KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang tetap menolak usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekali pun kerajaan berhasrat membentangkannya semula pada sidang Parlimen akan datang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, semua pihak sepatutnya menerima keputusan yang telah dicapai menerusi undi belah bahagian memihak pembangkang pada Rabu lalu.
“Ini adalah keputusan yang dimuktamadkan oleh Dewan Rakyat, jadi, ia patut dihormati. Sama ada suka atau tidak dengan keputusan tersebut ini soal lain. Sebagai menteri, kenalah berlapang dada dengan apa sahaja keputusan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, tiada kewajaran untuk kerajaan membentangkan semula dan lebih baik ditumpukan kepada rang undang-undang lain yang lebih mustahak.
“Saya rasa kerajaan sudah tewas satu kali, maka ketewasan itu kerana tiada libat urus dan saya rasa tidak perlu untuk kerajaan berulang kali bentang usul yang serupa. Terima sahajalah kekalahan,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berkata, tanpa SOSMA, negara masih selamat dengan undang-undang sedia seperti Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan POTA dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dalam menangani isu-isu berkaitan.
SALAH GUNA
Katanya, SOSMA kemungkinan besar disalahguna bukan untuk ahli politik semata-mata, bahkan pengamal media yang melaporkan isu-isu keganasan.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan akan membentangkan semula akta SOSMA setelah kegagalannya mendapat sokongan bagi meluluskan akta itu di Dewan Rakyat, Rabu lalu.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kerajaan berhak membentangkannya semula namun, pembangkang berharap supaya kerajaan mengambil kira semua pandangan diberikan di Dewan Rakyat semasa perbahasan.
“Ini terutama kebimbangan yang kami telah timbulkan dan semua ini patut dipertimbang sewajarnya sebelum dicadang untuk diusulkan,” katanya.
Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya pula berkata, pembangkang mendapat makluman bahawa kerajaan meminta mereka meluluskan dahulu undang-undang itu dan sebarang pembaharuan atau pindaan akan dilakukan kemudian.
“Yang kami bimbang jika sudah lulus dahulu, kerajaan lepas tangan pula. Kejadian ini sudah banyak kali berlaku. Bukanlah kami tidak mahu sokong, cuma ada beberapa bahagian SOSMA perlu diperbetulkan iaitu kurangkan tempoh tahanan kepada dua minggu sahaja.
“Kami mahu meletakkan satu landasan yang betul supaya tidak memberi masalah kepada individu ditangkap dan soal perikemanusiaan juga perlu dikekalkan. Maksudnya, ada peluang diikat jamin dan dibicarakan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN










