AC syarikat awam tersenarai (PLC) digesa adakan libat urus

Jawatankuasa Audit PLC digesa adakan libat urus dengan juruaudit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa Jawatankuasa Audit (AC) syarikat awam tersenarai (PLC) mengadakan libat urus dengan juruaudit secara berterusan dan teliti untuk menggalakkan proses audit yang berkesan.

Peringatan AC tentang peranan mereka dalam memacu peningkatan kualiti audit dibangkitakan oleh AOB dalam siri `Bual Bicara AOB bersama Jawatankuasa Audit’ secara maya, kelmarin.

Sesi libat urus terakhir dengan AC bermula sejak November tahun lalu. Lebih 1,250 ahli AC daripada 715 PLC menghadiri sesi tersebut dan berkongsi pandangan tentang amalan baik AC dalam menyokong kualiti audit.

Menurut SC, siri tersebut merupakan sebahagian daripada libat urus berterusan AOB dengan AC untuk mengukuhkan pengawasan PLC terhadap juruaudit dan proses audit.

“Ini selaras dengan usaha SC untuk menambah baik tadbir urus korporat dalam PLC dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang telah diaudit.

“Ia juga sebahagian daripada inisiatif pembinaan kapasiti AOB bagi industri perakaunan dan pengauditan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas SC, AOB menekankan bahawa AC perlu mempertimbangkan maklumat dalam Laporan Ketelusan Tahunan (ATR) yang disediakan oleh firma audit mereka, ketika menilai pelantikan dan pelantikan semula juruaudit luar.

ATR menyediakan maklumat struktur perundangan dan tadbir urus firma, langkah yang diambil untuk mendukung kualiti audit dan mengurus risiko, dan pengukuran penunjuk kualiti audit.

“Di samping itu, AC amat digalakkan untuk memahami dan membincangkan pemerhatian dan statistik peringkat firma yang dikongsi dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB dengan juruaudit masing-masing, bagi memastikan risiko yang dikenal
pasti ditangani dengan sebaiknya.

“Berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar, AOB turut menggesa AC agar terus menilai impak pandemik Covid-19 ke atas kawalan dalaman pelaporan kewangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×