Baru-baru ini, industri seni digegarkan dengan insiden adegan panas melibatkan seorang pelakon yang cukup ternama dan diminati ramai.
Bagai kain putih yang dipalit lumpur, perlakuan tidak bermoral itu sedikit sebanyak mencalar imej industri yang baru hendak bermula semula selepas ditutup sementara gara-gara Covid-19.
Namun, bagi pelakon dan penyanyi tampan, Zarul Umbrella, dia mendakap erat prinsip yang satu.
Dia menolak sekeras-kerasnya permintaan untuk menjayakan sebarang adegan yang menyalahi norma dan tata budaya.
Ketegasan itu disuarakan Zarul ketika ditemui wartawan selepas menjayakan Konsert Minggu Ini anjuran RTM, baru-baru ini.
Kata Zarul atau Zairulkefli Husin, 48, selain faktor berkeluarga, dia enggan berlebih-lebihan demi menjaga maruah dan nama baik.
“Prinsip saya adalah jangan berlebih-lebihan. Saya jaga. Ada banyak mata yang memandang kita.
“Masyarakat sudah pandai menilai. Kita kena hormat audiens kita. Walaupun ada yang menyifatkan mentaliti sebegitu sebagai kampung.
“Kita ada agama dan batas-batasnya. Itu sahaja. Kalau diarahkan begitu, tidak rasanya. Saya pun tak sesuai,” kata anak jati Kelantan ini.
Diminta mengulas lanjut berhubung insiden tersebut, Zarul mengakui, sebagai anak seni dia juga terasa.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak bercakap banyak tentang perkara tersebut demi menghormati karya penggiat seni yang lain.
“Saya terkejut juga sebenarnya. Kalau dalam industri pun, orang cubit terasa juga.
“Saya tak boleh nak cakap apa. Jadi saya no comment. Itu karya dia orang, saya hormat dan tak nak sentuh, itu sahaja” ujarnya.
‘Sedikit iri itu ada’
Pada usia menghampiri lima dekad, tentunya untuk kekal bertahan dalam industri bukan satu perkara yang mudah.
Ditambah lagi dengan kehadiran pelakon-pelakon muda yang hadir dengan ketampanan dan tarikan tersendiri. Sudah tentu Zarul perlu bersaing demi kelangsungan hidup.
Meskipun terpaksa berhadapan ‘permainan’ industri yang menduga, dia serahkan bulat-bulat pada rezeki yang ditentukan Tuhan.
“Rezeki ada. Cuma, ada stesen televisyen yang menghubungi, bertanyakan sama ada saya berkelapangan untuk melakonkan watak hero.
“Namun apabila ditanya adakah tawaran itu ditetapkan untuk saya, mereka kata tidak. Bagi nama dulu untuk diletakkan dalam senarai pilihan.
“Perkara ini kerap berlaku. Saya tidak tanya pula, atas alasan apa mereka berbuat begitu. Pada saya, rezeki masing-masing,” luahnya.
Apabila ditanya sama ada jumlah pengikut di media sosial menjadi punca dia diletakkan dalam senarai pilihan, baginya tidak.
Kata penyanyi lagu Ramalanku Benar Belaka ini, dia percaya semua sudah ditentukan. Tidak perlu dengki mahupun iri hati.
“Saya tidak rasa macam itu. Tentulah, sebagai manusia kita akan ada perasaan ‘aku berlakon lebih bagus daripada dia, lebih kurang aku sahaja’. Jauh dalam sudut hati, sedikit iri itu memang ada.
“Tapi sampai bila nak berdengki. Lagi kita dengki, lagi Tuhan tutup rezeki kita. Jadi, anggaplah itu rezeki dia. Rezeki kita mungkin ke arah lain.
“Alhamdulillah, saya tak fikir sangat pasal itu. Kerja ada. Orang letakkan dalam senarai pilihan, itu rezeki bagi saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zarul akur dengan dunia hiburan yang penuh persaingan. Kata, untuk kekal bertahan, dia perlu berusaha dan cari watak bersesuaian dengan usianya.
“Mungkin karakter itu umurnya dalam lingkungan 40an atau lewat 30an. Tidak sesuai dengan saya. Jadi mereka mahukan pelakon yang lebih muda.
“Tapi, kenapa pilih saya untuk diletakkan dalam senarai pilihan? Memang rasa seperti dipermainkan.
“Saya ambil itu sebagai cabaran. Umur dah nak masuk 50. Saya kena fikir, macam mana nak buat bagi mem-bolehkan wajah saya boleh dijual untuk karakter berumur 40 an. Kalau pelajar kolej memang dah tak boleh,” tambahnya.











