Ramadan bulan dirindui. Selain pelbagai kelebihan ada sesetengah individu menganggapnya sebagai bulan pesta makanan. Melihat pelbagai aneka juadah yang terbentang di depan mata ia mula mengetuk pintu nafsu.
Berapa bajet untuk makan?
Laporan Perbelanjaan Isi Rumah 2019 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata perbelanjaan isi rumah Malaysia sebulan untuk keperluan makanan dan minuman adalah sebanyak RM783. Namun berikutan peningkatan kos sara hidup menyebabkan harga barang basah dan harga makanan siap juga meningkat. Bajet sesuai adalah di antara RM40 hingga RM 50.
Senario sebuah keluarga yang terdiri daripada lima ahli isi rumah dengan andaian mereka tidak menyediakan menu sendiri untuk waktu berbuka.
Nasi ayam: RM6.50 x 5 = 32.50
Air: RM6.00
Kuih-muih: RM10.00
Jumlah: RM 48.50
Penjimatan dapat dilakukan sekiranya keluarga memilih menyediakan menu berbuka sendiri yang boleh juga dimakan pada waktu bersahur.
Bagaimana mengelakkan pembaziran makanan?
Sediakan peruntukan sesuai untuk misalnya berapa bajet diperuntukan membeli juadah di bazar Ramadan atau berapa kos diperuntukan sekiranya menyediakan juadah sendiri.
Kurangkan pergi ke bazar baik secara fizikal atau atas talian kerana ramai yang asalnya sekadar ingin meninjau, tetapi tewas saat akhir.
Senarai semak dan disiplin ketika berbelanja. Beli sekadar perlu dapat mengelak terlebih berbelanja dan kurangkan pembaziran.
Masak sendiri antara kaedah dapat membantu mengawal perbelanjaan berlebihan, namun pastikan ia sesuai dengan bajet.
Pembelian bahan mentah perlu diberi perhatian agar kos penyediaan juadah berbuka tidak melebihi kos membeli di bazar.
Sekiranya bercadang ke bazar Ramadan?
Tetapkan jumlah perbelanjaan dan elakkan daripada membeli terlalu banyak makanan. Buat perancangan mengenai juadah apa yang ingin dibeli pada hari tersebut.
Kalau teringin makan di luar?
Bajet keluarga dijangka meningkat justeru buat analisis bajet diperlukan sekiranya ia melibatkan semua ahli keluarga.
Dapatkan juga harga promosi dengan menggunakan kupon diskaun seperti tempahan awal.
Surau atau masjid ada menyediakan jamuan berbuka. Kalau berkelapangan, boleh berbuka di surau atau masjid. Selain dapat keberkatan, ia mampu mengawal perbelanjaan dan nafsu.










