SEORANG pengamal media tanya saya hujung minggu lalu, apakah benar tindakan sesetengah pihak yang mengaku waris Sultan Sulu menuntut bayaran daripada kita itu menggugat kedaulatan negara? Saya katakan kepadanya, terdapat pelbagai naratif oleh beberapa pihak mengenai isu ini hinggakan rakyat keliru yang mana satu betul.
Adalah sukar bagi seseorang itu memahami isu ini kecuali dia bersedia mengkaji dokumen sejarah mengenai kes ini, meneliti rekod mahkamah mengenainya dan ada ilmu
asas mengenai undang-undang antarabangsa meliputi aspek penting.
Pertama, interpretation of treaties (pentafsiran triti atau perjanjian) dan kedua, prinsip state succession (kewajipan sebuah negara mewarisi, mengambil alih dan terus mematuhi obligasi silam).
LATAR BELAKANG SEJARAH KES
Pada 1878, satu perjanjian dinamakan Deed of Cession dimeterai oleh tiga pihak, iaitu Sultan Sulu, Sultan Jamal al Alam, Baron de Overbeck (pada masa itu digelar Maharaja Sabah) dan Alfred Dent yang mewakili British North Borneo Company. Di bawah perjanjian itu, Sultan Jamal telah menyerahkan kedaulatan (ceded sovereignty) sebahagian besar wilayah Sabah kepada Baron de Overbeck dan Alfred Dent, atas balasan kedua-dua pihak ini (serta waris-waris mereka di kemudian hari) akan terus
melunaskan bayaran tahunan kepada waris Sultan Sulu bernilai Mex$5,000 (dolar Mexico).
Pada 1936, orang terakhir yang diiktiraf sebagai Sultan Sulu, iaitu Jamalul Kiram II meninggal dunia tanpa waris. Oleh itu, bayaran dihentikan buat sementara waktu sehinggalah Hakim Besar Mahkamah North Borneo, Charles F. Macaskie menamakan sembilan waris Sultan Sulu pada 1939.
Selaku successor state, Malaysia mengambil alih obligasi pembayaran ini berikutan pembentukan Malaysia pada 1963 (yang kini bersamaan RM5,300). Bagaimanapun, selepas peristiwa berdarah di Lahad Datu, Sabah, pembayaran tahunan ini dihentikan pada 2013.
Pada 2019 dalam suratnya kepada seorang peguam di London (yang mewakili waris-waris Sultan Sulu ini) yang disertakan juga dengan salinan keputusan Hakim Besar Macaski pada 1939 itu, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan Malaysia tidak mempertikai identiti waris-waris tersebut dan mereka berhak mendapatkan bayaran yang dihentikan.
Tommy Thomas turut menyatakan kekesalannya bahawa bayaran telah dihentikan pada 2013 tetapi kini Malaysia bersedia meneruskan bayaran kepada anak guam peguam tersebut termasuklah semua tunggakan dari 2013 hingga 2019.
PANDANGAN PEMIMPIN POLITIK
Media tempatan baru-baru ini memetik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai berkata, tuntutan bayaran oleh waris-waris Sultan Sulu ini sama sekali tidak berasas. Kedaulatan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dipersoal lagi, tambahnya.
Pada hemat saya, beliau khilaf mengenai isu pembayaran ini. Apa yang dituntut oleh waris-waris Sultan Sulu bukan untuk mentadbir negeri itu, sebaliknya hanya sejumlah
wang yang nilainya amat kecil, yang jelas menjadi kewajipan Malaysia membuat bayaran berterusan tetapi disebabkan peristiwa Lahad Datu telah dihentikan secara salah.
Dalam bahasa mudah, apa yang dituntut oleh waris-waris Sultan Sulu ini adalah Malaysia terus menerus mematuhi kewajipannya yang kita warisi di bawah prinsip state succession, setelah Sabah menjadi sebahagian Malaysia. Ia bukan satu tuntutan baharu, jauh sekali mahu mencampuri pemerintahan atau pentadbiran negeri.
ISU BAHARU YANG TIMBUL
Berbeza dengan isu pembayaran tahunan RM5,300 itu, baru-baru ini kita digemparkan dengan berita satu perintah prosiding timbang tara di Paris, Perancis oleh Gonzala Stampa. Mengikut laporan sebuah portal berita Sepanyol, Stampa telah memerintahkan kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Dalam kenyataan bersama oleh Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara, kerajaan menegaskan bahawa tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara kerana Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang Tara.
“Kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan,” tambah kenyataan itu lagi.
Mengikut Datu Mohammad Kudhar Sultan Kiram (yang mendakwa dirinya waris sebenar Sultan Sulu): “Lapan orang yang membawa kes mereka di timbang tara di Perancis itu ‘hanya orang yang cuba nak buat duit. Mereka bukanlah waris sah Sultan Sulu.”
Mohammad Kudar menegaskan, beliau adalah anak lelaki Sultan Julaspi Kiram II dan datuk moyangnya adalah Jamal Al-Alam yang menandatangani perjanjian dengan Baron Overbeck dan Alfred Dent pada 1878. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dan adik beradiknya sepakat melantiknya sebagai pentadbir harta dan aset ayah mereka.
Tambahnya lagi, sebuah mahkamah di Manila telah pun mengesahkan beliau adalah pentadbir tunggal untuk mentadbir harta dan aset ayah mereka. Walaupun Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak iktiraf perintah timbang tara di Perancis itu, Persatuan Undang-Undang Sabah menggesa kerajaan mengambil langkah segera mengetepikan perintah timbang tara tersebut.
Mengikut Presiden persatuan itu, Roger Chin, di bawah undang-undang Perancis, mahkamah negara itu boleh mengetepikan award timbang tara jika berlaku salah satu perkara berikut – Penimbang tara tidak ada bidang kuasa, timbang tara tidak dibentuk secara sah, ia telah melanggar due process dan pelaksanaan perintah itu melanggar polisi awam antarabangsa.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar. – UTUSAN










