Isu MySejahtera: Kerajaan perlu jamin data rakyat selamat - Utusan Malaysia

Isu MySejahtera: Kerajaan perlu jamin data rakyat selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga lantai lesen aplikasi MySejahtera bukan isu kritikal tetapi lebih penting jaminan data peribadi hampir semua 32 juta rakyat selamat daripada disalah guna oleh pihak yang berkepentingan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, oleh itu, kerajaan perlu mengesahkan tiada kepentingan peribadi mana-mana pihak dalam urus tadbir aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, sejak isu MySejatera didakwa mahu diswastakan atau dilesenkan, ramai pengguna aplikasi itu mula bimbang jika maklumat peribadi mereka boleh ditembusi oleh pihak yang tidak sepatutnya.

“Ada atau tidak kepentingan peribadi dalam hal ini? Dalam urusan ini, kerajaan perlu dedahkan dengan cukup telus. Jadi maknanya, maklumat itu sudah didedahkan, tetapi bukan secara sepenuhnya.

“Tentu ada sesuatu dalam urus niaga yang meragukan. Jadi, kerajaan boleh sahkan. Kalau tidak ada kepentingan dan ia perlu dijamin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dewan Negara kelmarin panas apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin enggan mendedahkan harga sebenar pemindahan harta intelek dan lesen perisian aplikasi MySejahtera dan hanya memberitahu bayarannya jauh lebih rendah daripada RM338.6 juta seperti dilaporkan sebelum ini.

Pendedahan tersebut mencetus kebimbangan awam mengenai pengurusan aplikasi tersebut kepada badan bukan kerajaan kerana ada yang berpendapat tindakan boleh membuka ruang kepada pencabulan maklumat peribadi dan ancaman keselamatan negara.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan keputusan kerajaan melantik sebuah syarikat untuk menguruskan aplikasi MySejahtera tidak bermaksud aplikasi itu dijual, data yang dikumpul adalah selamat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mempersoal mengapa aplikasi MySejahtera perlu dikendalikan pihak luar dan bukan kerajaan sendiri.

“Paling pokok, kenapa kita menyerahkan kepada pihak luar? Sedangkan ini soal kerahsiaan data. Data ini menjadi keselamatan kepada rakyat Malaysia, kenapa kita menyerahkan kepada mereka? Apakah tidak ada kerajaan sendiri yang mampu untuk kendalikan? Tidak ada GLC kerajaan yang boleh mengendalikan perkara ini?

“Kalau syarikat itu dalam negara, persoalan harga adalah satu perkara yang perlu dilihat secara serius. Dalam isu MySejahtera ini ia boleh diibarat seperti kerajaan menjual rakyat kepada pihak luar,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengenai harga pemindahan harta intelek dan lesen MySejahtera agar tidak berlaku kepentingan peribadi yang bersifat kroni atau tiada pihak yang mengaut keuntungan daripada aplikasi berkenaan.

“Aplikasi MySejahtera menyimpan data terbesar rakyat Malaysia. Kalau persoalan menyerahkan kepada syarikat swasta uruskan MySejahtera, proses pemilihan syarikat swasta perlu telus sebab kontrak besar, dalam masa yang sama melibatkan sekuriti data dan maklumat. Segala syarat yang dikenakan perlu dinyatakan.

“Dari segi harga, kena buat tender. Mungkin ada syarikat boleh buat harga lebih murah. Kita tidak mahu perkara kepentingan peribadi ini diberi kepada syarikat kroni atau syarikat anak beranak,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×