Singkap rahsia cantik dalam naskah Melayu - Utusan Malaysia

Singkap rahsia cantik dalam naskah Melayu

Salmah Jan Mohd. Noor menjelaskan herba di dapur memiliki fungsi kesihatan dan kecantikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai mengimpikan untuk tampil cantik.

Bagi memenuhi keinginan itu, ramai yang merujuk kepada perubatan barat dalam menjaga kecantikan serta kesihatan tetapi ramai yang kurang menyedari, nenek moyang kita sendiri iaitu orang Melayu sebenarnya juga sudah lama memiliki rahsia kecantikan dan kesihatan.

Semua rahsia ini tersimpan dalam naskhah perubatan Melayu yang mungkin jarang dibaca atau diterokai oleh generasi moden iaitu Kitab Tib atau dikenali juga sebagai Kitab Tajuk Muluk, Kitab Ubat dan Kitab Mujarab.

Kitab Tib adalah manuskrip perubatan bahasa Melayu yang wujud sejak abad ke-19 dan namanya adalah sempena manuskrip perubatan Arab terkenal karangan Ibnu Sina iaitu Qanun fit-Tibb.

Kitab ini mendedahkan bentuk perubatan pelbagai jenis penyakit menggunakan herba dan rempah ratus yang kebanyakannya terdapat di rumah kita atau dapur kita.

Antaranya cara merawat penyakit sembelit, sengugut, penyakit kulit, wanita bersalin serta penyakit mental seperti meroyan. Tidak terkecuali kaedah merawat penyakit mistik seperti gangguan makhluk halus, kerasukan serta jampi serapah untuk melembutkan hati.

Suatu salinan manuskrip ini disimpan di Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor MSS489.

Pengkaji Manuskrip Melayu, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Mohd. Noor berkata, nenek moyang kita dahulu sangat pintar dalam menjaga kesihatan dan kecantikan. Jadi, tidak hairanlah mengapa orang tua-tua dulu tidak dimamah usia dan panjang umur.

“Bila membincangkan perubatan Melayu, isunya sangat luas iaitu melalui kajian daripada hasil manuskrip Melayu itu sendiri dan hasil pemerhatian dalam cara perubatan yang diamalkan.

“Perubatan Melayu dikelompok dalam ilmu kepustakaan Melayu yang membincangkan tentang kepintaran orang Melayu itu sendiri,” katanya ketika bercakap mengenai membongkar rahsia sihat dan cantik menerusi Nashkah Perubatan Melayu di Studio Siaran langsung Media Sosial Dewan Bahasa Dan Pustaka, baru-baru ini.

Kulum air pada lidah bila rasa nak makan
Salmah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM berkata, sihat lebih penting daripada cantik kerana individu yang sihat secara langsung akan lebih berseri-seri wajahnya.

Katanya, petua orang tua-tua yang tercatat dalam manuskrip ini adalah jangan makan makanan sama kelompok.

Sebagai contoh, makanan yang sejuk jangan makan dengan yang hangat.

“Kalau boleh elakkan makan daging dengan telur bersama dikategorikan sebagai hangat. Ikan dengan susu sebab sejuk. Sama juga kalau boleh elakkan makan makanan berlendir, kurang masak seperti telur separuh masak, sushi dan sebagai kerana ia boleh meninggalkan kemudaratan kepada kesihatan anda,” katanya menjelaskan mengenai kelompok.

Bagi individu kuat makan atau sukar mengatasi keinginan makan digalakkan amalkan kulum air liur dalam lidah ketika terasa hendak makan.

“Selepas makan, basuh tangan, basuh jari-jari, pulas jari-jari lawan arah putaran jam sehingga air itu turun. Nazarkan apa yang kita makan, semoga apa yang memudaratkan itu akan mengalirkan keluar atau turun seperti air itu,” katanya.

Amalan lain boleh dilakukan bagi mengelakkan perut boroi atau buncit adalah dengan mengelakkan makan bersulam air.

“Perut terbahagi kepada beberapa pembahagian iaitu makanan, minuman dan pernafasan. Bila kita makan banyak kita biasanya akan sesak nafas dan tersandar kekenyangan. Antara puncanya adalah kerana ramai yang minum air banyak ketika makan yang dipanggil sulam air atau minum banyak selepas makan.

“Ini akan menyebabkan air memenuhi bahagian makanan dan pernafasan juga. Amalan minum air ketika makan boleh menyebabkan perut boroi atau buncit. Kalau boleh, lepas makan tunggu 10 hingga 15 minit baharu minum,” katanya.

Nasihat berhenti makan ketika sedap atau sebelum kenyang wajar diamalkan bagi mengelakkan masalah kegemukan atau perut buncit.

Herba di dapur berfungsi untuk merawat diri
Manfaat herba dalam kecantikan dan kesihatan juga banyak di dapur rumah orang Melayu. Antaranya cengkih, halba, kunyit, halia, lengkuas dan serai.

Menariknya, kebanyakan herba itu antara wajib ditanam di keliling rumah orang Melayu yang bukan saja digunakan dalam masakan tetapi perubatan.

Salmah Jan berkata, herba ini turut digunakan untuk kecantikan kulit dan mengatasi masalah wajah seperti jerawat.

“Ambil sedikit cengkih dan letak pada jerawat. Dalam masa tiga hari, jerawat akan kering. Kalau jerawat merah, kurangkan kuantiti cengkih yang digunakan.

“Menyapu campuran formula kulit tanjung dan kulit keteru, kulit asam jawa dan kulit tengar pada jerawat juga boleh diamalkan. Mengelakkan jerawat tumbuh, cuba sapukan campuran tangkai labu, ibu kunyit dan limau nipis pada kulit wajah,” katanya.

Ibu kunyit turut digunakan selepas bersalin, yang mana ia diyakini boleh mengecutkan rahim yang kembang selepas melahirkan anak.

Menyentuh mengenai aspek pantang larang, katanya ianya bertujuan untuk memastikan rawatan berkenaan mujarab.

Antara pantang larang ketika menjalani rawatan sembelit atau makan julap, pesakit tidak boleh terkena hujan kerana dikhuatiri boleh membawa maut.

Sekiranya mengalami penyakit demam kepialu, suami isteri tak boleh bersama atau bersetubuh.

Mereka yang mengalami penyakit mata jangan makan makanan yang berlemak dan manis.

Penghidap penyakit kurap pula perlu pantang memakan ikan yang licin (belut), daging, asam dan segala yang melata.

‘Ain penyakit bersebab’
Kena rasuk atau gangguan makhluk halus, sihir dan sebagainya dalam perubatan Melayu dikenali sebagai penyakit ‘bersebab’ iaitu orang yang sakit tetapi tidak kelihatan sakit secara mata kasar.

Penyakit Ain contohnya, ia terkena daripada mata yang banyak berlaku hari ini kesan daripada sikap suka menunjuk-nunjuk gaya hidup di media sosial.

Itulah sebabnya Puteri Gunung Ledang letak syarat air pinang muda jika ingin mengawininya.

Pinang muda digunakan untuk perubatan bersebab bagi mengelakkan sihir, gangguan makhluk halus dan bukan hanya untuk kesihatan dalaman. Ia dibakar dan direndam sebelum diminum. Ia disertai dengan bacaan jampi tertentu.

Perubatan ini juga menggunakan bahan herba seperti tumbuh-tumbuhan tertentu tetapi yang paling terkenal adalah pinang muda.

Bagi mengelakkan penyakit ain, elakkan menunjukkan kelebihan kita kepada orang lain. Contohnya, ada anak comel, asyik tunjuk anak kita comel. Tiba-tiba anak kita jatuh sakit.

“Sebaiknya, simpan saja semua kelebihan kita itu untuk dilihat oleh kita saja bukan orang lain yang boleh menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan orang ramai.

“Kalau keluar rumah, melangkah guna kaki kanan dan bertawakkal bagi mengelakkan sihir. Elakkan bersin bila keluar rumah dan jangan toleh belakang selepas keluar daripada rumah. Kalau bersin, jangan teruskan keluar rumah,” kata Salmah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×