Tahun pertama Ramadan tanpa isteri tercinta - Utusan Malaysia

Tahun pertama Ramadan tanpa isteri tercinta

Isteri tercinta menghembuskan nafas terakhir pada hari Rabu, pukul 1.20 petang, 29 Disember 2021. bersamaan 21 Jamadilawal 1443.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemeriahan bulan Ramadan pasti mahu disambut dengan insan tersayang.Namun masih ada yang berduka kerana tidak dapat meraikan bulan mulia ini bersama insan tercinta.

Situasi itulah yang dilalui Mohamad Zan Kassim, apabila buat pertama kalinya menyambut Ramadan seterusnya Syawal yang bakal menjelang tanpa isteri disisi yang sudah dijemput Ilahi.

Mohamad Zan meluahkan rasa rindu kepada arwah isterinya, Sabariah Atan melalui kiriman emel kepada saya baru-baru ini.

Menerusi emel itu, Mohamad Zan melahirkan rasa sayu kerana Ramadan kali ini berbeza selepas pemergian isteri tercinta pada 29 Disember tahun lalu.

Menerusi emelnya, isteri yang digambarkan bukan hanya mempunyai peribadi unggul sebagai isteri bahkan ibu yang cekal dan penyayang.

“Susahnya dahulu ketika mula berkahwin, takkan saya lupa. Namun, dia tetap tenang bersama. Dia pernah bekerja di sebuah kilang elektronik.

Ketika itu arwah terpaksa bekerja shift berulang alik dengan motosikal sejauh 10 kilometer dari rumah ke tempat kerja.

Ketika shift malam pula sampai dirumah sudah jam 12.30 tengah malam sambil membawa anak kecil dari rumah pengasuh,” ceritanya.

Menurut Mohamad Zan, disebabkan tidak sanggup melihat kesusahan yang ditanggung, dia meminta isteri berhenti kerja.

Hakikatnya, Sabariah tidak pernah betah duduk sahaja.

Sebaliknya, berusaha mencari sumber pendapatan lain untuk membantunya yang hanya seorang pekerja awam rendah di jabatan kerajaan.

Sebut apa sahaja pekerjaan yang tidak dilakukan Sabariah.

Daripada bekerja sebagai pembantu kantin, warung, membuat kuih muih sehinggalah menjadi pengasuh bayi dan kanak-kanak di rumah.

Menyingkap perjalanan hidup isterinya, sejak usianya lima hari dia dipelihara oleh datuk sebelah bapa.

Dia membesar bersama-sama ibu dan bapa saudara.

Kehidupannya penuh warna-warni, ada kala duka, suka.

Isterinya melahirkan anak mereka pada usia 20 tahun.

Seorang cahaya mata perempuan yang diidam-idamkan selama ini.

Sebelum itu isterinya pernah keguguran anak pertama ketika kandungan mencecah usia enam bulan.

Keluarga semakin bertambah, anak semakin membesar dan keperluan hidup juga makin meningkat.

Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anak antara sebab rezeki keluarga ini diluaskan oleh Allah Taala.

Mohamad Zan berpeluang memulakan perusahaan membuat kuih raya iaitu batang buruk.

Pun begitu ketika Allah menambahkan rezeki, dalam masa sama mereka sekeluarga turut diuji apabila terpaksa berdepan dengan pelanggan tidak jujur.

Tempoh lebih tiga dekad hidup berumah tangga, pelbagai suka duka pahit manis berjaya dilalui pasangan ini.

Ceritanya lagi, sepanjang hidup bersama arwah tidak pernah meminta-minta dan tidak pernah tahu berapa jumlah gajinya selama ini.

Arwah juga digambarkan mesra dengan jiran tetangga dan sangat memuliakan tetamu.

Pada pagi Selasa, lebih kurang pukul 11 pagi, isteri meminta mengurut bahagian perutnya yang sakit.

“Isteri saya memang ada masalah hulu hati. Dalam sebulan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sakitnya itu menyerang.

“Saya pernah membawa arwah ke klinik pakar.Bagaimanapun sebaik sakitnya beransur baik, rawatan susulan tidak diikuti,” ceritanya.

Sepanjang hari itu keadaan isterinya lemah dan pada sebelah malam tidak sedarkan diri.

Dengan bantuan jiran, isterinya dibawa ke hospital dan dirawat di zon merah sehingga pukul 3.30 pada hari Rabu.

Keesokannya pada pukul 10.30 pagi, dia menerima panggilan daripada doktor memberitahu isterinya semakin kritikal.

Dia dinasihatkan banyak bersabar dan berdoa.

“Allahuakbar. Saya rasa begitu lemah mendengarnya. Saya berjanji akan menjaga isteri sebaik mungkin jika apa-apa berlaku kepadanya. Sebelum ini doktor ada menyatakan kemungkinan isteri saya diserang angin ahmar,” ceritanya lagi.

Sepanjang tempoh dirawat di hospital, Mohamad Zan dan anak-anak tidak berhenti berdoa agar ada keajaiban dan ibu mereka kembali sembuh.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Isteri tercinta menghembuskan nafas terakhir pada hari Rabu, pukul 1.20 petang, 29 Disember 2021 bersamaan 21 Jamadilawal 1443.

“Saya menangis semahu-mahunya seorang diri di dalam kereta menuju ke masjid untuk solat Zohor.

Saya tidak menyangka begitu cepat dan pantas perginya tanpa sebarang petunjuk,” ceritanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zan reda dengan pemergian insan tercinta.

Dia tetap bersyukur dan berasa amat bertuah kerana Allah telah mengurniakan dan meminjamkannya selama lebih kurang 32 tahun seorang isteri yang sangat memahami, penyayang serta memiliki hati budi yang baik.

Semoga roh Allahyarhamah Sabariah Atan dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sesungguhnya perasaan cinta dan kasih itulah yang membuatkan manusia bersedih dan menangis.

Ia adalah fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai tanda kasih sayang sesama insan.

Umat Islam dianjurkan berdoa dan beristighfar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan Kami!, Ampunkanlah dosa kami dan doa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan dengki serta dendam terhadap orang yang beriman.(Surah Al-Hasyr Ayat 10)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×