Lama saya fikirkan untuk berkongsi kisah wanita ini. Melihat sosok tubuhnya, macam-macam saya tafsirkan.
Melihat air mukanya, langsung tidak terpancar kesulitan dan masalah yang dihadapi kerana dia berperwatakan ceria dan sentiasa menyembunyikan masalah yang dihadapi.
Tidak ramai yang mengetahui dugaan ditanggung ibu tunggal ini sehinggalah seorang kawan baiknya, Noor (bukan nama sebenar) tampil berkongsi kisah dengan saya.
Seorang wanita yang terluka dan menjahit sendiri lukanya. Itu yang saya dapat simpulkan kepada Kamariah (bukan nama sebenar).
Ramai yang beginikan. Berada disekeliling kita, kadang-kadang kita tidak perasaan.
Banyak punca. Pengabaian daripada orang tersayang, penderaan, kesulitan dalam hidup dan sebagainya.
Akui Noor, dia tidak tergamak melihat temannya itu terus menderita menanggung dua anak yang terjebak dengan penagihan dadah.
Sebagai sahabat dia sering menasihati Kamariah untuk segera mencari jalan keluar dan menghentikan kesengsaraannya, namun bagai mencurah air ke daun keladi.
Kamariah seolah-olah terus membutakan mata dan hatinya terhadap kemudaratan yang bakal berlaku.
Berasal dari Sandakan, Sabah, wanita berusia awal 40-an itu sama sekali tidak pernah membayangkan episod-episod duka yang bakal dilalui selepas kehilangan suami kira-kira empat tahun lalu.
Dia kini dalam dilema untuk menyelesaikan isu dua anak lelakinya yang semakin agresif mengancam keselamatan keluarga.
Mendirikan rumahtangg dengan Mahmud (bukan nama sebenar), seorang lelaki dari Semenanjung pada 2005, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.
Hanya sempat menikmati kemanisan berumahtangga selama lebih kurang 13 tahun, Kamariah diuji selepas suami terlibat dalam musibah kemalangan jalan raya.
Walaupun berat untuk merelakan, tapi apakan dayanya untuk menolak ketentuan dari Maha Yang Esa.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah bebanan besar yang dihadapi Kamariah, ibu empat anak yang menjadi ketua keluarga selepas kematian suami.
Dia yang dahulunya hanya menguruskan rumahtangga, kini terpaksa mencari rezeki sendirian membesarkan anak-anak yang ketika itu berusia lima hingga 14 tahun.
Walaupun hidup susah selepas kematian suami, Kamariah tetap berusaha membesarkan anak-anaknya.
Selain gigih mengambil upah membuat kuih, Kamariah turut menerima bantuan daripada pihak zakat.
Belum habis kesedihan kehilangan suami tercinta, Kamariah diuji lagi dengan kehadiran dua anak lelaki hasil daripada perkahwinan pertamanya.
Sebagai ibu, hasrat kedua mereka untuk tinggal bersamanya disambut dengan hati dan tangan terbuka.
Jauh disudut hatinya dia menaruh harapan keduanya dapat menemani dan mengurangkan beban ditanggung selama ini.
Walaupun Kamariah tidak membesarkan anak-anaknya itu, perasaan dan naluri keibuannya tetap subur.
Seminggu selepas tinggal bersama, Kamariah mulai perasaan tingkah laku dua anaknya semakin berubah.
Dia mengesyaki keduanya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ini berdasarkan pengalaman semasa hidup bersama bekas suami pertamanya juga seorang penagih dadah.
Kamariah tidak menyangka kedua anak lelakinya yang sejak kecil dibesarkan keluarga ibu dan bapa mentuanya itu terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika itu. Sedih, kecewa dan marah yang bercampur baur.
Namun Kamariah tidak mampu berbuat apa-apa.
Sejak dari itu, bermulalah episod duka dalam kehidupan Kamariah.
Dia dan anak-anak yang lain sentiasa dalam keadaan keresahan dan tertekan.
Setiap kali dia ada urusan di luar, dia akan memastikan anak-anak terutama anak perempuannya yang sedang menginjak usia remaja tidak dibiarkan sendirian di rumah.
Akibat sering dibawah pengaruh dadah, Kamariah sering menjadi mangsa ugutan dua anak lelakinya itu.
Anak sulungnya itu juga pernah mengugut mahu merosakkan adik perempuan tirinya jika kemahuannya tidak dituruti.
Bukan sekali dua anak-anak lelakinya mengamuk dan mahu mencederakan Kamariah serta anak-anak yang lain.
Kamariah pernah terfikir untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib dan menghantar mereka ke pusat pemulihan.
Namun naluri keibuan sering menghalang untuk dia berbuat demikian. Walaupun Kamariah sendiri sedar kehidupannya ibarat hidup dalam neraka, dia tetap bertahan.
Tindakan Kamariah merahsiakan penglibatan dua anak lelakinya dalam najis dadah, menjadi punca keadaan mereka semakin teruk.
Dari seminggu, sebulan hinggalah sudah masuk tahun kedua, Kamariah masih terus menanggung dua anak lelakinya itu.
Dalam setiap sujud, Kamariah sentiasa berdoa agar anak-anak lelakinya itu berubah. Dia percaya doa seorang ibu tiada hijab dan mustajab.
Bagi Noor, tiada siapa dapat membantu Kamariah, kecuali dirinya sendiri.
Kamariah perlu tegas membuat keputusan membebaskan dua anak lelakinya dari belenggu dadah.
Dilema Kamariah ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar kepada Kamariah namun keputusan tetap perlu dibuat.
Ini bagi memastikan tidak ada sesuatu yang buruk berlaku kepada anak-anak lain sehingga boleh mengakibatkan gangguan emosi dan mental.
Sehingga hari ini, Kamariah masih mampu menyembunyikan perasaan sebenar di sebalik wajah yang ceria.
Dia masih mampu tersenyum walau hatinya remuk berkeping-keping.
Setiap ujian itu sebenarnya memberi seseorang kekuatan untuk mencari jalan keluar daripada belenggu masalah yang dihadapi.
Maka Kamariah juga harus kuat, berusaha keluar dan membuat keputusan untuk masa depan diri dan anak-anaknya.
Allah selalu melihat usaha-usaha hambanya, sebagaimana dalam FirmanNya bermaksud: Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.(Ar -Ra’ad:11)








