KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengambil pengajaran daripada kegagalan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka dengan mewujudkan ‘khemah besar’dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Pimpinan (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, langkah itu perlu disusun kemas dengan menjadikan ia sebagai strategi paling tajam untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
“Berdasarkan beberapa cadangan akar umbi, boleh dikatakan rata-rata antara kami mahukan pembangkang bersepakat untuk hadapi PRU secara bersama. Kalau benar ada yang menghulurkan tangan kerjasama politik demi negara, kenapa tidak untuk kita, Perikatan Nasional (PN) pertimbangkan?
“Walaupun ada yang membantah, tetapi kebanyakan melihat pembangkang perlu menentang BN dengan cara semua perlu bersatu. Nampaknya sentimen ke arah itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
AKAR UMBI PAS
Tambahnya, perkara ini turut mendapat perhatian akar umbi Pas yang juga menginginkan satu kesepakatan dalam kalangan pembangkang dengan mewujudkan pertembungan satu lawan satu.
“Pas perlu ada satu fleksibiliti supaya tujuan politik boleh tercapai sebab kita tahu Pas sedang diasak keangkuhan UMNO. Jadi, kita lihat sebenarnya tidak boleh hanya melihat perpaduan ummah dalam ruang lingkup Bersatu sahaja, tetapi perlu lebih meluas.
“Ada beberapa akar umbi Pas yang saya temui, mereka inginkan perkara yang sama iaitu kesepakatan dalam satu khemah besar menentang BN,” katanya.
Namun, Faiz dalam masa yang sama turut mengingatkan agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap ‘khemah besar’ dengan memperjuangkan kepentingan mana-mana pemimpin parti politik.
“Maksudnya, ada yang fanatik Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), desak anwar jadi Perdana Menteri, fanatik Tun (Tun Dr. Mahathir Mohamad), desak macam Itu pula. Ini semua menjadi duri dalam daging, yang sekat penyatuan kerjasama. Kita kena elak watak-watak sebegini yang mempengaruhi pemimpin-pemimpin lain,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu, Faiz berkata, setakat ini parti itu belum membuat sebarang mesyuarat bersama MPT selepas tewas di PRN Johor.
Bagaimanapun, katanya lagi beliau akan mengemukakan cadangan mewujudkan khemas besar itu kepada kepemimpinan parti untuk membuat pertimbangan sewajarnya. – UTUSAN










