Titah seruan menggamit cabaran

Titah seruan menggamit cabaran

RAMAI dalam kalangan mereka yang terlibat dengan industri minyak dan gas melihat Tok Bali mampu menjadi hab bagi pasaran minyak dan gas terbesar di Pantai Timur. – ECERDC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANTAN berpotensi maju. Masa depannya cerah jika sumber sedia ada dapat dibangunkan dengan berkesan. Perancangannya perlu mantap dan rapi. Kelantan tidak mampu terbiar dengan dendangan miskin, mundur dan ketinggalan secara berterusan.

Itu antara yang tersirat daripada intisari titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semasa istiadat pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, 28 Mac lalu.

Titah Sultan Muhammad V menepati aspirasi rakyat Kelantan. Sejak sekian lama rakyat negeri ini ternanti-nanti sinar baharu kehidupan yang menjanjikan anjakan kemajuan dan kemakmuran yang tidak hanya terbuai dengan cukup sekadar ala kadar.

Baginda yakin dengan adanya projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan menyemarakkan kemajuan Kelantan. LPT3 menurut baginda, dapat mewujudkan rangkaian lebuh raya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan Wilayah Pantai Timur Semenanjung. Projek itu tambah baginda, bukan sahaja dapat mengurai kesesakan lalu lintas serta mengurang kadar kemalangan jalan raya, dapat pula meningkatkan ekonomi rakyat tempatan pada amnya.

Pada masa sama, Sultan Muhammad V menyarankan bandar Tok Bali, Pasir Puteh diberi fokus oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan infrastruktur supaya dapat ditingkatkan menjadikannya sebagai pusat perkembangan industri dan pelabuhan.

Ramai dalam kalangan mereka yang terlibat dengan industri minyak dan gas melihat Tok Bali mampu menjadi hab bagi pasaran minyak dan gas terbesar di Pantai Timur, baik untuk pasaran domestik mahupun ke luar negara. Malah ada pakar-pakar dalam industri berkenaan menyatakan kesediaan untuk diajak mengadakan sesi percambahan fikiran (brainstorming) bagi mencari pendekatan terbaik untuk merealisasikan apa yang dicita-citakan.

Turut dititahkan baginda ialah tentang perlunya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan khusus kepada Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), khususnya Projek Empangan Sungai Lebir di Hulu Kelantan. Pakar-pakar pengurusan saliran air memberitahu, dengan terbinanya empangan berkenaan akan menghasilkan beberapa impak positif yang bukan sedikit khususnya kepada rakyat Kelantan.

Empangan Sungai Lebir dikatakan dapat dijadikan tebatan banjir, membantu menangani kira-kira 45-peratus masalah banjir di Kelantan. Selain turut dapat membekalkan air bersih dalam kuantiti yang banyak kepada pengguna, Empangan Sungai Lebir boleh menyalurkan bekalan pengairan ke kawasan pertanian khususnya dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Dalam hubungan ini, dapat pula dikaitkan dengan saranan baginda supaya diperkasakan usaha meningkatkan pengeluaran padi di Kelantan. Baginda berharap sektor pertanian dimajukan secara serius dan berharap Kelantan akan muncul sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang 2025. Bukan itu saja, projek Empangan Sungai Lebir malah boleh membantu menghasilkan sumber penjanaan tenaga hidroelektrik di samping kawasan sekitarnya boleh dibangunkan sebagai pusat ekopelancongan yang menarik.

SUKMA 2026

Menoleh sejenak ke 1989, terdapat cadangan daripada pakar pengairan dari Jepun yang mengesyorkan Projek Empangan Sungai Lebir dilaksanakan. Persoalannya, kenapa menunggu sehingga baginda sendiri terpaksa menitahkan seruan setelah lebih 30 tahun pengesyoran itu dibuat?

Begitu prihatin Sultan Muhammad V terhadap prospek pembangunan dan kemajuan Kelantan. Kandungan titah baginda terarah kepada bersifat memberi cadangan, menggesa supaya dirancang dan dilaksanakan dengan segera dan sebaiknya sebarang projek pembangunan sesuai demi kepentingan rakyat Kelantan secara umumnya.

Baginda menyarankan agar para belia digalakkan mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan internet sebagai platform niaga. Selain itu, baginda berharap kerja-kerja menyiapkan prasarana menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di mana Kelantan akan menjadi tuan rumah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Di samping itu, Sultan Muhammad V turut menghargai langkah membuka Taman Konservasi Rafflesia di tanah tinggi Lojing. Taman konservasi itu dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, baru-baru ini. Baginda berharap pembukaan taman konservasi itu akan mempercepatkan pembangunan di Lojing.

Titah ucapan Sultan Muhammad V itu ternyata menggamit cabaran pihak-pihak berkenaan khususnya kerajaan negeri Kelantan. Ada persoalan timbul, “Tidak adakah perancangan kerajaan negeri bagi menjayakan projek-projek pembangunan sebagaimana dititahkan oleh Sultan Muhammad V sebelum ini? Kenapa tunggu sehingga tuanku sendiri menitah seruan?”

Pembangunan dan kemajuan tidak mampu terlaksana hanya melalui ucapan retorik atau laungan slogan. Segalanya perlu disertakan dengan pendekatan yang pragmatik dan berjiwa besar.

Titah Sultan Muhammad V tentunya turut memberi cabaran kepada menteri-menteri Kabinet dari Kelantan untuk sama-sama menterjemahkan apa yang disarankan baginda. Barangkali ada alasan mereka hanya menunggu cadangan daripada kerajaan negeri.

Kelantan perlu maju membangun. Pelaksanaan projek-projek seumpama dititahkan Sultan Muhammad V akan memberi makna besar terhadap kesejahteraan hidup rakyat Kelantan. Banyak sumber yang ada boleh dibangunkan.

Untuk apa projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dilaksanakan jika tidak diselarikan dengan pembangunan pesat di Kelantan? Kerja-kerja pembinaan pembesaran lapangan terbang itu kini sedang rancak dilaksanakan. Kos projek melebihi RM400 juta.

Demi rakyat, laksanakanlah dengan sebaiknya. Niat yang baik, usaha yang jujur selalunya menghasilkan pencapaian yang diimpikan. Apa yang dicari ialah kejayaan yang boleh membawa kesan kebaikan untuk semua. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×