Dihina kerana gemuk, Emma nekad ubah diri - Utusan Malaysia

Dihina kerana gemuk, Emma nekad ubah diri

Emma tekad untuk melakukan tranformasi diri. Bukan untuk orang lain, tetapi niatnya kerana Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memilih pasangan hidup merupakan salah satu perkara paling sukar bagi sebahagian orang.

Sebelum menentukan untuk menuju ke fasa lebih serius, seseorang itu harus menemukan siapa orang yang paling tepat untuk dijadikan pasangan.

Jika kita berhasil menemukan orang yang tepat, kehidupan seterusnya akan dilimpahi kebahagiaan.

Jika sebaliknya, konflik dan penderitaan bakal dilalui.

Dalam Islam, ada empat kriteria yang wajib diletakkan ketika mencari pasangan iaitu dengan melihat ketaatan seseorang itu pada agama, keturunannya, kecantikan atau ketampanan dan harta yang dimiliki.

Paling utama, pilihlah wanita atau lelaki yang taat kepada agama, barulah diikuti dengan yang lain.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, ramai kalangan kita lebih tertarik kepada rupa paras.

Minggu ini saya kongsikan kisah Emma (bukan nama sebenar) yang pernah mengalami masalah obesiti dan hilang keyakinan terhadap diri sendiri.

Dia tertekan kerana sering menjadi ejekan dan bahan lawak daripada kawan-kawan disebabkan memiliki rupa paras yang tidak menarik, ditambah berkulit gelap dan gemuk.

Bagi Emma, lelaki akan tetap memandang rupa paras apabila mencari calon isteri.

Disebabkan prasangka keterlaluan itu membuatkan anak ketiga daripada lima beradik ini sentiasa berasa rendah diri, takut dan tawar hati untuk mencari pasangan.

Walaupun pada luarannya Emma nampak gembira dan cukup serba serbi, jauh disudut hati, ada kekosongan dalam diri yang belum terisi.

Dalam erti kata lain, Emma menyimpan hasrat mendirikan rumah tangga seperti orang lain.

Namun, tiap kali memikirkan kekurangan diri dia terpaksa menutup keinginan itu.

Emma pernah beberapa kali bercinta, sayangnya semua terkandas di pertengahan jalan disebabkan rupa paras dan bentuk fizikalnya.

Sesekali muncul perasaan sedih dan kecewa, namun dia cuba memujuk hati dan reda menghadapi dugaan jodoh yang tidak kunjung tiba.

Bukan Emma tidak berusaha menurunkan berat badan. Namun, tidak pernah berjaya.

Setiap kali kutukan dilemparkan, Emma berasa tidak selamat, tidak berguna dan hilang keyakinan diri.

Berkongsi kisah zaman persekolahannya, apabila sering menjadi mangsa buli rakan-rakan sebaya disebabkan keadaan fizikal, Emma hanya berdiam diri.

Emma tertekan dan setiap hari dia menangis apabila mengingatkan kata-kata yang dilemparkan rakan-rakan.

Tidak cukup diejek di bangku sekolah rendah dan menengah, memasuki ke menara gading masih ada kata-kata hinaan dilempar kepadanya.

Bertahun-tahun Emma berendam air mata mengenangkan apa yang berlaku.

Walaupun, dalam bentuk gurauan, Emma tetap menyimpan perasaan malu.

Memasuki dunia pekerjaan, Emma bertemu Yazid (bukan nama sebenar) dan jatuh cinta kepadanya.

Emma cuba mengenali Yazid. Ternyata lelaki itu bersedia berkawan dan meletakkan syarat agar dia menurunkan berat badan terlebih dahulu.

Walaupun terasa berat dan terganggu dengan syarat tersebut, kerana sayang, Emma turuti.

Dia membuat keputusan untuk melakukan perubahan diri semata-mata untuk Yazid menyukainya.

Dalam proses menurunkan berat badan, Emma mendapat tahu lelaki itu curang dibelakangnya.

Akhirnya hubungan mereka menjadi renggang dan tidak dapat diselamatkan.

Sebelum berpisah, Yazid sempat menghina dan mencaci bentuk tubuh Emma.

Emma dikatakan tidak layak menjadi teman wanita kepadanya jauh sekali sebagai isteri.

Selepas berpisah, Emma yang begitu kecewa kembali kepada tabiat lamanya makan secara berlebihan.

Sehari, seminggu dan setahun Emma selesa dengan keadaan dirinya.

Sehinggalah pada satu hari dia jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

Mengambil iktibar daripada kejadian itu dan atas nasihat doktor, Emma mula mengambil serius terhadap kesihatannya.

Ini termasuk menjalani kehidupan yang sihat termasuk mengamalkan pemakanan seimbang.

Emma tekad untuk melakukan tranformasi diri. Bukan untuk orang lain, tetapi niatnya kerana Allah dan diri sendiri.

Seiring bertambahnya usia, Emma semakin matang dan semakin bersemangat untuk hidup lebih sihat.

Emma berusaha menurunkan berat badan. Dari situ dia menyertai aktiviti sukan dan mengawal pemakanan untuk terus sihat.

Setiap kali ada teman-teman yang memperlekehkan usahanya semata-mata niat mahu mencari pasangan, Emma bersikap tenang dan berlapang dada.

Dia cuba mengawal pemakanan dan bersenam. Selama enam bulan Emma berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram (kg).

Kini dia memiliki berat badan 60 kg berbanding 80 kg sebelum ini.

Memasuki fasa usia 40 an, Emma lebih bersikap terbuka dalam banyak perkara.

Dia kini lebih yakin dan bangga dengan diri sendiri.

Selepas apa yang dilalui, Emma lebih melihat apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Dia yang masih sendirian tetap menyerahkan jodohnya kepada Allah Taala.

Dia tidak menolak ketentuan takdir jika dipertemukan dengan lelaki yang boleh memberinya kebahagiaan dan berkongsi sisa hidup bersama.

Emma juga tidak tersinggung apabila orang lain hidup berpasangan.

Allah telah merancang yang terbaik dan apa yang terjadi itu terbaik buat dirinya.

Bagi Emma, kritikan tidak menjadi kesalahan, tetapi tegurlah seseorang itu dengan penuh hikmah dengan niat untuk memperbaiki penampilan serta kebaikan mereka.

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu.(HR Muslim 4651)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×