PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, justeru kerajaan akan menawarkan sehingga 70 peratus daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong.
“Dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30 peratus ekuiti. DNB akan dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM), selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kementerian Kewangan pula akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham,” katanya pada sidang akhbar DNB berhubung pelaksanaan DNB di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, ekonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia terutamanya dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam era pasca pandemik ini, untuk memudahkan usaha pemulihan serta perjalanan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Mengekalkan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia. Ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, DNB diunjurkan untuk mengekalkan harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB).
“Ini dijangka akan menjadikan kos 5G lebih berpatutan, menggalakkan penggunaan dalam kalangan pengguna dan perusahaan, serta mengurangkan
kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan rangkaian 5G penting bagi Malaysia untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kelewatan dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara akan menjadikan ekonomi Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara serantau yang sudah mempunyai rangkaian 5G. Kelemahan dari segi daya saing sedemikian akan menjejaskan pelaburan domestik dan asing serta menjejaskan agenda pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










