MENELUSURI segala perkembangan yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 sehubungan usaha mengekang perbuatan melompat parti di Dewan Rakyat, kelmarin, sukar digambarkan betapa beratnya tanggungan dihadapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam menyediakannya.
Bayangkan, lapan bulan Wan Junaidi bersama para pegawai beliau serta pasukan dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara bekerja keras menyiapkan satu draf RUU yang boleh dipersetujui bersama setelah berkali-kali mereka melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk kedua-dua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada kerajaan dan pembangkang.
Tiba-tiba sahaja selepas draf akhir RUU dikemukakan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu, dalam taklimat kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri pada Ahad lalu, ada pula dalam kalangan mereka yang tidak pernah hadir sesi libat urus boleh menyalahkan Wan Junaidi kerana dikatakan tidak berunding terlebih dahulu.
Begitulah juga dengan kandungan ucapan sebahagian mereka dalam taklimat tersebut pada Ahad lalu serta kandungan ucapan perbahasan sebahagian mereka dalam sidang khas Dewan Rakyat kelmarin yang menyentuh mengenai perkara-perkara yang sebenarnya telah dibincangkan berkali-kali dalam sesi libat urus. Contohnya, ahli-ahli Dewan Rakyat dari Tuaran, Semporna, Kota Belud dan Kinabatangan mencadangkan supaya larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti hanya dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu digubal suatu akta khusus sedangkan mereka patut tahu bahawa inilah yang asalnya cuba dilakukan oleh Wan Junaidi serta pasukan beliau melalui draf awal RUU.
Draf awal RUU ini sudah pun dinyatakan secara jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti dan apa yang tidak. Justifikasi pada ketika itu adalah untuk memastikan suatu peruntukan yang kukuh dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.
Keadaan sama dengan ahli-ahli Dewan Rakyat dari Port Dickson, Sibuti, Seremban, Selayang, Pengerang, Parit Buntar dan Rasah yang turut mengemukakan persoalan mengenai keperluan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan iaitu tempoh masa bertenang selama lima tahun kepada ahli-ahli Parlimen dimansuhkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat. Sedangkan perkara ini telah turut ditangani dalam draf awal RUU.
Seperti dijelaskan oleh Wan Junaidi, draf awal RUU dirancang untuk mengandungi satu peruntukan baharu yang akan membawa maksud seseorang ahli Parlimen akan terlucut jawatan dan kerusinya dikira dikosongkan jika beliau sama ada pertama, melepaskan keahlian atau dipecat atau berhenti atas apa-apa jua sebab daripada menjadi ahli parti politik itu atau kedua, menyertai suatu parti politik setelah dipilih atas tiket Bebas.
Draf awal RUU juga dirancang untuk mengandungi satu peruntukan baharu yang membawa maksud seseorang ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti boleh bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya berikutnya, sekali gus mengecualikan pemakaian Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan kepada ahli Dewan Rakyat yang kehilangan kerusi akibat bertukar parti.
WINSTON CHURCHILL
Begitupun, ada pertikaian mengenai apa yang termasuk dalam kategori lompat parti di dalam draf awal RUU ini khususnya cadangan peruntukan bahawa ahli Parlimen akan terlucut jawatan jika dipecat daripada sesebuah parti yang dikatakan akan memberi kuasa terlalu besar kepada sesebuah parti untuk mengawal ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalah guna.
Selain itu, ada juga kehendak supaya undang-undang antilompat parti dibuat dalam bentuk akta dan bukannya pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya terlalu umum dan akan menjadi sukar untuk dipinda di kemudian hari disebabkan memerlukan dua pertiga majoriti. Ini juga dikatakan akan membolehkan lebih banyak perincian dibuat dari segi takrifan, pengecualian dan ilustrasi kes-kes tertentu sehubungan definisi lompat parti.
Disebabkan terdapat ahli Kabinet yang menganggap cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu masih memerlukan penelitian lanjut dari aspek dasar, misalnya tafsiran yang jelas mengenai tindakan bertukar parti, maka Mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu memutuskan mengenai keperluan untuk mewujudkan suatu akta khusus bagi maksud ini manakala sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April hanya melibatkan pindaan untuk membenarkan hak membentuk persatuan dihadkan oleh undang-undang Persekutuan.
Seperti semua tahu, sidang khas ini berjalan baik dengan semua pihak diberi ruang seluas-luasnya untuk membahaskan RUU tersebut di mana 59 ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian. Ia pada akhirnya sebulat suara menerima satu usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Paling menarik adalah ucapan penggulungan Wan Junaidi yang memetik satu ungkapan Winston Churchill bagi melafazkan tekad beliau untuk meneruskan perjalanannya sehingga RUU ini direalisasikan selain ungkapan Edmund Burke bagi menekankan bahawa dalam proses libat urus yang akan diadakan seterusnya selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, semangat kompromi dan tolak ansur akan digunakan bagi mencapai satu kata sepakat.
Sesungguhnya inilah semangat keterangkuman dan kebersamaan yang kita mahukan. Tidak syak lagi, melalui semangat ini diyakini RUU ini akhirnya akan mampu direalisasikan. – UTUSAN
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).










