JAKARTA: Setiap pasangan pasti mengimpikan perkahwinan yang dibina berkekalan sehingga hujung usia.
Namun, tiada siapa menduga jodoh bagi pasangan Abah Sarna, 78, dengan gadis pilihannya Noni Novita Handayani, 17, hanya bertahan selama 22 hari.
Lapor Tribun News, Abah sudah memfailkan cerai melalui sepucuk surat yang didaftarkan di mahkamah, namun, tidak menyatakan sebarang alasan berhubung perkara tersebut.
Dalam masa sama, timbul pula isu gadis belasan remaja itu yang kononnya mengandung luar nikah.
Kakak Noni, Iyan, 29, bagaimanapun, menafikan isu adiknya mengandung sebelum bernikah dengan pasangannya itu.
Katanya, isu itu hangat dibincangkan dalam media sosial Facebook sehingga warga maya memuat naik komen.
“Saya sebagai kakak, menafikan berita tular mengenai Noni hamil sebelum bernikah. Berita itu tidak benar dan saya menafikan isu itu.
“Sekarang ini pertemuan perlu diadakan antara kedua-dua belah keluarga kerana masalah ini masih belum diselesaikan,” katanya.
Pernikahan pasangan yang berbeza jarak umur sebanyak 61 tahun itu hanya bertahan sementara dan kini gadis remaja itu bakal menjadi janda muda.











