ALOR SETAR: UMNO Bahagian Langkawi mengharapkan ada usul meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan dalam tempoh terdekat pada Persidangan Agung UMNO yang bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Ketuanya, Datuk Nawawi Ahmad berkata, beliau berpendapat pilihan raya umum itu perlu diadakan segera memandangkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin memuncak berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.
Menurutnya, beliau percaya UMNO telah membuat persediaan untuk menghadapi PRU-15 termasuk jentera pilihan raya.
“Saya harap ada usul meminta kerajaan dan pihak pengurusan UMNO menyegerakan pilihan raya.
“PRI-15 perlu diadakan segera kerana bimbang momentum sokongan terhadap UMNO dan BN berubah. Kena diadakan ketika masih panas, kalau dah sejuk kacau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Nawawi berkata, beliau percaya UMNO dan BN mampu mencapai kemenangan sekiranya pilihan raya umum itu diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Tambahnya, rakyat tidak mempunyai pilihan parti lain untuk meneraju negara selain UMNO dan BN selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal memerintah negara ini dengan baik.
“UMNO dan BN mempunyai rekod pentadbiran negara lebih baik berdasarkan pengalaman lepas,” jelasnya. – UTUSAN










