Terubat rindu dapat sambut Ramadan bersama saudara kandung - Utusan Malaysia

Terubat rindu dapat sambut Ramadan bersama saudara kandung

Dia tidak sanggup memperjudikan masa depannya dan adik sendiri hanya kerana seorang lelaki seperti Sulaiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Ramadan, hati Salmah (bukan nama sebenar) akan terusik dengan peristiwa lebih lima dekad lalu.

Sayunya hati bila mengenangkan hari ke 12 Ramadan itu adalah hari bapanya meninggal dunia dan dua hari selepas itu, ibu pula menyusul.

Bapanya, menghembuskan nafas terakhir di hospital selepas hampir seminggu bertarung dengan kesakitan akibat disengat tebuan.

Terasa gelapnya dunia dan betapa pedihnya hati Salmah bagaikan disusuk sembilu bila mendapat tahu bapanya tiada lagi di dunia ini.

Ketika itu usia Salmah baru mencecah 17 tahun. Terasa sedih yang teramat kerana disaat-saat nafas terakhir dia tidak berada di sisi bapanya.

Jenazah dikebumikan. Itulah kali terakhir Salmah melihat wajah bapa yang sangat tenang ketika itu seperti bapanya sedang tersenyum kepadanya.

Selang beberapa hari, Salmah dan kakaknya, Mariyam (bukan nama sebenar) dikejutkan pula dengan pemergian ibu tercinta.

Ibu dan bapa mereka diserang ratusan tebuan ketika mengambil pucuk ubi di kawasan semak berhampiran rumah untuk persediaan berbuka puasa.

Salmah dan Mariyam menjadi anak yatim piatu sekelip mata.

Bermulalah episod baru dalam kehidupan dua beradik itu.

Mariyam yang ketika itu berusia 20 tahun, meneruskan pekerjaan bapa mereka sebagai penoreh getah.

Salmah pula mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran dengan alasan enggan menyusahkan Mariyam.

Walaupun Mariyam kurang bersetuju dengan keputusan itu, dia terpaksa akur dengan kehendak Salmah.

Kehidupan dua beradik ini pada awalnya bahagia, namun bertukar sebaliknya selepas Mariyam bertemu Sulaiman, (bukan nama sebenar)

Selepas beberapa bulan berkenalan, Mariyam bersetuju untuk berkahwin dengan syarat tetap akan menjaga Salmah.

Sayangnya rumah tangga dibina Mariyam dan Sulaiman tidak bertahan lama.

Selepas setahun berkahwin, Mariyam mendapat tahu suaminya seorang kaki judi.

Lebih mengejutkan lelaki itu turut terjebak dengan masalah penagihan dadah.

Sepanjang tempoh setahun berkahwin, rumah tangga Mariyam sentiasa bergelora.

Sulaiman terus menunjukkan sikap buruk dan panas baran terhadap Mariyam.

Dia sudah berani naik tangan ke tubuh kecil Mariyam jika kehendaknya tidak ditunaikan.

Hampir setiap hari Salmah menyaksikan sendiri bagaimana Sulaiman mengasari kakaknya.

Dek kerana sayang, Mariyam seolah-olah membiarkan sahaja dirinya diperlakukan seperti binatang oleh suami sendiri.

Sehari, seminggu, sebulan hingga setahun perkara itu berlarutan.

Kesabaran Mariyam sampai ke kemuncak apabila pada suatu hari Sulaiman cuba melakukan perkara tidak baik terhadap Salmah.

Cubaan merogol adik ipar sendiri oleh Sulaiman membuatkan Mariyam hilang sabar.

Ketika itulah, Mariyam sedar untuk apa dia terus mempertahankan hubungan yang tidak sihat bersama lelaki itu.

Mariyam nekad menuntut cerai.

Dia tidak sanggup memperjudikan masa depannya dan adik sendiri hanya kerana seorang lelaki seperti Sulaiman.

Mariyam benar-benar tidak boleh menerima apa yang cuba dilakukan suaminya terhadap Salmah.

Selepas Mariyam kembali sendirian, dua beradik ini meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.

Mariyam meneruskan pekerjaannya sebagai penoreh getah di kebun peninggalan arwah ayah mereka.

Susah senang, sakit pening mereka tetap bersama.

Kini mereka melewati usia tua, menanggung sakit dan mengharapkan belas ihsan. Semua itu sama seperti kematian adalah hakikat yang harus diterima.

Salmah dan Mariyam menghuni rumah orang-orang tua yang terletak di Selangor itu sejak lapan tahun lalu.

Mereka memilih untuk tinggal di situ setelah berasa tidak mampu hidup bersendirian.

Ketika rakan seusia mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama ahli keluarga, berbeza dengan dua beradik ini yang meraikan lebaran bersama di rumah perlindungan itu.

Ramadan bagi Salmah tetap bererti kerana dia masih mempunyai Mariyam, satu-satu darah dagingnya.

Salmah mengakui tetap merindui suasana berhari raya bersama kedua ibu bapa.

Bagaimanapun, keberadaan Mariyam bersamanya di pusat perlindungan itu mengubat sedikit kerinduan kepada mereka.

Dia tidak pernah berasa sunyi dan asing kerana masih ramai lagi penghuni lain menyambut Ramadan dan hari raya di pusat jagaan itu.

Setiap hari dilalui sangat bermakna kerana sekurang-kurangnya sisa usia berbaki dapat dijalani bersama insan disayangi.

Mariyam yang lumpuh separuh badan selepas diserang strok sejak setahun lalu hanya terlantar di katil.

Semuanya perlu diuruskan. Tidak boleh makan, hanya susu untuk menanggung kudrat tubuh badannya.

Jauh di sudut hati, Salmah terlalu rindukan Mariyam yang sebelum ini, sihat dan ceria.

Salmah sendiri sedar, dalam usia mencecah hampir 70 tahun, kudratnya juga terbatas, namun dia perlu terus kuat semangat demi Mariyam.

Dia mahu memberi semangat dan motivasi kepada Mariyam untuk meneruskan kehidupan.

Selepas menjadi anak yatim piatu, Salmah bergantung harap kepada Mariyam sepenuhnya.

Kini giliran Salmah pula menjaga dan berbakti kepada saudara kandungnya itu.

Rasullullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Anas bin Malik RA yang bermaksud:

Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah dia menyambung tali persaudaraan (silaturahim).-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×