BAGAN DATUK: Rakyat akan menolak jika parti pembangkang bergabung semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana rakyat sudah merasai keperitan pembangkang bekerjasama dan mentadbir negara ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Beliau percaya rakyat tidak mahu lagi memberi peluang kepada parti pembangkang untuk kembali memerintah.
“Eloklah mereka nak buat kerjasama. Pastinya apa yang telah berlaku dahulu, pakatan ini akan memberikan keabsahan bahawa rakyat akan menolak mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika mengetuai konvoi bermotosikal meninjau Bagan Datuk di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk rundingan kerjasama politik.
Sementara itu, mengenai tarikh PRU15, Ahmad Zahid berkata, Persidangan Agung UMNO baru-baru ini telah menetapkan ia hendaklah diadakan mengikut memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang.
Jelasnya, menurut MoU itu, tempoh masa yang ditentukan ialah pada akhir Julai dan tarikh-tarikh selepasnya.
“Maka bagi menghormati ketetapan itu, kita tidak mahu adanya MoU 2.0 pula, ia cukup setakat itu sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dalam ucapan penangguhan pada perhimpunan itu, ketiga-tiga pemimpin utama UMNO iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden 1 juga memutuskan PRU-15 diadakan setelah Yang diPertuan Agong dinasihati oleh Perdana Menteri.
Katanya, jadi sudah tentu Perdana Menteri akan mengikuti ketetapan yang telah dibuat oleh jurucakap negeri bahawa UMNO akan berbincang dengan lima pemimpin tertinggi parti mengenainya.
“Presiden, Timbalan dan tiga Naib Presiden akan mengikut mandat yang telah diberikan para perwakilan untuk kita membuat ketetapan dan seterusnya kita akan membawa keputusan kepada Majlis Tertinggi UMNO bagi pemakluman kepada mereka dan tarikh itu (PRU-15) mengikut kesesuaian setelah mendapat perkenan Seri Paduka,” katanya. – UTUSAN










