Luah rasa di media sosial: Lega atau aib? - Utusan Malaysia

Luah rasa di media sosial: Lega atau aib?

ELAKKAN daripada meluahkan perasaan di media sosial. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMENDAM perasaan boleh mengganggu jiwa dan fikiran seseorang sehingga menyebabkan masalah kesihatan seperti kemurungan, bersedih, kelihatan penat dan tertekan, tidak bersemangat serta kerap sakit kepala.

Kegagalan menangani masalah inilah yang menyebabkan ramai mengalami kesihatan mental.

Ketika ini ramai yang terkesan dan lebih memendam perasaan akibat pandemik Covid-19, kehilangan insan tersayang, diberhentikan kerja, berdepan masalah keluarga atau mengalami kesempitan hidup sehingga tidak terluah bebanan yang ditanggung.

Menurut Kaunselor Berdaftar dan Timbalan Pegawai Psikologi Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Roslinda Mohd. Subbian, jika seseorang berdepan masalah dan mengalami tekanan, sebaiknya kongsi dan luahkan masalah tersebut agar tekanan yang dialami terkawal.

“Sebagai manusia biasa, kita tidak lari untuk berasa sedih, cemas, kecewa dan marah dengan dugaan yang dihadapi.

“Bagaimanapun, luahan perasaan ini perlu disalurkan dengan cara dan medium yang betul,” katanya. Bersama Seri beliau kongsikan empat cara sihat meluahkan perasaan:

1) Luah pada orang dipercayai
Berkongsilah perasaan sedih dan kesulitan dengan seseorang yang dipercayai dan selesa untuk bercakap seperti rakan, ahli keluarga, pensyarah atau kaunselor yang sedia mendengar.
Dengan meluah, anda tidak terperuk memendam rasa. Ia turut dapat mengurangkan beban menanggung masalah tersebut.

2) tidak sihat Meluah di media sosial
Elakkan daripada meluahkan perasaan di media sosial ketika perasaan dan emosi tidak terkawal atau memuncak.
Tindakan impulsive tanpa berfikir panjang, diikuti penggunaan bahasa kasar boleh mengundang padah. Ia merisikokan perasaan sendiri kerana tidak boleh mengawal persepsi dan komen balas daripada orang lain.

3) Sibukkan diri dengan aktiviti
Kalau sukar berkongsi dengan orang, lakukan aktiviti fizikal sebagai tujuan self care. Aktiviti ini membantu mengalihkan fokus daripada masalah dengan menyibukkan diri dengan perkara lain. Ia juga selamat dan boleh menjadi terapeutik.

4) Luahan matang
Mengadu masalah perlu dibuat melalui saluran betul. Contohnya, jika tidak sependapat dengan seseorang, wujudkan alternatif lain seperti luahan bertulis terlebih dahulu.
Seterusnya, praktiskan komunikasi matang. Kalau tidak berjaya, gunakan kaedah aduan yang betul agar memperolehi situasi menang-menang iaitu masalah didengari dan dibantu. Hubungan baik pun dapat dikekalkan.
Pendek kata, emosi perlu diurus dengan pemikiran dan tindakan rasional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×