Menanti RUU antilompat parti

Menanti RUU antilompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA tidak ada halangan, pada Isnin, 11 April ini, kita akan tahu secara terperinci kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022 apabila ia dibentangkan (dan seterusnya dibahas oleh ahli-ahli Parlimen) di Dewan Rakyat. Pada 30 Mac lalu semasa berucap di Dewan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ada menyatakan tiga situasi utama lompat parti berlaku seperti yang disebutkan dalam draf awalan.

Situasi pertama, apabila seorang ahli Parlimen mengumumkan niatnya untuk meninggalkan parti asalnya (di bawah mana dia menang sebagai calon partinya) bagi maksud menyertai parti politik yang lain atau menjadi ahli Parlimen Bebas. Situasi kedua, apabila seorang ahli Parlimen itu dipecat dari partinya. Ini juga dikira sebagai perbuatan lompat parti supaya ahli Parlimen tersebut sentiasa mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan serta segala peraturan parti.

Mengikut Wan Junaidi, parti politik yang memecat ahlinya itu menghadapi risiko hilang kerusi dan satu pilihan raya perlu diadakan semula, ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk John Ambrose. Situasi ketiga berlaku apabila seorang ahli Parlimen Bebas mengumumkan niatnya untuk menyertai parti politik lain selepas dipilih sebagai calon Bebas.

BELUM ADA KATA SEPAKAT

Pada 15 Februari lalu, Wan Junaidi mengakui kepada pengamal media bahawa belum ada kata sepakat (consensus) mengenai istilah undang-undang antilompat. Setiap parti politik di negara ini mungkin punyai takrif mereka masing-masing, katanya lagi.

Beliau mengakui bahawa satu engagement perlu diadakan dengan semua pihak berkepentingan supaya satu undang-undang antilompat ini yang baik dapat digubal dan dibentangkan di Parlimen. Beliau mendedahkan bahawa walaupun perkara ini telah banyak kali dibincangkan olehnya dengan Peguam Negara, masih ada 20 isu yang masih lagi belum terjawab.

Sebelum itu, Wan Junaidi menyatakan bahawa kerajaan ada mengkaji undang-undang antilompat parti di India, Singapura, United Kingdom (UK) dan New Zealand.

“Bagaimanapun, kita dapati model undang-undang mereka ini tidak sesuai dengan perlembagaan kita,” tambahnya lagi.

Pada 23 September 2021, beliau memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah meminta Peguam Negara memulakan kerja menggubal RUU Anti Lompat Parti.

Usaha ini baharu sahaja dimulakan dan pastinya akan mengambil masa yang lama, bukan sekadar seminggu dua. Menteri itu berjanji bahawa apabila draf undang-undang itu sudah siap nanti, beliau akan pastikan ia akan dibincangkan dengan setiap ahli Parlimen sebelum dibentangkan di Parlimen.

PERLU KAJI SEMULA

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berpendapat, takrif istilah ‘lompat parti’ yang digubal oleh kerajaan perlu dikaji semula. Beliau turut mempersoalkan kewajaran pendirian kerajaan yang menyifatkan tindakan ahli Parlimen Bebas yang menang dalam pilihan raya dan kemudian menyertai mana-mana parti politik lain sebagai satu tindakan lompat parti.

Baginya, matlamat utama undang-undang antilompat parti adalah menghalang seorang ahli Parlimen yang menang dipilih sebagai calon sebuah parti dalam pilihan raya itu kemudian berpaling tadah dan melompat untuk menyertai parti politik lain. Dalam keadaan sedemikian itu, satu pilihan raya baharu hendaklah diadakan supaya mandat dipulangkan kepada rakyat untuk membuat pilihan kali kedua.

NEGARA PUNYA UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT PARTI

Mengikut kajian Sarah Miskin sedikit masa lalu (Politician overboard: Jumping the party ship, 24 Mac 2003), kebanyakan negara (termasuk UK, Amerika Syarikat dan Eropah) tidak mempunyai undang-undang antilompat parti. Undang-undang antilompat parti mungkin sesuai bagi Papua New Guinea bagi mengatasi sistem parti politiknya yang bercelaru dan menstabilkan kerajaan, tetapi manfaatnya di negara-negara maju yang lain tidak begitu jelas.

Bagi negara-negara lain (seperti Bolivia, Fiji, India, Namibia, Papua New Guinea, Afrika Selatan, Trinidad & Tobago, Vanuatu, Zambia dan Zimbabwe) yang mempunyai undang-undang antilompat parti, Sarah Miskin menganggap mereka sebagai dictatorships and fragile democracies yang memerlukan undang-undang seperti itu.

Di India, amalan lompat parti berterusan (malahan menjadi lebih teruk) walaupun undang-undang antilompat parti telah diperkenalkan. Di New Zealand, di mana undang-undang antilompat diperkenalkan pada Disember 2001, ia masih gagal membendung kegiatan lompat parti.

ALASAN LOMPAT PARTI

Ahli Parlimen yang melompat ke parti lain dari parti asal mereka (dipanggil defectors) lazimnya mengemukakan salah satu daripada tiga alasan berikut kenapa mereka berbuat demikian:

Parti asal mereka telah berubah haluan manakala merekalah yang masih setia kepada perjuangan asal (prinsip asas) parti.

Mereka menghormati (mendengar) kehendak pemilih (pengundi) mereka, yang tidak percaya lagi terhadap parti asal mereka.

Mereka menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan sendiri, memikirkan apa yang terbaik untuk pemilih (pengundi) mereka.

Di Australia, apabila ahli Parlimen Parti Buruh, Andrew Theophanous meninggalkan partinya dan menjadi ahli Parlimen Bebas pada April 2000, beliau menyatakan tidak boleh terima lagi dasar parti itu mengenai isu imigresen (kemasukan warga asing ke negara itu).

Andainya ketiga-tiga alasan di atas tadi tidak boleh dibuktikan atau dipertahankan, jelaslah bahawa motif utama dan terakhir tindakan seorang ahli Parlimen itu melompat parti adalah mengejar kepentingan dirinya sendiri (self-interest), bukan memelihara kepentingan pengundi atau rakyat jelata.

Mengikut laporan media pada 2 April lalu, seramai 39 ahli Parlimen telah lompat parti di negara ini semenjak 2018. Ia telah membawa kepada ketidakstabilan politik dan menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen. – UTUSAN

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×