Ekonomi digital rentas inisiatif OBOR

Ekonomi digital rentas inisiatif OBOR

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan ucaptama sempena pembukaan rasmi Pameran Import dan Eksport China Ke-130 di Guangzhou secara maya pada Oktober tahun lalu. – FB ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERIKUTAN pandemik Covid-19 pada 2020, pertumbuhan ekonomi digital berkembang pesat sekali gus mewujudkan perniagaan digital baharu dan mendorong perusahaan tradisional beralih kepada perniagaan dalam talian. Impaknya, jutaan rakyat menggunakan kaedah maya bagi keperluan e-dagang, hiburan dan pendidikan.

Kini, pengguna menuju ke arah pendigitalan terutama melalui platform e-dagang dan perbankan dalam talian. Hal demikian ini kerana pengguna lebih cenderung kepada urus niaga yang cepat dan mudah. Pembayaran secara mudah alih menjadi trend dengan peningkatan pesat bilangan pengguna telefon bimbit. Trend ini juga dapat dilihat dalam ekonomi baharu muncul seperti di China, Filipina, Thailand dan Vietnam.

China memiliki peluang sebagai raja e-dagang dunia kerana mempunyai ramai pengguna internet. E-dagang merupakan satu proses pembelian dan juga penjualan yang dibuat melalui elektronik. Proses terlibat seperti pengiklanan, pesanan, penghantaran, pembayaran dan khidmat selepas jualan bagi perkhidmatan dan barangan. Di China, pertumbuhan e-dagang sangatlah pesat.

China menguasai pasaran e-dagang disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

Tenaga buruh yang berinovatif dan berkualiti
Tenaga buruh yang dimiliki oleh China menjadikannya pusat perdagangan dunia dan pemahaman mereka mengenai teknologi sangatlah tinggi. China berjaya memanfaatkan tenaga buruhnya untuk membangunkan perekonomian yang maju dan barang-barang dihasilkan menjadi salah satu bukti bahawa jika suatu negara ingin maju maka negara tersebut harus memiliki tenaga buruh yang unggul.

Jumlah usahawan yang ramai
Pada 2009, China juga digelar sebagai negara pengeksport terbesar di dunia. Pada 2013 pula, China menerima gelaran sebagai negara perdagangan terbesar di dunia. China berhasil membuka ekonomi dan populasinya ke dunia luar dengan pantas.

Sektor pembuatan yang maju
Dasar kerajaan yang membuka peluang kepada pengeluar dari China telah mewujudkan kawasan khas untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Jiaxing, wilayah Zhejiang hingga terbentuknya zon perdagangan bebas (FTZ) di Pudong, Shanghai.

Pada 2020, nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan dihasilkan di China adalah sebanyak 102 trilion Yuan. Jika nilai itu ditukar ke mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) pada kadar pasaran semasa, iaitu 7 Yuan bersamaan AS$1, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China adalah AS$14.6 trilion berbanding KDNK AS bernilai AS$20.8 trilion. Angka ini cukup untuk membuktikan China berjaya menguasai ekonomi nombor satu dunia.

Laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent turut mengesahkan China telah memintas AS sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia. Laporan IMF itu merupakan satu-satunya perbandingan ekonomi antara negara yang diterima pakai Agensi Perisikan Pusat (CIA), ia mencatatkan nilai ekonomi China kini ialah AS$24.2 trilion mengatasi AS bersaiz AS$20.8 trilion.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-130 secara maya pada Oktober 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain bidang revolusi perindustrian 4.0 (4IR) dan pembangunan lestari, bidang ekonomi digital mempunyai potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan dalam menjalinkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China.

Ketiga-tiga bidang tersebut belum diterokai sepenuhnya walaupun pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara semakin berkembang sejak 2009. Tambahan lagi, China terus kekal menjadi rakan perdagangan terbesar negara merangkumi 8.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

Hubungan dua hala di antara China dan Malaysia dapat dijalinkan melalui pelaksanaan inisiatif One Belt, One Road (OBOR) di Malaysia oleh kerajaan China. Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada hubungan diplomatik yang dijalin sejak 1974. Kesan daripada hubungan tersebut menyaksikan kehadiran pelaburan China yang berterusan ke Malaysia. Pelaburan China dibawah inisiatif OBOR dilihat berupaya membawa banyak faedah terhadap perkembangan ekonomi Malaysia.

Inisiatif OBOR telah dibentangkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2013 ketika kunjungannya ke Astana, Kazakhstan untuk menghubungkan setiap penduduk di seluruh dunia. Ia terdiri daripada dua program utama iaitu Silk Belt Economy Road dan 21st Century Maritime Silk Road. Silk Belt Economy Road menghubungkan tiga laluan utama seperti China ke Eropah, Teluk Parsi, Mediterranean dan Lautan Hindi, manakala 21st Century Maritime Silk Road adalah berdasarkan kepada laluan laut dalam kalangan negara anggota inisiatif OBOR.

Ismail Sabri turut menyatakan Malaysia antara negara pertama yang menyokong OBOR dan turut meyakini inisiatif ini adalah strategik dan berpandangan ke hadapan. Beliau turut menegaskan, selain menjadi sumber import terbesar negara, eksport Malaysia ke China pada tahun lalu berkembang sebanyak 11.1 peratus merangkumi AS$37.77 bilion (RM156.9 bilion).

Katanya, China menjadi pelabur tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$4.41 bilion (RM18.32 bilion) tahun lalu dan kedudukan itu kekal sejak 2016.

Selain itu, sebanyak 71 projek pembuatan dengan penyertaan China diluluskan pada tahun lalu dan dijangka menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Kerajaan memahami terdapat banyak peluang yang boleh diraih sekiranya Malaysia berjaya menguasai ekonomi digital untuk mencapai matlamat jangka panjang seperti digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Aspirasi negara untuk melonjakkan ekonomi digital adalah selari dengan WKB 2030, bermatlamat menyediakan pembangunan ekonomi yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat menjelang 2030. Sejajar dengan WKB 2030, Malaysia menyokong semangat kerjasama kedua-dua negara untuk masa depan yang lebih baik. – UTUSAN

DR. Hainuraqma Rahim ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×