harus mengutamakan persetujuan kolektif.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dengan lima negara anggota asal iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand and Filipina. Keanggotaannya bertambah pada 1980-an dengan kemasukan Brunei dan 1990-an apabila Laos, Vietnam, Kemboja dan Myanmar menyertainya.

Sehubungan gagasan bahasa Melayu ini, ia mesti dipersetujui kesemua 10 negara anggota, yakni tidak boleh ada sebuah pun yang membantah. Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ASEAN seperti yang tercatat pada Perkara 34 Piagam ASEAN didapati digunakan secara konsisten oleh lima negara anggota asal. Sebaliknya ia didapati tidak sedemikian, malah tidak digunakan langsung oleh negara anggota kemudian kecuali Brunei apabila persidangan ASEAN diadakan di sana yang rata-ratanya menggunakan bahasa negara masing-masing.

Sebenarnya cadangan sebelum ini untuk menggunakan bahasa Melayu pernah ditolak Filipina misalnya yang mengatakan bahawa bahasa Melayu hanya dituturkan kelompok minoriti di bahagian selatan kepulanan itu. Fakta bahawa bahasa Melayu bukan bahasa utama di sana juga terpakai di beberapa negara anggota lain, iaitu Thailand dan Kemboja. Malah bahasa Melayu boleh dikatakan semacam tidak dituturkan langsung di Laos, Vietnam dan Myanmar.

Dengan realiti begini, gagasan bahasa Melayu ini tidak mungkin diterima oleh kesemua negara anggota ASEAN, lebih-lebih lagi dengan cara top-down, iaitu dasar dari pihak atasan sahaja untuk dilaksanakan di peringkat bawah. Sebaliknya gagasan ini hendaklah bersifat bottom-up, yakni keputusan dari pihak bawahan yang lebih bersifat persetujuan kelompok terbanyak.

Untuk pendekatan ini berhasil, bahasa Melayu harus memperlihat kepentingannya di luar kawasan watannya sendiri. Dengan kata lain, bahasa Melayu yang tersebar ke kawasan baharu adalah bahasa Melayu yang peranan komunikasinya didapati bukan sahaja penting tetapi wajib dikuasai untuk diguna pakai di sana.

Untuk ini berlaku, sudah tentu bahasa Melayu pertama-tamanya harus perkasa di kawasan watannya terlebih dahulu. Sehubungan ini, ia hendaklah digunakan dengan secara meluas selain bermutu dalam semua kegiatan budaya tinggi di empat negara di mana ia bahasa negara. Ini penting sekali bagi mewujudkan kewibawaan padanya untuk ikut diguna pakai di bukan kawasan watannya.

SEJARAH

Selain cabaran luaran ini, sebenarnya ia ikut menghadapi cabaran dalaman yang tidak kurang hebatnya. Dalam hal ini, ia wujud dalam bentuk persaingan antara kelainan nasional bahasa Melayu, khususnya antara bahasa Indonesia dengan bahasa Melayu Malaysia.

Hal ini dapat dilihat sejurus gagasan bahasa Melayu ini dikemukakan Malaysia kepada Indonesia untuk sama-sama dengan Brunei dan Singapura mengangkat bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara di semua negara ini. Ini tidak dipersetujui Indonesia yang dengan keras mengatakan bahasa mereka lebih layak daripada lain-lain khususnya Malaysia.

Pelbagai alasan diberikan termasuklah sejarah, hukum dan faktor linguistik yang rata-ratanya didapati tidak tepat. Ini kerana semua bahasa termasuklah sebarang kelainan di dalamnya adalah sama sahaja dari segi kemampuan linguistiknya. Ini bermakna tidak ada mana-mana sistem linguistik yang lebih unggul, anggun dan berketerampilan daripada yang lain-lain.

Sebenarnya bahasa Indonesia dan bahasa Melayu Malaysia yang didapati bersaing ini telah sama-sama dikodifikasikan sehingga menjadi sistem linguistik mantap selain sistem komunikasi mangkus. Ia dilakukan secara bersama menerusi kerjasama kebahasaan seawal 1970-an melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia. Kerjasama ini yang bertujuan merapatkan malah menyatukan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu Malaysia khususnya masih berterusan kini dengan penyertaan oleh Brunei dan pemerhatian dari Singapura.

Sepatutnya dua kelainan nasional bahasa Melayu Indonesia dan Malaysia, malah kesemuanya yang saling melengkapi antara satu sama lain hendaklah diangkat bersekali dalam konteks solidariti Alam Melayu melalui semangat bahasa Melayu supra, iaitu bahasa Melayu yang mengatasi sempadan politik untuk mendukung kawasan linguistik bahasa Melayu yang lebih luas.

Sehubungan ini, bahasa Melayu supra bukan sahaja berbeza dengan tetapi hendaklah dipisahkan daripada bahasa Melayu super, iaitu bahasa Melayu negara tertentu yang mahu dianggap lebih baik, besar dan hebat daripada yang lain-lain.

Dua cabaran luaran dan dalaman ini harus diberi perhatian serius mulai sekarang. Sehubungan ini, solidariti dalam bentuk bahasa Melayu supra untuk meyakinkan kesemua negara anggota ASEAN adalah keutamaannya.

Sebaliknya usaha untuk mengetengahkan bahasa Melayu super bukan sahaja akan menjejaskan solidariti Alam Melayu, ia juga akan mewujudkan imperialisme linguistik yakni keadaan satu kelainan mengawal yang lain-lain. Ini sama sekali tidak baik untuk perkembangan bahasa Melayu itu sendiri, baik di kawasan watannya mahupun di luarnya bahawa hanya kelainan negara tertentu yang harus diangkat dan tidak yang lain- lain.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×