JUMAAT lalu, 8 April, sebuah mahkamah di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) mensabitkan bekas pegawai bank Goldman Sach, Roger Ng (warganegara Malaysia) atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan the looting of more than US $4 billion from a Malaysian sovereign wealth fund (The New York Times, 8 April 2022). Panel juri mensabitkan Roger atas dua tuduhan konspirasi melanggar Foreign Corrupt Practices Act (FCPA) menerusi amalan rasuah serta pelanggaran kawalan dalaman perakaunan bank itu sendiri dan satu tuduhan konspirasi melakukan pengubahan wang haram.
Menurut Breon Peace, Peguam AS bagi Wilayah Timur New York, dimensi konspirasi mencuri wang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) ini adalah amat besar sekali (massive in its scale) dan amat berani dalam pelaksanaannya (brazen in its execution). Beliau menambah, sabitan mahkamah pada Jumaat lalu itu merupakan satu kemenangan besar bukan hanya untuk the rule of law, bahkan juga bagi seluruh rakyat Malaysia memandangkan tujuan asal dana yang dirompak itu adalah untuk membiayai projek awam bagi membangunkan ekonomi negara.
ELEMEN LUAR BIASA
Dalam ulasan ringkasnya mengenai keputusan mahkamah itu, wartawan Mathew Goldsten menyatakan dalam tulisannya di akhbar New York Times bahawa terdapat beberapa elemen luar biasa dalam kes itu sejak dari mula lagi.
Saya ringkaskan elemen keluarbiasaan yang dimaksudkan itu seperti berikut:
• Pertama, prosiding ditunda beberapa kali disebabkan pasukan pendakwaan lambat menyerahkan beberapa dokumen penting kepada pasukan pembelaan. Menurut peguam Roger, kelambatan penyerahan dokumen ini menjejaskan tugas mereka bersiap sedia menghadapi kes.
Pada suatu ketika, peguamnya sudah memikirkan untuk membuat permohonan mistrial disebabkan kelewatan itu yang disifatkan sebagai satu government misconduct pasukan pendakwaan. Pasukan pendakwaan sendiri mengakui kelambatan itu ‘tidak boleh dimaafkan’ (inexcusable).
Bagaimanapun mereka menyatakan tugas mendapatkan dokumen dan menyerahkan kepada pasukan pembelaan adalah tanggungjawab sebuah pasukan lain.
• Kedua, saksi utama (star witness) pasukan pendakwaan, iaitu Tim Leissner (bekas ketua Roger dalam bank tersebut) mengakui dia adalah seorang pembohong tegar. Leissner memberi keterangan bagi pihak pendakwaan selama 10 hari, termasuklah enam hari dia diperiksa balas oleh peguam pasukan pembelaan.
Semasa soal-balas, Leissner mengakui dia berbohong kepada pegawai persekutuan, kepada rakan sekerjanya di Goldlman Sachs, kepada isteri-isteri dan teman-teman wanitanya. Dia mengakui di mahkamah terbuka bahawa dia adalah double bigamist, memalsukan dokumen perceraian daripada wanita tertentu supaya boleh berkahwin lagi dengan wanita lain pula. Secara terbuka dia memberitahu hakim, dia memang banyak berbohong (he lied a lot).
• Ketiga, prosiding yang berjalan minggu lalu di New York itu luar biasa kerana ia menunjukkan seorang yang lebih kanan memberi keterangan bagi pihak pendakwaan untuk mensabitkan kesalahan orang di bawahnya sendiri. Lazimnya, situasi adalah sebaliknya, iaitu pihak pendakwaan akan memujuk dan meyakinkan seorang di peringkat bawahan atau junior untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan bagi mensabitkan kesalahan seorang tertuduh yang menjadi ketuanya atau lebih senior.
Dalam banyak kes jenayah korporat berprofil tinggi, saksi yang dapat dipujuk oleh pasukan pendakwaan adalah biasanya pegawai bawahan untuk mendapatkan sabitan tertuduh terdiri daripada eksekutif kanan atau pengarah syarikat.
Dalam hujahnya, peguam Agnifilo (yang mewakili Roger) berkata, keterangan Leissner tidak boleh dipercayai dan sepatutnya ditolak, tapi Pendakwa Alixandra Smith menghujah bahawa keterangan Leissner masih boleh dipercayai kerana ia disokong oleh keterangan lain (ada corroboration).
Apabila prosiding berakhir, Hakim Bicara Margo Brodie memerintahkan Roger dikenakan curfew (perintah berkurung) sementara menunggu hukumannya diputuskan, tetapi hakim tidak merasakan ada risiko atau bahaya Roger akan melarikan diri.
Peguam Agnifilo memberitahu media bahawa anak guamnya mungkin akan membuat rayuan di kemudian hari, tetapi untuk masa ini anak guamnya masih menunggu keputusan beberapa usul pascabicara yang telah difailkan olehnya serta hukuman hakim bicara yang masih lagi belum diketahui.
Agnifilo masih yakin bahawa anak guamnya punyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan keadilan di mahkamah di AS berbanding jika dia diekstradisi ke Malaysia dan dibicarakan di negara itu.
Agnifilo juga mempertahankan pendiriannya bahawa anak guamnya dijadikan kambing hitam oleh Leissner yang sanggup membuat pengakuan salah lebih awal lagi supaya boleh memberi keterangan bagi pihak pendakwaan terhadap Roger dengan harapan mendapatkan hukuman yang lebih ringan untuk dirinya.
“Roger Ng is basically the fall guy for this whole thing,” kata Agnifilo kepada media.
Mengikut laporan Al-Jazeera, Roger berdepan hukuman penjara selama 30 tahun kerana peranannya melakukan ‘rompakan epik dana Malaysia (his role in the epic looting of the Malaysian fund). Malangnya, Jho Low, individu yang dikatakan mastermind konspirasi merompak dana 1MDB ini masih lagi bebas, gagal ditangkap oleh pihak berkuasa kita hingga kini. – UTUSAN
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










