SELASA lalu, tular tular beberapa video memaparkan suasana kecoh orang ramai di Garden Arena, Rawang apabila seorang lelaki mengamuk selepas mendapati isterinya terjatuh dan dipijak.
Melihat pada rakaman tersebut, wanita terbabit secara tidak sengaja terjatuh gara-gara terlanggar kaki meja yang terbalik di sebelah pintu padang menyebabkan dia tersungkur ke atas padang.
Difahamkan, terdapat satu program anjuran YouTuber terkenal di lokasi dengan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi sesiapa yang ingin ikut serta acara dipertandingkan. Apabila kejadian tersebut disedari suaminya, lelaki berkenaan mula marah sekali gus menjerit sambil mencari pelaku yang melanggar serta memijak isterinya.
Demikianlah kita. Apabila ada habuan terutama melibatkan wang ringgit, ramai yang sanggup menyahut cabaran dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Ia sebagaimana gambaran ramainya peserta dalam program di atas.
Namun, realitinya daripada barangkali ratusan yang mengambil bahagian, mungkin cuma satu, 10 atau sekumpulan orang yang akan mendapat hadiah itu. Berbanding ganjaran malam al-Qadr yang disebut oleh Allah iaitu lebih daripada 1,000 bulan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)
Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: “Beramal pada malam tersebut (lailatul qadr) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun.” (Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab, Hlm. 341)
Lebih istimewa, ganjaran ini tidak ada had. Maksudnya, kalau ‘A’ dapat maka si ‘B’ dan ‘C’ tidak boleh dapat.
Sebaliknya, Allah berikan pahala berlipat-ganda itu kepada mana-mana hamba-Nya yang ikhlas beribadat dan mencari lailatul qadr.
Mulai malam ini, kita sudah berada pada 10 malam terakhir Ramadan. Disebutkan dalam banyak hadis bahawa malam al-qadr itu berlaku pada tempoh ini.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW daripada Aisyah r.ha yang bermaksud: Carilah kalian lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari 10 malam yang terakhir bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari)
Untuk itu, marilah kita sama-sama berazam meraih ganjaran besar yang dijanjikan Allah pada malam yang amat istimewa ini. Ia hanya dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan setahun hanya sekali.
Antara hikmahnya adalah untuk mengimbangi pahala dan ibadat kita dengan umat-umat nabi terdahulu. Sebabnya, umur umat Nabi Muhammad SAW relatifnya singkat iaitu umumnya 60 hingga 70 tahun. Mereka tidak seperti umat terdahulu yang memiliki usia 1,000 tahun.
MENGHIDUPKAN MALAM AL-QADR
Rasulullah SAW telah menunjukkan umatnya apakah bentuk ibadat yang boleh dilakukan dalam misi pemburuan kita mencari lailatul qadr. Perlu diingat, manusia biasanya tidak nampak atau menghargai nikmati semasa ia berada di depan mata. Sebaliknya apabila nikmat itu sudah berlalu, baru hendak menyesal. Ringkas kata, semasa hidup tak pedulikan ibadat mencari malam al-qadr, setelah mati kelak mohon supaya Allah kembalikan ke dunia untuk buat amal soleh.
Ia ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabbnya, (mereka berkata), “Wahai Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia. Kami akan mengerjakan amal soleh.
Sesungguhnya kami adalah orang yang yakin. (as-Sajdah: 12)
Lebih malang, dalam kalangan kita lebih ramai yang sibuk mencari tanda-tanda malam al-Qadr keesokan harinya berbanding melakukan ibadat untuk mencapainya. Amat rugilah golongan yang sebegini.
Sebabnya, sudah diberi kesempatan oleh Allah berada dalam tempoh malam al-qadr tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menggapainya.
KELEBIHAN LAILATUL QADR
Antara kelebihannya adalah diampunkan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah iaitu: Sesiapa yang melakukan qiam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari)
Qiam (menghidupkan) di sini bermaksud menghidupkan malam al-qadr dengan pelbagai ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan amalan soleh yang lain.
Jangan kita lupa bahawa Nabi SAW, insan maksum yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT pun melipat-gandakan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan. Inikan pula kita, hamba Allah yang amat daif dan banyak buat maksiat dan dosa.
Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda SAW lakukan pada 10 malam terakhir Ramadan adalah seperti berikut:
Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda. Imam al-Hafiz Ibn Rajab r.h berkata, yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat.
Pertama, ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah.
Maksud yang kedua pula, Nabi SAW meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada 10 malam terakhir Ramadan. Menurut Ibn Rajab, pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).
Kedua: Menghidupkan malam.
Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:
– Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.
– Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah. Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. (Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab, hlm. 329)
Sebahagian fuqaha dalam kalangan Syafi’eyyah berkata: “(Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.” Begitu juga kata Imam al-Syafie iaitu sesiapa yang menghadiri solat Isyak dan Subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).
Ketiga: Mengejutkan kaum keluarga untuk beribadah. Ketika masuknya 10 malam terakhir Ramadan, Nabi SAW mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. (Sumber: Bayan Linnas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fatimah dan Ali bin Abi Talib lalu berkata: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat? (Riwayat Bukhari) – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










